Monday, March 30, 2009

Kegelapan...

Dulu semasa saya kecil, saya amat suka berilusi. Salah satu keinginan saya adalah berkawan dengan ikan paus. Saya benar-benar merepek bukan?

Tapi tadi saya mengulang tayang video-video di Youtube berkenaan ikan paus. Ada rasa gerun yang menyelinap di dalam hati. Mungkin juga rasa gayat semasa snorkelling di tengah-tengah laut dulu juga menambah rasa seram di hati.

Kisah saya tiada apa-apa. Cuma kisah yang dinukilkan di dalam AlQuran berkenaan Nabi Yunus membuatkan saya melayan rasa.

Betapa gerunnya perasaan seandainya diri ditelan oleh ikan paus. Bukan calang-calang kegelapan yang perlu dilalui. Bayangkan seketika andai diri perlu berhadapan dengan kegelapan di dalam perut ikan, kegelapan di dalam laut dan kegelapan malam. 3 kegelapan yang terlalu menggerunkan. Tapi itulah yang perlu dilalui oleh Nabi Yunus. Allah menyebut perihal kegelapan ini.
Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri". Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami). (Surah Al Anbiya’:87-88)

Enzim-enzim yang dirembeskan oleh ikan adalah enzim yang paling ’kuat’ kerana ikan tidak mengunyah makanan mereka sebaliknya menelan makanan mereka. Allah menggunakan kalimah altaqamahu (menelan) bukannya akalahu (memakan) kerana itulah keistimewaan paus. Cuba bayangkan enzim tersebut terkena badan. Sakit bukan? Itulah yang dirasai oleh Nabi Yunus.
Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak. (Surah Assaffat:142)

Kadangkala kita mudah berputus asa dalam dunia dakwah. Ada kalanya seakan tidak layak untuk berdakwah. Bayangkan semua ini perlu kita lalui lantaran lari dari jalan dakwah ini. Mampukah kita untuk menghadapinya?

Kisah Nabi Yunus ini menyentuh hati saya kerana beberapa sebab. Pertamanya perihal pengiktirafan doa Nabi Yunus.

..."Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri". (Surah Al Anbiya’:87)

Saya sendiri tidak dapat mengingati butiran dosa yang saya lakukan kerana ianya terlalu banyak. Doa ini terlalu bermakna buat insan seperti saya yang sering menzalimi diri sendiri.

Keduanya kerana sebab musabab Allah mengabulkan doa Nabi Yunus. Semua itu kerana tasbih. Mengapa bukan tahmid atau takbir? Tasbih merupakan pernyataan kekaguman manusia kepada sesuatu yang aneh. Tidakkah ajaib setelah ditelan ikan, baginda masih hidup?
Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. (Surah Assaffat: 143-144)

Nabi Yunus sentiasa mengingati Allah di saat senang, maka Allah mengingatinya di dalam kegelapan tersebut.

Betapa insan seperti saya perlu sentiasa mengingati Allah di saat bahagia, mudah-mudahan Allah mengingati saya di dalam kesukaran. Saya perlu mengingati Allah di saat sihat agar Allah mengingati saya di saat saya sakit.

Sayu rasanya hati menelaah kalamNya. Nikmat Allah yang berjuta itu perlu saya ingati selalu. Nikmat-nikmat yang Allah kurniakan buat saya adalah terlalu luar biasa dan saya lebih memahaminya kerana saya bergelar pelajar perubatan. Melihat insan-insan yang menderita kerana tidak dapat mendengar atau melihat cukup membuatkan saya merasakan nikmat Allah yang luar biasa itu. Betapa saya sebagai hamba perlu sentiasa merenung hakikat kekurangan diri. Moga Allah mengampunkan hambaNya yang lemah ini.

Lailaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzalimin..

Friday, March 27, 2009

Benci seorang Mukmin...

Kadangkala saya terasa bosan mahu ke hospital. Terasa benci melihat drama masyarakat. Saya benci melihat kisah anak derhaka. Saya mohon pada Allah, cabutlah nyawa saya sebelum saya menjadi anak derhaka. Saya terlalu takut...

Ada yang sampai jari-jari ibunya tertanggal sendiri (auto-amputation) lantaran kerana anak-anak yang tidak pernah mengambil peduli penyakit diabetes si ibu. Ngeri!

Saya luahkan pada sahabat yang terlalu saya cintai kerana Allah semua kisah ini. Bicaranya menyentuh hati. Allah mengurniakan saya sahabat yang terlalu baik, yang memandang segalanya dari kaca mata yang berbeza dengan saya. Pastinya dia terlalu baik sehinggakan dia menjadi perantara mutiara hikmah dari Allah.

"Doakan anak-anak itu sekali. Mereka menjadi begitu kerana tidak sampai hidayah Allah lagi. Sedekah Fatihah banyak-banyak pada anak-anak itu, mudah-mudahan lembut hati mereka. Apelah yang kita boleh buat lagi Ummu. Boleh je kita rasa meluat dalam hati, fitrahlah bila kita tak suka dengan benda mungkar. Tapi benci mukmin lain dari manusia biasa. Benci mukmin pada sesuatu perkara bawa banyak kebaikan sepatutnya".

Bicaranya menyentuh hati dan mengingatkan saya akan hakikat benci seorang Mukmin...

Sunday, March 22, 2009

Akhlaq..

Meremang rasanya menonton video ini.

Insan yang berbicara dalam video ini telah pun syahid. Pada 26 Rabiul Akhir 1410H bertepatan 24 November 1989, Dr Abdullah Azam bersama 2 orang anaknya, Muhammad dan Ibrahim, beserta dengan anak lelaki al-marhum Sheikh Tamim Adnani (seorang Ulama Mujahid ) dibunuh dalam satu ledakan di Arbab Road, Peshawar, Pakistan,ketika dalam perjalanan menuju ke Masjid utk menunaikan sholat jumaat, dengan kekuatan 20kg TNT(explosive) yang diledakkan dengan alat kawalan jarak jauh.

Betapa gerunnya musuh Allah dengan insan ini. 20 kg TNT diperlukan untuk mengebom beliau, namun Allah tetap menjaga jasad Assyahid.

Insan yang sedang dibicarakan olehnya dalam video ini juga telah pun syahid.

Saya? Masih bermujahadah dengan iman yang berbolak balik. Untuk menjaga iman yang sekelumit cuma juga kadangkala terasa begitu payah. Malunya..

Saya lebih terasa menonton video ini.

Akhlak saya? Perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah yang saya lakukan juga seakan bermain di fikiran. Ya Rabb, saya merayu kekuatan dariMu...

Saturday, March 21, 2009

Anak...

Saya masih lagi mengingati tutur bicara seorang ustazah. Pesannya, jangan sesekali yakin bahawa diri akan menjadi anak soleh/solehah selamanya. Jangan terlalu yakin bahawa dengan profesion dan kelayakan yang ada, kita mampu menjaga ayah dan ibu. Usah katakan dengan ’ketaqwaan’ kita, kita akan mampu menjadi anak yang baik. Buktikan terlebih dahulu..

Saat membaca cerpen ini, hati menjadi sebak. Saya teringat pesakit-pesakit yang saya temui di wad.

Ada seorang pakcik yang telah mengalami strok, tapi hanya disedari oleh si anak selepas tiga hari. Berapa orang anak yang pakcik tersebut ada? 7 orang. Sadis, bukan? Seorang ayah boleh menjaga 7 orang anak, tapi 7 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ayah.

Ada seorang lagi pakcik tua yang hanya melilaukan pandangan ke sana sini tapi tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia juga terkena strok dan terlantar di katil, Saya masih mengingati kata-kata doktor pakar cina semasa ward round. Ujarnya, pesakit tersebut telah dilihatnya berkali-kali. Kenapa? Kerana tiada anak yang mahu menjaga pakcik tersebut. Berpindah-randahlah pakcik tua tersebut dari wad medical kerana jangkitan peparu, kemudian ke wad ortopedik kerana bed sore, dan kemudian ke wad medical semula kerana hyperglycemia. Kenapa semua itu berlaku? Anak-anak yang derhakalah sebab semua itu berlaku. Keadaan si ayah semakin teruk di rumah tanpa penjagaan. Luka yang ada kian besar. Paras gula dalam darah tidak terkawal kerana tiada sesiapa yang mahu menguruskan hal-hal itu.

Saya jadi bimbang melihat semua itu berlaku. Pesan ustazah seakan bermain-main di fikiran. Mampu ke saya setelah bekerja dan oncall kelak untuk pulang ke rumah dalam keadaan wajah yang manis? Adakah saya punya masa untuk berbicara pada ayah dan ibu saat itu? Adakah saya akan menjadi seperti anak tersebut yang hanya menyedari bahawa ayah telah terkena strok selepas 3 hari? Nauzubillah...moga Allah menjauhkan semua itu dari ayah saya..

Moga Allah menjauhkan diri saya dari menjadi anak derhaka!

Bacalah artikel ini juga sebagai peringatan bersama.

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa. [al-Nisa’ 4:36]

Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibubapa.” [al-An’aam 6:151]

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. [al-Isra’ 17:23]

Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa.” [al-Baqarah 2:83]

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya.” [Luqman 31:13-14]

Friday, March 20, 2009

Keberkatan...


Kadangkala diri mengelamun mengenangkan kehebatan generasi Islam yang dulu..

Benar, kehebatan itu bagai terlalu jauh dari kita..

Terasa tiada kudrat untuk mengakui semua itu..

Mungkinkah semua itu kerana dosa yang kian bertimbun?

Mereka dahulunya terlalu menjaga tertib dan adab ilmu..

Andai mahu menyelak buku di hadapan guru, mereka akan berhati-hati..

Penuh perlahan bagi memastikan tiada bunyi yang kedengaran..

Kita pula mengumpul dosa yang bertimbun terhadap guru..

Oh guru, maafkan kami anak didikmu...

Tuesday, March 17, 2009

Perbandingan...

Titis

Satu titis..

Dua titis..

Manusia tidak akan pernah mampu mengira..

Titis-titis air hujan itu..

Hanya Allah yang tahu semua itu..

Begitu juga dengan butir-butir titis air mata atau rasa bahagia...

"Allah, Dialah yang mengirim angin lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendakiNya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal: lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila hujan itu turun menimpa hambaNya yang dikehendakiNya menjadikan mereka gembira." (Surah Ar-Rum: 48)

"Tidakkah kamu melihat bahawa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan antara (bagian-bagian)nya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatan olehmu hujan keluar dari celah-celahnya, dan Allah juga menurunkan (butiran) ais dari langit, dari gumpalan awan seperti gunung maka ditimpakanNya ais itu kepada siapa yang dikehendakiNya dan dipalingkanNya siapa yang dihendakiNya. Kilauan kilat itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan." (Surah An-Nur: 43)

Harapan

Saya tidak mampu memenuhi harapan manusia pada saya. Harapan mereka terlalu tinggi sedang saya hanya manusia biasa.

Keramaian

Pernah rasa keseorangan dalam keramaian? Pernah rasa hati menangis sedang wajah tertawa?

Pernah rasa terlupa mengenai hakikat Tuhan dalam keramaian?

Perbandingan
Perbandingan itu lahir apabila ada yang lebih baik, bukan? Apabila ada kejahatan, barulah kebaikan dihargai. Apabila ada neraka, barulah syurga diingati.

Tidak mungkin perbandingan, keinginan atau justifikasi lahir apabila semuanya kelihatan sama sahaja.

Yahudi

Bagaimana pendapatmu andai menerima ilmu dari seorang Yahudi? Saya tahu mengenai Sister Mary Joseph nodule dari seorang Yahudi. Entahlah... Yahudi atau Zionis? Mungkin saya perlu memikirkan semula hal itu...

Friday, March 06, 2009

Musim cinta..

Adakah ini musim cinta? Saya tergaru-garu kepala memikirkan persoalan tersebut. Ramai sahaja yang berbicara tentang cinta sejak akhir-akhir ini. Tidak kurang juga yang menulis tentang cinta...

Saya juga mahu mengambil kesempatan berbicara tentang cinta. Saya mahu mengenalkan kamu pada satu sajak cinta.

Risalah Ila Syahid

Aku tidak menunggu kepulangan dan janji-janji sore
aku tidak menunggu kereta kan kembali membawa secercah harap

kau tinggalkan aku mengarungi hari-hari dalam kebisuan derita
kau lihatkah bahwa rinduku untuk surga atau cinta kelangitan
kau lihatkah bahwa janji itu untuk Allah

sudah tibakah saat pemenuhannya
aku berlalu bagai perindu
sebagai pemabuk cinta yang mendengarkan panggilan
kau jumpaikah di sana para kekasih

apa warna pertemuan itu
dalam hijaunya surga, dalam firdaus dan gemuruh karunia
di negeri kebenaran kalian berkumpul
dalam damai dan perlindungan
jika memang karena itu, selamat datang kematian tergilas darah
akankah aku menemuimu di sana, tinggalkan negeri derita

ya, kan kutemui kau di sana
janji yang diyakini orang-orang jujur
kita dapatkan balasan, atas hari-hari yang kita lalui
dalam derita dan cobaan
kita kan dijaga dalam kebaikan
tanpa takut perpisahan dan kefanaan

Mahu kenal siapa penulis sajak ini? Sajak ini ditulis oleh adik Syed Qutb yang bernama Aminah Qutb. Sajak ini ditulis sempena kesyahidan suaminya yang bernama Kamal Sananiri. Mahu dengar kisah cinta mereka?

Kamal Sananiri meminang Aminah Qutb menerusi Syed Qutb. Namun saat itu Sananiri masih di dalam tahanan penjara. Mereka bernikah di dalam penjara. Sananiri bertanyakan kepastian Aminah Qutb, “Begitu lamanya waktu berlalu, aku kasihan kepadamu atas derita ini. Sebagaimana yang aku katakan kepadamu pada awal jalinan kita, kemungkinan besok aku segera keluar, kemungkinan dua puluh tahun lagi, bahkan mungkin ajal menjemputku di penjara ini. Maka bagimu kebebasan penuh untuk mengambil keputusan yang baik bagi masa depanmu. Aku tidak ingin menjadi penghalang bagi kebahagiaanmu. Mereka berjanji hendak memberi kebebasan kepada kami bila kami mendukung kekuasaan para Tiran dengan cara memberi informasi, sungguh mereka tidak akan dapatkan hal itu dariku atas izin Allah, walaupun mereka mencabik-cabik tubuhku. Maka dari itu, sekarang kamu bisa memilih, tulislah apa yang mantap menurut pendapatmu. Allah akan merestui apa yang baik menurutmu.”

Si isteri memberi jawapan,“Saya memilih harapan yang saya tunggu-tunggu; jalan jihad dan syurga, keteguhan dan pengorbanan, tegar dengan janji yang kita ikrarkan dengan aqidah yang kukuh dan keyakinan tanpa ragu-ragu atau menyesal”.

Kamal Sananiri dimasukkan ke dalam penjara pada tahun 1954 dan dibebaskan pada tahun 1973. Mereka bersatu pada tahun 1973 M selepas Sananiri dibebaskan dan tidak dikurniai anak sebab saat itu Aminah dan Sananiri telah berusia 50 tahun.

Pada saya inilah cinta. Sekiranya kamu membina cinta bermatlamatkan Allah dan dakwah, teruskan kisah cinta tersebut. Moga Allah menjadi saksinya.

Cinta dan bulan madu yang sebenar adalah di syurga Allah. Moga semua kita memahaminya.

Bacalah kisah Sananiri di laman-laman maya yang lain. Bacalah kisah penyiksaannya sehingga ibunya sendiri sudah tidak mengenalinya lagi. Bacalah kisah mengenai adik iparnya yang menjadi gila saat melihat kezaliman ke atas dirinya. Bacalah kata-kata yang pernah diucapkannya pada si ibu. Moga kisahnya meniup api semangat untuk kita istiqamah di jalan ini..

Thursday, March 05, 2009

Motivasi...

Mungkin saya terlebih hiperbola dalam mengungkapkan perasaan. Namun video yang satu ini benar-benar membuatkan saya menangis mencurah-curah. Ia benar-benar adalah video motivasi..

Saya juga menonton video-video lain berkenaan lelaki ini di Youtube. Saya rasa malu sekali. Saya malu padanya dari segi kepercayaan saya pada Allah. Saya malu dengannya dari aspek perjuangan 'dakwah'. Masya Allah...terlalu agung Allah yang mengurniakan hikmah buat hambaNya...

Wednesday, March 04, 2009

Cantum...


Saya kongsikan kata-kata yang begitu menyentuh hati saya yang datangnya dari seorang akak yang begitu dirindui.

“Banyakkan sabar dan tidak perlu sedih. Sama-sama kita berlapang dada terhadap Allah kerana Dialah yang menjadikan sesuatu itu berlaku. Jangan anggap apa yang berlaku sebagai balasan terhadap kesalahan kita pula, seolah-olah kita berpandangan serong terhadap Allah. Jangan lupa ujian Allah juga kerana tanda kasihNya. Allah nak kita merasakan bahawa sayang manusia itu tidak abadi tapi kasih sayang Allah itulah yang kekal abadi selama-lamanya. Jika manusia menyebabkan hati kita berkecai, Allah jugalah yang mencantumkan semula serpihan hati-hati kita itu dengan penuh rahmat dan kasihNya, bukan?”

Betapa indahnya ukhwah di jalan Allah. Dapatkah kalian merasai kehangatan kasih sayang kerana Allah? Di saat diri bersedih, Allah hantarkan sahabat-sahabat untuk menjadi penawar hati. Semua itu berlaku dalam saat dan ketika kita terlalu memerlukan. Hebatnya Allah yang menyatukan hati-hati insan...

“Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al Anfal:63)

Tuesday, March 03, 2009

Tenang dan panas...

Saya lihat pesakit schizophrenia dan psychosis dari jauh hari ini. Saya bukan di dalam posting psikiatri dan saya tidak perlu mengambil apa-apa maklumat atau melakukan pemeriksaan ke atas pesakit tersebut. Saya dengar bacaan Quran lantunan suara Sheikh Saad AlGhamidi dari radio yang ada di salah satu sisi pesakit tersebut.

Hati saya terasa tenang namun di sudut hati juga saya agak panas. AlQuran sememangnya merupakan syifa’ (penyembuh), namun sekiranya itu sahaja peranan AlQuran, saya tidak pernah setuju.

Berapa lama Surah Yassin menjadi bacaan di malam Jumaat? Pernahkah kita cuba memahami makna dan tafsirannya? Berapa kali kita membacanya di hadapan orang yang nazak? Adakah Quran hanya menjadi hiasan di dinding rumah kita?

Saya tinggalkan mesej ini yang dikongsikan oleh seorang sahabat di YM...

”Kekurangan kita ialah banyak membaca AlQuran tanpa mengetahui maknanya. Kelemahan kita ialah mengetahui maknanya tetapi tidak mengetahui tafsirannya. Kelemahan kita yang bertimpa-timpa ialah mengetahui tafsirannya tetapi tidak mengetahui rahsianya. Kelemahan kita yang tertinggi ialah mengetahui rahsiannya tetapi tidak mempercayainya. Kelemahan kita yang paling tinggi ialah tidak mempercayainya lalu meninggalkannya”.

Nauzubillah...

Monday, March 02, 2009

Tipu...

Sudah dua kali saya ditipu pesakit. Pertama kali minggu lepas. Kali kedua pula adalah pada hari ini. Apakah terdapat cop mohor di wajah saya sehingga saya kelihatan begitu dungu dan boleh diperbodohkan?

Menitis air mata saya mendengar kisah pesakit itu tapi semuanya merupakan sandiwara.

Katanya, isterinya adalah penoreh getah dan buta sebelah mata. Mereka hanya makan bubur. Dia sendiri tidak makan di hospital kerana menyimpan makanan buat si isteri. Tapi tadi seorang wanita muncul. Saya masih bersangka baik melihat imej wanita itu.

”Mungkin itu temannya”, bisik saya di dalam hati. Saya memberanikan diri bertanyakan pakcik tersebut.

”Siapa yang datang, pakcik?”

”Isteri”.

”Matanya buta sebelah mata ke pakcik?”

Katanya, ”Ya, dan dia akan melalui pembedahan pada bulan April”.

Mungkin dia sudah tidak boleh berbohong lagi. Pagi sebelum itu dia ada berbicara. Kononnya tiada apa yang boleh dilakukan terhadap mata isterinya. Anak-anaknya di rumah tidak makan. Dan dia tidak lalu makan. Tapi kisah pada waktu tengahari pula tenyata jauh dari yang diceritakan. Isterinya yang saya lihat adalah seorang wanita sexy, bertumit tinggi dan kelihatan tidak buta sama sekali. Mereka makan nasi dengan bahagia sekali.

Ingin sekali saya bertanya. ”Pakcik, kenapa pakcik membohongi saya? Saya sudah pun memberitahu doktor pakar mengenai kondisi kewangan dan hal lain mengenai pakcik. Mengapa pakcik? Mengapa penipuan ini sanggup dilakukan? Apa salah saya?”

Sungguh saya kecewa dengan manusia. Terlalu kecewa. Namun saya tahu bahawa Allah mahu mengajar saya sesuatu.

Minggu lepas pula saya mengambil maklumat dari seorang pesakit. Saya kira dia ada masalah neurologi (berkenaan otak). Tapi ternyata dia juga menipu. Saat doktor memberitahu mengenai hemiplegic gait (cara jalan pesakit strok), baru saya dapat mengesan penipuannya.

Pernah saya bertanya pada ayah mengenai seorang manusia yang juga telah mengecewakan saya. Mudah bicara ayah, “Bukankah dengan mengenalinya, kau telah belajar mengenai manusia?”

Ya. Saya belajar mengenali manusia.

Di saat saya bersimpati dengan manusia, manusia mempergunakan saya. Adakah saya pernah melakukan sesuatu pada manusia lain sehingga saya menerima semua ini sebagai balasan? Pastinya pernah. Maafkan saya andai saya pernah melukakan hati atau melakukan kejahatan pada sesiapa.

Ya Rabb, bantulah aku untuk menerima qadarMu. Kuatkan hatiku untuk mengenali manusia. Kenalkan aku pada mereka agar kelak semua ini berguna demi kepentingan dakwahku..
There was an error in this gadget