Tuesday, September 30, 2008

Segalanya bercampur...


Kamu pernah melukis? Bermain warna? Mencampurkan warna merah dengan putih misalnya dan kemudiannya warna air tersebut bertukar menjadi warna merah jambu..


Atau kamu pernah mengecat? Mencampurkan warna-warna cat yang ada..


Mungkin kamu pernah membuat air teh. Mencampurkan susu, gula dan teh dan akhirnya sejug air telah terhasil.


Andainya saya menyuruh kamu mengasingkan kembali semua campuran tersebut, mampukah kamu mengasingkannya? Mengasingkan warna merah dan putih dari warna air merah jambu yang telah tersedia? Mengasingkan warna-warna cat? Atau barangkali mengasingkan susu dan gula dari air teh tersebut, mampukah kamu mengasingkannya?


Fahamkah kamu dengan bicara saya itu? Itulah analogi saya tentang kehidupan ini. Semuanya bercampur sehinggakan saya tidak mampu mengasingkan di antara jahiliyyah dan islam.


Segalanya suram. Tiada garis atau sempadan di antara jahiliyyah dan Islam. Saya tidak mampu melihat kesyumulan Islam. Saya melihat sekularisme yang membarah.


Bersambung...

Monday, September 29, 2008

Ramadhan..

Tadi saya berchatting dengan seorang teman. Dia mahu bercerita tentang Dr. N, seorang doktor yang terlalu baik pada saya. Di sebalik telatah dan bicara Dr. N yang lucu, rupanya dia memiliki catatan duka di dalam hidupnya.


Sememangnya saya tidak pernah percaya pada lahiriah yang terbentang. Saya pasti setiap insan punya rahsia maknawi di sebalik zahirnya yang bahagia. Mungkin kerana saya juga begitu. Dalam kesedihan yang amat, saya akan ketawa untuk melupakannya.


Dr. N mengenali saya sebagai seorang yang serius. Setiap kali dia bertemu saya, pasti dia akan berkata - Ummu ini asyik marah sahaja. Saya suka melihatnya ketawa di sebalik kesilapan yang saya lakukan secara tidak sengaja semasa case presentation.


Saya sering melakukan kesilapan untuk 'pronouce' perkataan English. Cafe au lait spot menjadi cafe au lait sput sehinggakan sput menjadi signifikan dengan saya. The baby is pinks. Sepatutnya pink sahaja, tapi saya menambah 's' pada pink. Dr N menegur saya. Baby itu pink sangat ke sampai awak nak sebut pinks? Kemudian saya mahu menerangkan bahawa bayi tersebut sudah pandai ber'babbling'. Tapi saya menyebutnya sebagai 'bubbling'. "Baby itu selalu main air liur ke?", tanya Dr. N lagi. Kawan-kawan saya sudah puas tertawa. Saya juga tidak mampu menahan tawa. Tidak mungkin saya melupakan posting pediatric ini. Posting yang bermula dengan serba tidak kena tapi menjadi posting yang terlalu bermakna di akhirnya.


Entahlah. Terlalu celaru bicara saya. Sebenarnya Ramadhan ini adalah Ramadhan yang paling menyedihkan dalam hidup saya. Saya dalam kesedihan yang amat sebenarnya. Saya ketawa untuk melupakan kesedihan-kesedihan itu.


Ya Rabb..mungkin amalan saya dalam bulan ini hanya seperti butiran pasir yang tidak berharga. Kau lebih mengetahui sebab musababnya. Meskipun aku hanya pasir, jadikanlah aku sebahagian dari pantai itu.


Sungguh saya terlalu sedih untuk berpisah dengan Ramadhan ini. Cuma tinggal sehari sahaja lagi. Pedihnya bagai dihiris.

Friday, September 26, 2008

Doa dan Palestin...

Salah satu tujuan kita berpuasa adalah untuk merasai kesukaran saudara-saudara seislam kita yang lain. Ya, Palestina saban waktu menangis hiba dan mungkin kini sudah puas menanti saudara seislamnya yang lain.

Kenapa Palestin? Kenapa tidak diceritakan penderitaan saudara seislam di Mindanao yang saat ini sedang digilis oleh regim Filipina? Kenapa bukan Iraq, Afghanistan dan lainnya yang menjadi fokus? Kerana Palestina adalah seperti jantung Islam. Andai jantung ini telah rosak, akan rosaklah yang lain. Dan saat ini fokusnya adalah untuk mengembalikan fungsi jantung ini kembali. Insya Allah, andai jantung ini berdetak kembali, ummah ini akan mengorak sejarahnya sendiri. Sejarah telah membuktikannya.

Andai sejarah semalam diimbas, di sana kita akan melihat kisah Salahuddin AlAyyubi yang jarang tersenyum dan hanya makan satu lauk sahaja kerana memikirkan soal palestina. Apabila ditanya padanya, mengapa dia begitu, dia menjawab kembali. Katanya, bagaimana aku mahu tersenyum dan makan dengan berselera di saat Palestina di dalam cengkaman penjajah? Dan dia menginfaqkan seluruh hartanya untuk membebaskan Palestina..

Saat ini, 80% makanan yang disalurkan kepada Palestina adalah dari UN. Sungguh umat Islam begitu memalukan. 1.6 billion umat Islam memalukan Islam itu sendiri. Membiarkan saudaranya tanpa pembelaan. Bagaimana mahu berdiri di hadapan Allah kelak di atas kezaliman sendiri ke atas Palestina? Saat ini, bekalan klorin telah diputuskan. Air yang ditelan adalah air yang penuh racun. Saat ini juga, bekalan janakuasa telah dihentikan. Sudah 8 bulan mereka hidup di dalam kegelapan. Sudah habis bahan bakar milik mereka. Sungguh ramadhan ini kelihatan tidak mencapai maknanya apabila kesengsaraan saudara sendiri tidak dirasai.

Benarlah kata-kata Syakib Arsalan di Palestina. Di saat khilafah islam jatuh tersungkur, semua ulama menulis surat padanya. Kononnya sudah sampai masanya untuk mengumpul umat islam kembali. Mudah sahaja jawapan sheikh arsalan - kamu mahu mengumpul angka-angka kosong itu?

Bukan kuantiti yang dicari, tetapi kualiti. Badar yang terjadi di bulan Ramadhan itu buktinya. 300 melawan 1000. Menang tentera islam kerana kualitinya. Kekuatan itu hanya dari Allah belaka. Bukan kerana kelengkapan perang.

Alwahn (cinta dunia dan takut mati) telah membawa ummah pergi begitu jauh dari islam sendiri. Seorang saudara di Palestina pernah bersuara, "Kami akan menjaga Palestina dengan sebenarnya meskipun kami terpaksa mengorbankan diri dan keluarga. Kami hanya meminta sumbangan dari kalian dan kami akan berkata di hadapan Allah bahawa kalian turut mennyertai jihad ini"..

Kutiba alaikumussiyam - diwajibkan atas kamu berpuasa (2:183) Ayatnya serupa juga dengan kutiba alaikumul qital - diwajibkan atas kamu berperang(2:216) Andai kalian merenungnya dengan mendalam, kalian akan mendapati ia sungguh bermakna. Apabila seorang mengucapkan syahadah, puasa itu menjadi wajib baginya. Tidak pernah dia menunggu beberapa tahun untuk persediaan tarbiah untuk berpuasa. Begitu juga dengan jihad. Andai kalian melafazkan syahadah, jihad itu telah bermula. Infaqlah kerana Rasulullah SAW itu lebih pemurah di bulan ini...

Hari-hari akhir Ramadhan yang ada, bangkitlah. Berdoalah dengan sedahsyatnya agar Allah memberi kekuatan buat kita untuk membantu mereka dan Allah memberi kekuatan untuk mereka kerana mereka adalah insan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW :

“Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian.” Maka para sahabat bertanya,”Dimanakah mereka?” Jawab Rasulullah, ” Di Baitul Maqdis dan sekitarnya”.
(Riwayat Bukhari)

Monday, September 22, 2008

Scabies...

Scabies
Mungkin itu diagnosismu
Diriku tidak pernah pasti

Scabies
Kelihatan pada tangan dan kakinya
Menjalar tidak peduli
Membuatkan manusia juga tidak ambil endah

Scabies itu
Sepertinya berbicara
Akan makna sebuah kisah
Menyentak nuansa

Dia anak yatim
8 tahun umurnya
Tanpa secalit rona di wajah
Dia memakrufi
Ayahku sudah lari
Makku sudah mati

Matanya punya titik putih
Adiknya buta
Sedang dia
Buta dari pandangan manusia

Ramadhan ini
Mana infaqmu?
Pada si yatim itu

Musuh...


Apa yang akan kau pelajari dari musuh?
Kata-kata yang benar
Perit, memang perit mahu mendengarnya
Bagai mahu disumbat cuping telinga
Atau sepertinya mahu disumbat mulut mereka dengan kaca dan batu
Biar mereka diam tidak berbicara
Tetapi mereka benar
Kau dan aku harus sedar itu

Katanya kau dan aku tidak pernah mengkaji sejarah
Benar katanya..

Tanyakan pada diri
Apa yang kau dan aku tahu mengenai sejarah ummah?

Katanya kita tidak teliti
Benar juga..

Dan katanya kita malas
Mampukah kau dan aku untuk membalas hujahnya?

Semalam yang telah lalu
Perlu diceritakan kembali
Agar generasi kini
Tidak berlalu pergi

Tugas itu
Tugas kau dan aku
Sama-sama mencari
Sama-sama bercerita
Islam PASTI kembali!!

Saturday, September 20, 2008

Doa...

Adakalanya diri terasa begitu penat. Langkah terasa kian perlahan. Jejak semakin tidak meninggalkan kesan. Terasa lemah tidak berdaya meneruskan pendakian. Namun membaca sirah Rasulullah SAW, seorang manusia agung yang terlalu agung membuatkan sisa-sisa kekuatan yang masih berbaki berbunga kembali.

Membaca sirah dengan kaca mata hati membuatkan butir-butir jernih memenuhi tubir mata. Terasa baginda begitu dekat dalam segala masalah yang kian menggunung. Dia terus hidup di saat lembaran sirah itu dihayati. Doa baginda saat di Thaif menyuntik semangat.

Di saat baginda dilempari batu sehingga berdarah, baginda meneruskan perjalanan sehingga tiba di sebuah tempat dan baginda berdoa dengan doanya yang mahsyur:

Ya Allah! Aku mengadu kepadamu akan kelemahan kekuatanku, sedikitnya usahaku, dan segala kelemahanku di hadapan manusia.

Sebagai seorang manusia yang benar-benar lemah, saya terasa betapa mendalamnya maksud doa ini. Doa yang menghimpunkan segala pengaduan akan kekerdilan seorang hamba terhadap RabbNya.

Engkau adalah Rabb semesta alam. Engkau adalah Rabb orang-orang yang lemah.

Terbayang kekuasaan Allah yang mencipta langit, planet hatta makhluk-makhluk yang begitu halus sehingga tidak mampu dilihat dengan mata kasar di saat membaca rangkap doa ini. Pastinya Allah mengetahui mengenai diri ini dengan sedalamnya. Dan Allah adalah Rabb manusia-manusia seperti saya yang begitu lemah mengharungi rencam ombak dunia ini.

Kepada siapa aku mengadu selain dariMu, kepada yang jauh yang memusuhiku atau kepada yang dekat yang Engkau berikan kepadanya kekuasaan terhadapku, jika Engkau tidak marah maka aku tidak peduli.

Rasulullah SAW memikirkan mengenai kemurkaan Allah sepanjang masa. Dia tidak kisah di saat manusia lain membuangnya selagi mana Allah bersamanya. Kebimbangan baginda hanyalah mengenai kemurkaan Allah. Diri yang penuh dosa dan noda ini masih mengharapkan keberadaanNya dalam setiap liku perjalanan ini. Ya Allah, jangan Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri walaupun sekadar sekelip mata atau sekadar masa yang lebih pendek dari itu.

Aku berlindung dengan cahayaMu yang menyinari kegelapan dan memperbaiki perkara dunia dan akhirat yang turunya murkaMu atau datangnya kemarahanMu terhadapku. BagiMu pengaduan hingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya kecuali denganMu.

Setiap pengaduan dan segala masalah hati hanyalah milikNya. Sememangnya saya tidak akan mampu meneruskan pendakian ini tanpaNya di sisi.

Wednesday, September 10, 2008

Alhamdulillah...


Keputusan mid posting baru sahaja saya ketahui. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Rasa syukur tersebut bukan kerana markah tetapi kerana bertambahnya kefahaman saya mengenai tawakal. Setiap hari Allah menambah baik kefahaman saya. Urusan yang paling aula juga telah Allah mudahkan. Ramadhan ini sentuhannya berbeza. Ukhwah semakin berbunga dan kian harum. Moga salju tarbiah yang kian terasa bertunas menghasilkan bunga-bunga iman yang akan terus menjalar.


Tulisan Amru Khalid memugar kembali semangat. Saya temui tiga buku tulisannya dalam terjemahan Indonesia dan saya membeli ketiga-tiganya. Puas sekali membaca tulisan ikhwan yang satu ini. Sentuhannya begitu unik dan menyengat.


Saya kongsikan sesuatu mengenai tawakal di dalam buku Hati Sebening Mata Air tulisan Amru Khalid, moga-moga menambah kefahaman pembaca sekalian.


"Tawakal merupakan ibadah hati, dan tidak terkait dengan anggota badan. Anggota badan kita- kaki, tangan atau lisan - haru bekerja keras seolah tidak ada tawakal. Sedangkan, hati tidak menggubris keberadaan anggota badan itu, sehingga tidak memikirkan hukum sebab-akibat, dan hanya terkait dengan Allah sahaja".


Kata-kata ini menguatkan tulisan Syed Qutb di dalam muqaddimah Fi Zilalil Quran yang pernah saya pelajari dahulu:


"Segala sebab-sebab yang diketahui umum itu kadang-kadang melahirkan kesan-kesannya dan kadang-kadang tidak, begitu juga muqaddimah yang dianggap orang sebagai pasti kadang-kadang melahirkan natijah dan kadang-kadang tidak, kerana sebab-sebab dan muqaddimah-muqaddimah itu sendiri bukanlah berkuasa mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu, malah iradat Allah yang bebas itulah yang mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu disamping mewujudkan sebab-sebab dan muqaddimah itu sendiri.


Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana ia diperintah berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijah-natijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilan-Nya, kepada hikmat kebijaksaan Allah dan ilmu-Nya itulah satu-satunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaan syaitan."

Saturday, September 06, 2008

Terus bekerja...




Saya mengenali nama Assyahid Fauzi Ismail selepas membaca sekali lalu buku yang ayah saya beri baru-baru ini. Tidak sempat mengkhatamkannya kerana ayah saya membawa balik buku tersebut. Kisah Assyahid Fauzi boleh dibaca di sini dan di sini. Meskipun buku tersebut merupakan buku biografi, tapi sedikit sebanyak buku tersebut saya rasakan adalah buku fikrah.

Apa yang saya mahu ceritakan sebenarnya? Mengenai kehidupan di dunia yang cuma sebentar dan memerlukan pengorbanan demi pengorbanan. Setiap saat adalah pengorbanan. Dan hakikatnya setiap insan perlu melakukan pengorbanan. Kata-kata ayah assyahid sungguh bermakna. Apabila ditanya kepada si ayah akan anaknya itu, beliau menjawab:

" Dia tak mahu dunia. Dia tinggalkan kedai dan motornya untuk cari akhirat. Sekarang dia dah dapat... saya bersyukur."

Saya masih mengingati kata-kata Prof A semasa study circle. Katanya, kelas hari itu adalah kelas yang paling penting sekali daripada kelas-kelas yang lain yang akan kami lalui sepanjang posting ini. Ilmu kami akan sentiasa bertambah dengan bertambahnya masa, tapi kelas inilah yang akan menentukan sama ada kami akan menjadi seorang doktor yang baik ataupun tidak di masa akan datang.

Prof A boleh membuat beratus ribu ringgit sebulan seandainya dia mahu bekerja di hospital swasta. Tapi dia tidak memilih kehidupan tersebut. Dia memilih untuk berulang alik dari Kelantan ke Cyberjaya semata-mata untuk mengajar kami. Duit bukanlah jaminan kebahagiaan. Adakalanya duit di dalam akaunnya mencecah ke angka 0, tapi kepercayaannya pada hadis Rasulullah SAW yang menjamin bahawa manusia yang mnginfaqkan atau mendermakan duitnya tidak akan menjadi papa kedana sungguh membuatkan saya mengkagumi insan ini. Kehidupannya penuh dengan pengorbanan. Isterinya merupakan pakar sakit puan, satu kerjaya yang menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Tapi dia memahami hakikat kehidupan. Andai bukan dia yang melakukan pengorbanan, apa pula yang akan terjadi pada ummah? Allah memberikan dia segalanya. Keinginnanya dipenuhi. Dia berjaya mendidik adik-adiknya. Dia berjaya menghantar ibu bapanya menunaikan haji dan segala macam hal lainnya.

Dia hanya mahu kami menjadi doktor yang baik yang memikirkan soal ummah. Kamu tahu dia tidur di mana? Di atas safrah sahaja. Katanya, dia hanya mahu tidur selesa di alam barzakh kelak bukan di dunia.

Saya juga masih mengingati kata-kata Prof L mengenai istiqamah. Rambut Rasulullah SAW memutih apabila ayat mengenai istiqamah turun.

Rasulullah SAW bekerja keras sangat sampai Saidatina Khadijah meminta Rasulullah SAW berehat. Rasulullah jawab, sejak Jibril turun dengan wahyu pertama ..tiada kerehatan bagiku..dalam kisah yang lain Rasulullah cakap ..mati tu kerehatan..Kenapa Rasulullah kerja keras sangat? Hakikatnya kerana ini adalah “nature of islam”..

It is about working..continous working situation..islam don't allow us to rest..sometimes our life is not ours anymore..

Di dalam surah al Insyirah, Allah merakamkan segalanya:

[7] Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),

Di dalam ayat ni hendak menekankan bahawa apabila kita sudah bekerja keras..terus kerja keras lagi..Tiada kerehatan..Di dalam perang uhud, Rasulullah kena personal attack..patah gigi..sampai sahabat jadi human shield, sanggup cederakan diri bagi rasulullah..

Tapi apa terjadi bila sampai Madinah? Mereka mendapat berita bahawa orang kafir Mekah rasa mereka menang. Apa Rasulullah suruh buat? Dalam keadaan luka-luka itu.. Rasulullah minta pakai baju besi dan pergi perang lagi..

Islam don't allow us to rest..It is good if we don't have enough rest..and we try best not to rest..A good mukmin is someone that don't like too much rest..

Apa motivasi untuk tidak rehat? Allah nak beli jiwa dan harta kita dengan syurga..Syurga ini magical word untuk sahabat..sahabat bila dengar syurga..terus lupakan benda lain..

Entri ini ditujukan pertamanya buat saya sendiri. Moga istiqamah di jalanNya. Saya sukakan penutup surah Insyirah. Terjemahannya:

[8] Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).

Friday, September 05, 2008

La Tas'aluni...

Amat sukar untuk memahamkan manusia lain akan hakikat kehidupan seorang pelajar perubatan. Bibir seakan tidak mampu mengungkapkan realiti kehidupan sendiri buat manusia di luar sana. Saya ingat lagi kata-kata seorang akak dari UIA. Kalau kamu nak cerita pada manusia lain tentang kesukaran belajar perubatan ini, tiada siapa pun yang akan faham. Allah sahaja yang akan faham. Betul kata-katanya itu...

Saya temui jutaan persoalan setiap hari. Kenapa nak jadi doktor? Memang minat ke nak jadi doktor? Ada pula yang bertanya, ”Takkanlah nak exam lepas raya? Nak raya pun ada exam ke?”

Ada seorang makcik ini pula berkata pada saya selepas ward round, ”Kesian makcik tengok kamu ini. Tidak kisah ke kena marah-marah macam itu? Kita ini manusia. Ada rasa malu. Susah juga ye nak jadi doktor ini..”.

Saya juga masih mengingati kata-kata seorang makcik yang mempunyai fikrah Islam yang mempunyai seorang anak yang hafiz AlQuran. ”Kan bagus kalau jadi cikgu. Ada masa untuk keluarga. Makcik tidak mahu anak makcik kahwin dengan doktor. Sibuk...”

Entahlah. Pasal kena marah itu, saya rasa semua pelajar perubatan sudah merasainya. Dah jadi HO pun kena marah. Dah jadi MO pun kena marah. Sudah terimun rasanya.

Dulu mula-mula sedih juga. Tapi selepas saya menghadam doa Moses Maimonides, saya sudah mula berasa tidak kisah. Doa tersebut saya rasakan terlalu luar biasa. Antara kandungannya...

Should those who are wiser than I wish to improve and instruct me, let my soul gratefully follow their guidance; for vast is the extent of our art.
Should conceited fools, however, censure me, then let love for my profession steel me against them, so that I remain steadfast without regard for age, for reputation, or for honor, because surrender would bring to Thy creatures sickness and death.
Imbue my soul with gentleness and calmness when older colleagues, proud of their age, wish to displace me or to scorn me or disdainfully to teach me.
May even this be of advantage to me, for they know many things of which I am ignorant, but let not their arrogance give me pain.
For they are old and old age is not master of the passions.
I also hope to attain old age upon this earth, before Thee, Almighty God!
Let me be contented in everything except in the great science of my profession.

Kandungan keseluruhan doa tersebut boleh diperolehi di sini. Doa ini saya rasakan mengungkapkan sebahagian besar kehidupan di dalam dunia perubatan.

Tadi tengahari pun kena marah juga. Tapi lepas kena marah-marah, doktor itu cakap, “Kerja yang kamu lakukan ini melibatkan nyawa. Kami tidak boleh nak ajar kamu lembut-lembut. Nak jadi doktor kena kuat.”

Semalam seorang doktor yang lain pula bercakap semasa kelas. “Kamu perlu serius. Kerja ini adalah kerja yang serius. Kamu perlu mula belajar bersunguh-sungguh dari sekarang. Cuba kamu lihat doktor-doktor yang hebat itu. Semua yang jadi hebat itu disebabkan oleh kerja kuat mereka. Kerja kamu lain dari yang lain. Tiada glamour. Orang lain beraya, kamu ada exam”.

Minggu lepas pula, saya perlu membentangkan mengenai penyakit Leptospirosis semasa ward round. Selepas pembentangan, Doktor N merangkap ketua jabatan pediatrik bertanyakan saya sejarah penyakit Leptospirosis. Kemudian dia bertanyakan kepada pelajar UPM, bila Universiti Pertanian Malaysia bertukar menjadi Universiti Putra Malaysia ? Kemudian dia bertanyakan saya lagi, bila pula kolej saya ditubuhkan ? Kenapa perlu belajar sejarah ? Tidak lain tidak bukan supaya kamu menghayati segala perkara yang kamu perolehi. Katanya lagi, meskipun dia sudah menjadi Ketua Jabatan Pediatrik, dia tidak pernah melupakan kesukarannya belajar perubatan hatta semasa tahun pre-klinikalnya (semasa tahun pertama dan dua dahulu). Ya, saya tidak pernah lupa sejarah dan kesukaran saya juga. Sudah terlalu banyak air mata yang mengalir hakikatnya.

Kata-kata Prof A juga begitu bermakna - Doktor ini seperti lilin. Membakar dirinya sendiri untuk manusia lain. Dia akan mengorbankan dirinya sendiri untuk manusia lain. Keinginan sendiri jarang dipenuhi.

Pada saya, belajar perubatan dan kelak menjadi doktor bukanlah perkara yang mudah. Kerjaya ini melibatkan nyawa, bukan bahan lain. Kerjaya ini memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Cuma sedikit yang saya pinta...Cubalah untuk memahami meskipun saya tahu kalian tidak pernah mampu untuk memahaminya....

Saya sukakan nasyid ini...La Tas’aluni ’an hayati....


Wednesday, September 03, 2008

Timelapse...

Akhirnya saya temui juga video zikir munajat beserta 'nature timelapse' yang amat menyentuh hati saya. Alhamdulillah... Alhamdulillah.. Alhamdulillah...