Sunday, May 17, 2020

Biji sawi...

Wahai ibu-ibu dan puteri-puteri yang dikasihi.

Alhamdulillah kita bertemu lagi dalam siri-siri marsum maya ini. Hari ini kita akan mentadabbur satu ayat dari kalamullah. Satu ayat yang sewajarnya menjadi renungan kita sebagai para ibu.

Seringkali saat anak-anak kecil atau remaja terjebak dengan amal-amal seperti pornografi, onani, zina dan lainnya, ada sesuatu yang bermain di hati kita. Sejauh mana anak-anak ini ihsan atau merasai bahawa Allah ada dan melihat segalanya. Adakah ihsan ini mengairi hati dan jiwa mereka?

Hari ini kita tadabbur Surah Luqman ayat 16 yang menceritakan nasihat seorang ayah pada anaknya. Sebelum Luqman menasihati anaknya agar tidak terjebak dengan perkara mungkar, ayat ini merakamkan analogi yang digunakan oleh Luqman pada anaknya.

“Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui”.

Luqman memulakan nasihatnya dengan panggilan “ya bunayya”. Ianya merupakan panggilan manja buat anaknya. Kalimah ini menggambarkan satu kedekatan antara anak dan ayahnya. Sebelum kita menasihati anak, ada satu ruang yang perlu kita muhasabah. Sejauh mana keterdekatan kita dengan si anak. Kita perlu berusaha agar pertautan hati itu ada di antara kita dan anak.

Dan kemudiannya dia menyebutkan, “innaha in taku misqala habbatin min khardal” – seandainya ada satu benda yang kecil dan sekecil biji sawi.  Luqman cuba membawa si anak mengerti tentang satu objek yang sangat kecil dan halus.

Dan kemudian Luqman menyebut “fatakun fi sahrah” dan berada di dalam satu batu yang terlalu besar. Cubalah kita bayangkan batu sebesar bilik di rumah kita atau lebih besar dari itu. Luqman sebut sekecil-kecil benda dalam sesuatu yang tersangat besar. Dia meminta si anak membayangkannya. Bagaimana mahu mencari biji sawi yang kecil itu? Belah dua batu itu? Mustahil boleh jumpa. Belah bermilion, trillion. Oklah misalnya dah belah batu yang besar itu sama sekecil biji sawi itu. Dalam million butiran batu halus itu, bagaimana untuk mencari biji sawi tersebut? Sukar bukan.

Hebatnya lagi nasihat Luqman ini, ia tak berhenti setakat itu. Analogi itu ada pula sambungannya. Di sambung pula “aw fissamawati aw fil ardhi”. Batu itu pula mungkin di langit atau di bumi. Cubalah bayangkan keluasan alam cakrawala ini. Bayangkan galaksi bima sakti. Dan nak cari biji sawi ini.

Apa ayat seterusnya? “Yakti bihallah” Nescaya Allah akan mendatangkannya. Benda yang mustahil untuk kita, tapi Allah mampu melakukannya. Satu kekuasaan yang besar. Seandainya itu pun Allah tahu, Luqman ingin anaknya tahu bahawa Allah tahu bahawa sekecil mana yang terdetik di hati, sehalus mana pekerjaan yang kamu lakukan.

“Innallaha lathifun khabir”. Lathif ini menggambarkan betapa halus dan ‘precise’nya Allah. Mampu menguruskan sehalus-halus ciptaan. Di sebalik kegagahan Allah, ada kehalusannya. Ada manusia gagah yang hatta bila memegang gelas, gelas pun pecah. Namun Allah bukan begitu, di sebalik kegagahannya, ada kehalusannya.

Dan ‘khabir’ pula menggambarkan kehalusan Allah dalam memahami hati insan, di sudut yang paling dalam. Sekecil-kecil dan sehalus-halus detik hati.

Maka sesudah itulah, barulah Luqman menasihati anaknya mengenai hal lain. Maka ayuhlah kita mengambil pedoman, ibrah dan nasihat dari ayat Quran ini. Kita perlu menanam perihal ihsan dan kebersamaan Allah dalam jiwa anak-anak kita.

Dan di malam-malam akhir Ramadhan ini, kita terus berdoa dalam kehangatan malam untuk semua anak-anak kita agar dijauhkan dari fitnah dunia yang mengganas.

U2F
Indera Mahkota

No comments: