Ibu-ibu dan puteri-puteri yang dikasihi Allah!
Jujurnya diri ini ditaklifkan dengan amanah yang berat, diberikan tugasan menyampaikan advokasi pada masyarakat umum berkisar mengenai isu-isu semasa.
Dalam tugasan itu, aku cuba mempelajari dan menghadam bahan-bahan sekitar isu tersebut. Lantas aku temukan jawapan kepada semua persoalan umat ini iaitu kembali kepada tarbiah ruhani.
Lantas izinkan marsum maya ini hadir di laman ini untuk aku yang juga seorang ibu muda berkongsi rasa dan hikmah. Yang pasti, aku juga sedang bermujahadah mendidik anak-anak kecil.
Hari ini aku iktibari kisah Abdullah Ibn Zubair semasa kecil. Naluri anak-anak sama seperti anak-anak kita juga. Apatah lagi anak lelaki yang sering ingin bermain, aktif dan tidak pernah penat. Bateri mereka sentiasa 100%, tidak pernah berkurang sedikit pun, Begitulah juga dengan Abdullah bin Zubair semasa kecil. Bermain tiada henti.
Satu ketika saat dia bermain-main dengan anak-anak kecil yang lain, tiba-tiba suasana menjadi sunyi sepi. Anak-anak yang lain menyepi.
Mengapa? Rupa-rupanya Saidina Umar mendekati mereka. Getaran aura Saidina Umar ini ternyata membuatkan anak-anak yang lain terdiam. Bayangkan sahaja suasana ketika itu. Andai kita yang menjadi anak-anak kecil tersebut. Yang mendatangi adalah Saidina Umar yang hatta ditakuti oleh syaitan sehingga memilih jalan yang lain. Ada di antara anak-anak ini yang sudah pun bersembunyi dan berlari.
Namun ada seorang anak kecil berani yang tidak berganjak sedikit pun. Itu menimbulkan taajub pada Saidina Umar lantas dia menanyakan, “Mengapa engkau wahai anak kecil tidak lari seperti mana anak-anak yang lain?”
Lantas dijawab Abdullah Ibn Zubair dengan yakin, “Mengapa aku harus lari? Aku tidak melakukan apa-apa kesalahan. Jalan yang ada juga luas, mengapa aku harus mengelak dan memberimu ruang untuk berjalan?”
Ya, itulah bicara seorang anak kecil saat itu pada Saidina Umar yang gagah. Kekuatan peribadi yang luar biasa.
Lantas aku bermuhasabah. Di mana-mana anak-anak seperti Abdullah Ibn Zubair dalam generasi kini? Adakah disibukkan dengan gajet, televisyen, kartun yang tidak sudah-sudah. Kita meraikan fitrah mereka pastinya. Malah Saidina Umar pernah menyebut: “Didiklah (persiapkanlah) anak-anakmu atas hal yang berbeza dengan keadaanmu (sekarang) kerana mereka adalah hidup untuk satu zaman yang bukan zamanmu (sekarang)”
Namun pastinya kisah-kisah seperti Abdullah Ibn Zubair ini bukanlah satu fantasi atau dongengan semata. Ada hikmah yang perlu kita kutip kerana Abdullah Ibn Zubair lahir dari madrasah dan rumah yang hebat. Ibunya adalah Asma bin Abu Bakar yang yang digelar dengan nama Dhaatun Niqaatain, wanita yang memiliki dua tali pinggang yang digunakan untuk mengikat makanan ayahnya dan Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah.
Sedang ayahnya pula adalah Zubair bin Awwam yang pernah disebutkan oleh Saidina Umar bahawa kekuatannya menyamai 1000 orang.
Ya, maka di sinilah titik tolaknya pembinaan anak-anak yang soleh dan musleh. Ibu dan ayahnya yang perlu terlebih dahulu terus membaiki diri, membina diri dengan tarbiah Imani sehingga mampu mengairi anak-anak ini. Proses ini adalah mujahadah sepanjang kehidupan kita di dunia.
Lazimilah doa untuk anak-anak sepanjang masa dan teruslah berbuat yang sebaiknya.
Insya Allah sehingga bertemu lagi menerusi marsum maya lainnya.
Yang benar,
U2F
Indera Mahkota, Pahang
No comments:
Post a Comment