Friday, July 31, 2009

Sabar...

Sejujurnya aku sedang sakit dan sejujurnya juga aku merasa bahagia menulis di sini tanpa ada yang mengetahui diri ini kecuali Allah SWT. Aku tahu di saat ujian menerpa, itulah saat yang paling baik untuk menulis kerana saat itu hati terasa sungguh akrab dengan Allah SWT. Saat ini kisah seorang nabi Allah menerpa fikiranku.

Dialah nabi Allah yang disebut di dalam AlQuran bukan berkaitan dengan dakwah. Dialah nabi Allah Ayub a.s dan Allah menceritakan perihal kesabarannya di dalam dua tempat di dalam AlQuran. Bila mana kita mahu menceritakan kesabaran, kita bercerita mengenai kesabaran Ayub.

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: " Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)". (Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): " Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu " (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): " Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin) ". Dan Kami kurniakan (lagi) kepadanya - keluarganya, dengan sekali ganda ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna (supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa malang). Dan (Kami perintahkan lagi kepadanya): " Ambilah dengan tanganmu seikat jerami kemudian pukulah (isterimu) dengannya; dan janganlah engkau merosakkan sumpahmu itu ". Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; ia adalah sebaik-baik hamba; sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadatnya). (Surah Assad: 41-44)

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani". Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik). (Surah Al Anbiya’:83-84)

Bukan mudah untuk sabar menerima ujian. Sesungguhnya kisah nabi Ayub a.s adalah kisah yang terlalu hebat. Dia bukan menerima ujian secara beransur-ansur tapi dia kehilangan segalanya dalam sekelip mata. Tapi dalam ujian yang tersangat berat itu, dia mampu bersabar.

Ujian kesabaran sentiasa berbeza di antara setiap manusia. Apabila seorang pensyarah mahu menulis soalan, dia pasti menulis soalan yang mampu dilalui oleh semua calon. Kemudian ada soalan-soalan sukar yang berbeza tahap kesukarannya untuk menguji dan mencari calon pelajar yang terbaik. Begitulah juga ujian-ujian Allah untuk mencari hambaNya yang terbaik.

Teringin sungguh rasanya aku untuk berkata pada Allah bahawa aku pasti mampu melepasi ujianNya tapi ternyata aku sungguh lemah.

Di dalam akhir ayat 84 Surah Al Anbiya’, Allah menyebut bahawa kisah Nabi Ayub adalah ‘zikra lil’abidin’, peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Allah SWT.

Tidak mudah untuk taat kepada Allah. Hari ini mungkin bersabar menghadapi ujian tapi mungkin esok tidak. Hari ini mungkin sabar dan taat dalam beribadah tapi esok mungkin tidak. Menunaikan perintah Allah itu mudah tapi untuk taat dan sabar mengerjakannya sepanjang masa adalah terlalu sukar. Dan sungguh aku yang lemah ini tahu bahawa hal itu adalah terlalu sukar dan tiadalah aku mampu melakukan semua itu tanpa pertolongan Allah.

Ya Allah, aku ingin menjadi orang yang sabar dalam ujian-ujian yang aku lalui dan dalam menunaikan ketaatan kepadaMu.

2 comments:

alMizzi said...

Assalamu alaikum

Ayat al-Qur'an adalah petunjuk dan penawar:

ayat ini adalah penawar segala penyakit (shifa min kulli da' - kitab durrul manthur Imam suyuti)
baca sambil tangan kanan letak atas kepala dgn niat untuk berubat dgn ayat ALLAH

alHasyr 21-24:
لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْآنَ عَلَى جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ الأمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ (٢١)هُوَ اللَّهُ الَّذِي لا إِلَهَ إِلا هُوَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ (٢٢)هُوَ اللَّهُ الَّذِي لا إِلَهَ إِلا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ (٢٣)هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (٢٤)

Surah Fatihah juga adalah penawar segala penyakit..

cara nya ialah baca secara muttasil antara basmalah dan hamdalah..

atau bersambungan semua ayat senafas..

Ummu Afeera said...

terima kasih sudi berkongsi...