Usia saya sudah mencecah lebih 30-an. Paling kurang ada dua puluh tahun lebih saya dah berpuasa.
Terkesan tadi join program melalui googlemeet. Ustaz Syazalie sebut tentang ayat puasa. Ada satu tempat sahaja dalam Quran yang menyebut tentang puasa iaitu Surah Baqarah ayat 183-187.
Ustaz pun tanya, apa ayat Quran selepas ayat berkenaan puasa?
Jujurnya tak tahu. Mengaji berpuluh tahun, puasa berpuluh tahun tapi tak tahu. Nasiblah guna googlemeet. Boleh mute suara, boleh off video. Malu tak tahu nak letak muka di mana.
Ustaz Syazalie pun lepas itu sebut Surah Baqarah ayat 188:
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.
Apa puasa ini? Kita tak boleh buat benda yang halal yang selama ini kita buat selama sebulan tempoh kita berpuasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Tak boleh makan benda yang halal kita buat sebelum ini. Tak boleh bersama pasangan yang halal. Satu pensyariatan yang besar.
Dan tiba-tiba selepas satu pensyariatan puasa yang besar itu, Allah sebut ayat 188. Tak boleh ambil harta orang lain. Tak boleh rasuah.
Manifestasi kita berpuasa ini akan menyebabkan kita sensitif dengan hal-hal yang lebih besar misalnya rasuah.
Hari ini ada pencuri yang curi berjuta, berbilion duit dibebaskan. Kita tepuk dada, kita tanya diri kita. Kita tanya iman kita sahaja. Sejauh mana puasa kita menyebabkan kita sensitif isu yang sebegini besar. Ini bukan kisah sepuluh sen. Bukan kisah RM 1. Bukan kisah RM10. Ini kisah tentang satu penipuan dan pengkhianatan yang tersangatlah besar.
Pada akhirnya saya pun bermuhasabah.
Faham Islam cuma terpisah-pisah.
Faham sejarah seperti puzzle yang terpisah.
Faham puasa pun terpisah-pisah. Bertahun bincang hukum korek hidung, memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan tanpa faham hukum yang lagi besar.
Bertahun baca Quran tapi terpisah-pisah.
Bertahun-tahun khatam setiap Ramadhan tapi penghayatan dan amal masih kurang.
Moga Ramadhan ini menjentik hati kita memperbaiki ‘alfahmu’ atau kefahaman-kefahaman kita yang terpisah.
No comments:
Post a Comment