Friday, July 31, 2009

Doa...

Aku terlalu rindukan bulan Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi. Sungguh aku terlalu rindukan bulan itu. Keterujaan yang tiada taranya. Tidak sabar rasanya hati ini untuk berpuasa. Bukankah ada dua kegembiraan bagi insan yang berpuasa? Pertama, mereka merasakan kegembiraan di saat mahu berbuka dan keduannya adalah di saat mereka bertemu RabbNya. Sungguh aku teringin untuk bertemu dengan Rabb yang agung. Adakah kegembiraan yang lebih besar jika mahu dibandingkan dengan hal itu?

Adakalanya aku merasa tidak layak untuk bertaqarrub padaNya. Namun saat aku membaca kalamNya, aku merasakan sentuhan bayu yang tidak terkira.

Benar kata-kata Syed Qutb di dalam muqaddimah Fi Zilalil Quran:

Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepadaku dengan al-Quran ini. Ya, Dia bercakap kepadaku seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi dari keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab süci ini? Manakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Pencipta Yang Maha Mulia?

Aku yang kecil ini merasa besar saat membaca AlQuran. Aku tahu bahawa Allah akan mengabulkan segala doa-doaku. Kurenungi kembali kalam Allah dan hatiku terpaut pada beberapa ayat.

Iblis menjawab: "Beri tangguhlah saya sampai waktu mereka dibangkitkan". Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh." (QS.Al-Araf : 14-15 )

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan". Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh, sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya ". (QS.Shaad : 79-81 )

Saat aku menghadam ayat-ayat ini, aku memahami bicara ulama' yang berbicara mengenai ayat tersebut. Allah mendengar permintaan makhluk yang paling hina iaitu Iblis, malah Allah mengabulkan permintaannya.

Pastinya Allah Maha Mendengar dan akan mengabulkan doaku, hamba yang hina ini.

Usah kau ragu untuk memohon padaNya kerana dia mengabulkan permintaan setiap insan. Usah kau ragu akan belas kasihNya. Usah kau kecewa dengan dosa-dosa yang mengikat dirimu. Rungkaikan sahaja ikatan-ikatan itu dengan menangis dan berbicara padaNya.

No comments: