Wednesday, December 30, 2009

Sirah...

Lama kelmarin kami berusrah. Hampir pukul 12 malam baru pulang. Antara topik yang dibincangkan adalah berkenaan dengan jodoh, perkahwinan dan tarbiyatul aulad (pendidikan anak-anak).

Teringat kata-kata Makcik A semasa mukhayyam – Jodoh memang satu ketentuan tapi jodoh juga satu pilihan. Antara perkara yang perlu menjadi agenda besar dalam soal perkahwinan adalah dakwah itu sendiri. Adakah pilihan kita mampu menjamin kelangsungan dakwah? Allahu A’lam. Saya tinggalkan dahulu topik ini.

Terlanjur berbicara mengenai Makcik A, saya teringat tema mukhayyam – Nahnu Duat Qabla Kulli Syaiin – Kami adalah duat sebelum segala sesuatu. Makcik A adalah seorang doktor pakar tapi saya tidak mengetahui hal itu pada beberapa pertemuan awal dengannya. Makcik lebih dikenali sebagai seorang daiyah. Melihat kepada anak binaannya, saya mengucap takbir. Masya Allah, sungguh mengkagumkan sekali kehebatan yang Allah berikan padanya.

Pengisian makcik benar-benar mengesankan. Makcik banyak menyelitkan kuiz sepanjang pengisian. Dan banyak sekali soalan-soalan yang diajukan tidak dapat saya menjawabnya. Kata makcik, dia mahu menjentik perasaan halus dalam diri para peserta bahawa masih banyak lagi ilmu tentang Islam yang tidak kita kuasai. Ayat Quran tidak dihafaz. Sahabat dan sirah tidak kita kenali. Huhu. Rasa malu sukar saya gambarkan.

Bicara makcik menyentuh hati. Kata makcik, ayat-ayat Quran mengenai perjuangan perlu kita hafaz agar ayat ini menjadi motivasi di saat kita kefuturan. Kisah-kisah sirah dan sahabat bukan hanya kisah dulu tapi perlu diterjemahkan dalam kehidupan kini.

Antara soalan-soalan kuiz yang makcik ajukan sepanjang pengisiannya:

Tuliskan satu ayat jihad.

Tuliskan satu hadis mengenai jihad.

Siapakah sahabat yang mana golongan kufar di Mekah mengatakan padanya – “Kau dahulunya tidak memiliki harta semasa kedatangan awalmu ke Mekah dan kini kau mempunyai harta. Kau tidak boleh berhijrah dengan harta ini ke Madinah”. Lantas sahabat ini meninggalkan seluruh hartanya di Mekah dan berhijrah. Siapakah sahabat ini?

Apakah doa Abdullah bin Jahsh sehingga Saad bin Abi Waqas mengatakan bahawa doa Abdullah adalah lebih baik dari doanya

Siapakah sahabat yang mengungkapkan kata-kata ini – “Berada pada suatu malam yang dingin membeku dalam suatu pertempuran, lebih aku sukai daripada tidur bersama seorang gadis di malam pengantin”?

Siapakah sahabat yang terlibat dalam perang Badar tapi menghantar secara sulit rahsia pembukaan Mekah kepada golongan Kufar di Mekah?

Huzaifah bin Yaman pernah disuruh oleh Rasulullah SAW untuk menjadi pengintip. Huzaifah melihat seorang musuh Islam dan saat itu beliau mampu membunuh musuh tersebut. Tapi kerana begitu patuh pada perintah Rasulullah SAW yang menyuruhnya hanya untuk menjadi pengintip dan bukan membunuh, dia akhirnya tidak jadi membunuh. Siapakah musuh yang ingin dibunuhnya?

Kambing milik siapakah yang mana air susu kambing ini dicampurkan dengan batu yang panas sehingga menjadi air susu yang suam dan menghilangkan dahaga Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar dalam peristiwa hijrah?

Itu antara soalan yang diajukan. Banyak lagi cuma saya tidak sempat menyalinnya. Kisah-kisah ini begitu memotivasikan sebenarnya. Indahnya hidup apabila melihat dan mengambil semangat mereka yang terlibat dalam perjuangan ini.

Saya ingin mencontohi makcik. Makcik menghafal setiap ayat Quran. Pengisiannya diselang-selikan dengan ayat Quran yang begitu menyentuh hati.

Makcik juga menjual buku-buku tarbiah. Makcik ada menceritakan mengenai seorang isteri Rasullullah SAW, Zainab bint Jahsy yang menyamak kulit binatang dan menjualnya dan segala hasil keuntungannya diinfaqkan demi dakwah. Terdetik juga keinginan untuk berniaga cuma masih belum pasti detik dan ketika yang terbaik.

Di saat makcik mempromosi buku-buku yang ada, saya jadi terpegun sebentar. Banyaknya buku yang makcik baca. Dakwah mengajar kita semua itu. Bukankah Islam juga memerlukan kita menjadi seperti itu demi kelangsungan dakwah?

Sungguh jalan ini menemukan saya dengan ramai murabbi dan murabbiah yang berjuang lillah dan fillah. Moga-moga Allah memberi kekuatan untuk saya pula agar terus thabat.

No comments: