Keputusan mid posting baru sahaja saya ketahui. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Rasa syukur tersebut bukan kerana markah tetapi kerana bertambahnya kefahaman saya mengenai tawakal. Setiap hari Allah menambah baik kefahaman saya. Urusan yang paling aula juga telah Allah mudahkan. Ramadhan ini sentuhannya berbeza. Ukhwah semakin berbunga dan kian harum. Moga salju tarbiah yang kian terasa bertunas menghasilkan bunga-bunga iman yang akan terus menjalar.
Tulisan Amru Khalid memugar kembali semangat. Saya temui tiga buku tulisannya dalam terjemahan Indonesia dan saya membeli ketiga-tiganya. Puas sekali membaca tulisan ikhwan yang satu ini. Sentuhannya begitu unik dan menyengat.
Saya kongsikan sesuatu mengenai tawakal di dalam buku Hati Sebening Mata Air tulisan Amru Khalid, moga-moga menambah kefahaman pembaca sekalian.
"Tawakal merupakan ibadah hati, dan tidak terkait dengan anggota badan. Anggota badan kita- kaki, tangan atau lisan - haru bekerja keras seolah tidak ada tawakal. Sedangkan, hati tidak menggubris keberadaan anggota badan itu, sehingga tidak memikirkan hukum sebab-akibat, dan hanya terkait dengan Allah sahaja".
Kata-kata ini menguatkan tulisan Syed Qutb di dalam muqaddimah Fi Zilalil Quran yang pernah saya pelajari dahulu:
"Segala sebab-sebab yang diketahui umum itu kadang-kadang melahirkan kesan-kesannya dan kadang-kadang tidak, begitu juga muqaddimah yang dianggap orang sebagai pasti kadang-kadang melahirkan natijah dan kadang-kadang tidak, kerana sebab-sebab dan muqaddimah-muqaddimah itu sendiri bukanlah berkuasa mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu, malah iradat Allah yang bebas itulah yang mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu disamping mewujudkan sebab-sebab dan muqaddimah itu sendiri.
Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana ia diperintah berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijah-natijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilan-Nya, kepada hikmat kebijaksaan Allah dan ilmu-Nya itulah satu-satunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaan syaitan."
No comments:
Post a Comment