Monday, December 28, 2009

Pintu...

Bila saya menulis mengenai 8 cinta dalam entri sebelum ini, mungkin juga ada yang merasakan hal itu begitu mudah diatasi. Insya Allah hal itu mudah andai tidak memiliki, tapi sukar andai sudah memiliki.

Misalnya kereta. Suatu ketika dahulu, saya begitu menginginkan kereta agar urusan dakwah menjadi mudah. Namun apabila Allah mengurniakan saya kereta, datanglah ujian seterusnya iaitu menginfaqkan duit untuk mengisi minyak. Saat itu, hati diuji dengan sebenarnya. Kena kuat mengatakan dan mendidik hati bahawa jual beli ini adalah dengan Allah untuk membeli syurgaNya yang hebat itu. Terbayang andai sudah memiliki beribu-ribu ringgit satu masa nanti, adakah saat itu infaq menjadi mudah atau sukar?

Bila kita di kolej, hal dakwah tidak sukar. Tapi bila di rumah, di satu tempat yang sangat selesa, keluar untuk membuat kerja dakwah adalah sukar. Bila kita berjauhan dengan keluarga, dakwah begitu mudah. Tapi andai hidup bersama keluarga, keluar ke jalan dakwah dengan meninggalkan mereka menjadi begitu sukar.

Contoh lain lagi, mungkin ada yang rasa bahawa kahwin bukan satu masalah. Andai bertemu dengan pasangan yang juga memahami dakwah, hal itu akan menjadi mudah. Tapi tidak. Ramai pasangan yang bertemu di jalan dakwah ini juga gugur. Pernah saya mengajak seorang ukhti yang mana pasangannya juga adalah yang memahami dakwah ke satu program. Tapi ukhti ini mengatakan bahawa dia perlu memasak untuk suaminya. Tertanya-tanya juga di hati, adakah suaminya tidak mampu bertahan selama dua jam andai si isteri ke program. Tapi inilah realiti. Semua cinta ini akan menguji kita. Itulah sebabnya Kak A mengatakan bahawa andainya satu masa nanti kita telah berkahwin, percayalah bahawa suami tidak akan sekali-kali dapat menggantikan tempat akhawat.

Suatu masa nanti juga kita akan diuji dengan anak. Bayangkan wajah bayi yang mulus di dalam dakapan kita. Mampukah kita melepaskan bayi yang lahir, yang pernah berada sembilan bulan dalam rahim kita untuk hadir ke program tarbiah? Hati akan diuji dengan sebenarnya saat itu. Dan inilah yang dinamakan jalan dakwah. Jalan yang penuh dengan tapisan Allah. Menitis air mata saat berbicara mengenai jalan ini. Tidak tahu sampai bila diri ini bertahan. Hanya mampu mengharapkan rahmatNya untuk membantu hambaNya yang lemah ini untuk terus istiqamah.

Sebelum perasmian mukhayyam tempoh hari, program mukhayyam dimulakan dengan mentadabburi ayat-ayat Allah. Ayat-ayatnya ialah ayat 38-47 dari Surah Attaubah. Saya pernah mentadabbur ayat ini dulu. Sebahagiannya pernah saya tulis di sini dan sini. Tapi bila dalam keadaan hati kita yang begitu berat untuk hadir ke mukhayyam, ayat ini menggetarkan hati dengan sebenarnya. Mencurah-curah air mata. Hebatnya Quran yang akan menarbiah hati mengikut peristiwa, menggetarkan hati walau sudah berkali-kali dibaca. Terasa sangat Allah sedang berbicara dengan kita.

Aradhitum bil hayatiddunya? Adakah saya dah redha dengan kehidupan dunia ini? Adakah saya dah melekat dengan tanah sehingga begitu sukar untuk keluar ke medan?

Allah berbicara bahawa kehidupan dunia ini nak dibandingkan dengan kehidupan akhirat adalah terlalu sedikit.

Allah kata dia akan gantikan orang yang tidak ingin berjihad. Saya nak ke Allah gantikan saya dengan orang lain untuk terus berada di jalan dakwah? Adakah saya mahu diazab?

Allah ceritakan mengenai Rasulullah SAW dan Abu Bakar dalam jujusan ayat-ayat itu. Ya, Allah menolong Rasulullah SAW dan Abu Bakar ketika berada di gua, ketika tiada siapa menolong mereka. Kalau saya tidak tolong agama Allah, agama Allah tetap akan menang. Allah tidak perlukan saya, tapi saya amat memerlukan Allah.

Infiru khifafan wa thiqalan. Berangkatlah baik dalam keadaan merasa ringan atau berat. Tidak ada pilihan di jalan dakwah. Walau seberat mana pun hati, kena terus berangkat. Allah kata benda itu lebih baik bagi saya.

Dalam ayat 42, Allah berbicara mengenai jalan dakwah ini. Satu jalan yang sangat panjang. Tidak tahu bila nak menang. Allah tahu orang yang berdusta di jalan ini. Adakah saya orang yang dikatakan berdusta itu?

Di dalam ayat 44, Allah ungkapkan ciri-ciri mereka yang meminta izin untuk tidak berjihad. Mereka adalah orang yang tidak beriman kepada Allah, hari kemudian dan hati mereka ragu. Allah tegaskan lagi ayat itu dengan mengatakan bahawa mereka selalu bimbang dalam keraguan. Nauzubillah. Sayakah orang yang Allah sebutkan itu? Beratnya ayat ini.

Ayat yang ke 46 juga begitu menggegarkan hati. Jalan ini adalah jalan yang penuh tapisan. Andai Allah tidak menyukai keberangkatan seseorang, Allah akan melemahkannya. Nauzubillah. Dalam ayat 47, Allah kata orang-orang ini kalau pergi pun tidak akan menambahkan kekuatan, hanya membuat kekacauan. Saidina Abu Bakar r.a pernah berkata, janganlah Islam kalah dari pintu yang dia jaga. Adakah saya akan membiarkan Islam kalah dengan kelemahan saya. Nauzubillah.

Mencurah-curah air mata. Terasa kegerunan yang amat saat mentadabbur ayat-ayat Allah. Moga Allah menguatkan saya sehingga saya bertemuNya.

No comments: