Saturday, March 21, 2009

Anak...

Saya masih lagi mengingati tutur bicara seorang ustazah. Pesannya, jangan sesekali yakin bahawa diri akan menjadi anak soleh/solehah selamanya. Jangan terlalu yakin bahawa dengan profesion dan kelayakan yang ada, kita mampu menjaga ayah dan ibu. Usah katakan dengan ’ketaqwaan’ kita, kita akan mampu menjadi anak yang baik. Buktikan terlebih dahulu..

Saat membaca cerpen ini, hati menjadi sebak. Saya teringat pesakit-pesakit yang saya temui di wad.

Ada seorang pakcik yang telah mengalami strok, tapi hanya disedari oleh si anak selepas tiga hari. Berapa orang anak yang pakcik tersebut ada? 7 orang. Sadis, bukan? Seorang ayah boleh menjaga 7 orang anak, tapi 7 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ayah.

Ada seorang lagi pakcik tua yang hanya melilaukan pandangan ke sana sini tapi tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia juga terkena strok dan terlantar di katil, Saya masih mengingati kata-kata doktor pakar cina semasa ward round. Ujarnya, pesakit tersebut telah dilihatnya berkali-kali. Kenapa? Kerana tiada anak yang mahu menjaga pakcik tersebut. Berpindah-randahlah pakcik tua tersebut dari wad medical kerana jangkitan peparu, kemudian ke wad ortopedik kerana bed sore, dan kemudian ke wad medical semula kerana hyperglycemia. Kenapa semua itu berlaku? Anak-anak yang derhakalah sebab semua itu berlaku. Keadaan si ayah semakin teruk di rumah tanpa penjagaan. Luka yang ada kian besar. Paras gula dalam darah tidak terkawal kerana tiada sesiapa yang mahu menguruskan hal-hal itu.

Saya jadi bimbang melihat semua itu berlaku. Pesan ustazah seakan bermain-main di fikiran. Mampu ke saya setelah bekerja dan oncall kelak untuk pulang ke rumah dalam keadaan wajah yang manis? Adakah saya punya masa untuk berbicara pada ayah dan ibu saat itu? Adakah saya akan menjadi seperti anak tersebut yang hanya menyedari bahawa ayah telah terkena strok selepas 3 hari? Nauzubillah...moga Allah menjauhkan semua itu dari ayah saya..

Moga Allah menjauhkan diri saya dari menjadi anak derhaka!

Bacalah artikel ini juga sebagai peringatan bersama.

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa. [al-Nisa’ 4:36]

Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibubapa.” [al-An’aam 6:151]

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. [al-Isra’ 17:23]

Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa.” [al-Baqarah 2:83]

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya.” [Luqman 31:13-14]

No comments: