Ayuh kita sambung kembali kisah dua pemilik kebun di dalam Surah Kahfi ayat 32 dan 33. Apa yang Allah beri pada pemilik kebun?
Allah bukan memberi satu kebun yang besar, malah dua kebun. Terlalu besar, terlalu hebat. Hebatnya lagi si pemilik kebun, dia sangat menguasai sains pertanian. Sangat menguasai sunnatullah.
Dia menanam anggur. Anggur ini adalah satu buah yang dikira mahal bagi orang Arab. Harganya mahal. Dan dia memiliki dua kebun yang dipenuhi anggur.
Apa yang dia gunakan sebagai pagar? Bukan tiang, bukan tembok, bukan batu tetapi pohon tamar. Sangat luar biasa kebijaksanaan yang Allah beri padanya. Pohon anggur menghasilkan hasil, pohon tamar juga menghasilkan hasil. Bijak! Tidak timbul masalah musim. Sentiasa ada hasil. Tidak timbul masalah kerana angin yang kuat kerana dipagar oleh pohon tamar yang kuat mencengkam akarnya. Apa lagi yang si pemilik kebun tanam? ‘Bainahuma zar’a. Di antara pohon anggur dan tamar itu juga, dia menanam tanam-tanaman lain, dia memaksimakan hasil yang perlu diperolehi. Sangat bijak. Tiada inci tanah pun yang tidak dimaksimumkan.
Kita yang pernah tanam pokok atau melihat orang tanam pokok, pasti tahu sukarnya pengalaman mereka yang berada di sektor pertanian. Akan ada racun, ada serangga, ada buah yang rosak, ada binatang liar seperti monyet. Tapi Allah ceritakan betapa sempurna kebun ini dalam ayat 33. Tiada kerugian langsung. Si pemilik kebun menggunakan teknologi yang baik. Lagi cantik, ada pula sungai yang mengalir. Sistem pengairan yang baik. Boleh dimanfaatkan sebagai sektor perlancongan kerana kecantikan alam semulajadi.
Tetapi dalam dua ayat ini berulang kali Allah menyebut Kami. Segala yang ada pada pemilik kebun adalah semata-mata dari Allah. Si pemilik kebun memahami sains (sunnatullah) dengan baik dan memaksimakan teknologi tetapi dia terlupa Allah yang memberi segalanya.
Adakah ayat ini hanya untuk pemilik kebun? Tidak! Evergreen sehingga kiamat. Ayat ini untuk kita. Segala nikmat, kepandaian, teknologi, keuntungan hanyalah semata-mata dari Allah!
No comments:
Post a Comment