Saturday, February 23, 2008

~Kupasan Hadis Ghulam~

Hadis Ghulam boleh dibaca di link yang diberikan:
http://www.dakwah.info/index.php/Kajian-Hadith/Kisah-Ghulam.html

Mungkin ada yang rasa biasa sahaja apabila membaca hadis ghulam yang diattachkan bersama email ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh hadis tersebut. Ada kaitan ke hadis tersebut dengan keadaan kita sebagai pelajar. Adakah hadis tersebut setakat sebuah cerita? Agak-agaknya, Rasulullah SAW suka-suka ke nak buang masa nak cerita dengan sahabat kisah tersebut yang serasanya sangatlah panjang?

Insya Allah kita berkongsi sedikit pengajaran dari hadis ini. Sekiranya ada kesilapan, teguran adalah dialu-alukan. Hadis ni sebenarnya terlalu bermakna setiap baris dan ayatnya. Menjadi taklif (tanggungjawab) untuk berkongsi meskipun ilmu yang ada terlalu sedikit.

Ghulam ni apa sebenarnya? Remaja lelaki. Kisah ni pernah disebutkan dalam Quran ke? Pernah. Dalam Surah Buruj. Kisah tentang parit. Bila satu kisah tu Allah sebut dalam AlQuran, kisah tu sangatlah penting. Macam orang yang menyusun buku teks, dia kenalah pastikan apa yang dia nak tulis dan susun dalam buku teks tu adalah benar-benar penting. Macam itu juga dengan AlQuran. Kitab dan pedoman sepanjang hayat. Maka setiap perkara yang Allah sebutkan tu memang sangat relevan dengan kita.

Allah sebut ke nama ghulam tu dalam AlQuran? Rasulullah sebut ke nama ghulam tu dalam hadis tersebut? Allah dan rasulNya sebut ke nama tempat itu? Tak. Sebab apa? Sebab nak tunjukkan kat kita betapa ‘evergreen’nya hadis ni. Rasulullah SAW nak tunjukkan kat kita betapa relevannya hadis ni meskipun kita duduk pada era 2020. Saya adalah ghulam. Awak adalah ghulam. Siapa sahaja adalah ghulam.

Kenapa agaknya hadis ni pasal ghulam? Seorang remaja. Kenapa bukan pasal seorang tua yang dah matang dengan pengalaman ke? Kenapa agaknya? Sebab remajalah penentu masa depan sesuatu bangsa kan? Remajalah golongan yang mempunyai semangat yang sangat kental. Punya misi dan visi. Tindakannya jauh lebih mencabar dan mungkin tak tercapai dek akal manusia biasa. Keputusannya membuat orang terpegun. Remajalah golongan yang sangat kreatif dan inovatif. Tapi apa yang jadi kat kebanyakan remaja sekarang? Mereka adalah golongan yang begitu hebat dengan perkara-perkara yang membinasakan. Hebat smoking, hebat clubbing, hebat cakap kosong, dan segala macam kehebatan yang menghancurkan ada dalam diri kebanyakan remaja dewasa ini.

Kita tengok hadis ini. Kisah ini dimulakan mengenai dialog di antara raja dan tukang sihir. Raja mempergunakan tukang sihir demi kepentingannya. Dan tukang sihir tahu sekiranya dia telah tiada, raja akan bermasalah. Maka dia meminta raja mencarikan seorang budak. Dalam riwayat Tarmizi disebut: “Carilah untukku seorang budak yang mudah memahami atau dia berkata: yang cerdik dan cepat faham” .

Kenapa budak yang cerdik dan pandai? Sebab kalau bodoh, kena ajar sihir berkali-kali. Menyusahkan. Maka raja pun mencari budak yang pandai. Macam mana raja cari? Tidak disebutkan dalam hadis ini. Mungkin raja buat peperiksaan SPM, tapis mana satu pelajar terbaik.

Lepas itu kita tengok tentang rahib. Bila budak itu sudah terpilih sebagai ahli sihir raja, maka popularlah dia. Terkenal. Semua orang kenal dia. Macam pelajar terbaik SPM, keluar di dada akhbar dan televisyen. Rahib pun kenal dia. Dan rahib ini pun berusaha untuk berkenalan dengan budak (ghulam) ini tadi. Tidak diceritakan macam mana rahib kenal budak itu. Zaman itu tiada boarding school. Maka ghulam ini berulang alik dari rumah ke tempat tukang sihir. Dalam perjalanan itu dia bertemu rahib. Dan rahib telah melakukan segala usaha untuk berkenalan dengan ghulam.

Kemudian ghulam pun syok dengan ilmu si rahib. Bermulalah episod baru dalam hidupnya, perkenalannya dengan Islam. Buat sahabat-sahabat sekalian, kisah ini adalah persis perjalanan hidup kita yang bukan kebetulan. Kisah ini adalah kisah perjuangan. Dan kisah ini akan terus berlaku sehingga hari akhirat. Ghulam akan terus hidup sehingga kiamat berlaku. Dan kitalah ghulam tersebut.


Mungkin sahabat-sahabat tertanya-tanya, jadi apa kaitannya hadis ni dengan kita? Hakikatnya, hadis ini nak ajak kita semua kembali menjadi ghulam atau remaja yang soleh dan musleh, yang baik dan cuba menjadikan manusia lain juga baik. Nak senang faham kaitan hadis ni dengan kita, dapatlah disimpukan:

1) ghulam – kita golongan remaja
2) ilmu sihir – macam ilmu duniawi yang kita pelajari seperti ilmu perubatan, kejuruteraan, undang-undang dan lain-lain lagi
3) tukang sihir – macam pensyarah-pensyarah kita di universiti atau cikgu-cikgu di sekolah yang mengajar kita ilmu duniawi
4) ilmu yang dipelajari dari rahib – macam ilmu agama yang kita pelajari dalam usrah, atau dari guru-guru agama kita, ilmu yang benar..

5) rahib – macam ustaz atau ustazah, naqib dan naqibah

Kita tengok ghulam ni. Dia belajar ilmu medic sahaja ke? Atau dia belajar agama dalam usrah sahaja? Dia belajar dua-dua benda. Ada di kalangan kita yang hanya tahu score dalam exam sahaja, tapi tidak tahu langsung pasal agama. Bila ada yang ajak pergi usrah/ program agama, rasa malas. Ada pulak yang hebat sekali dalam ilmu agama sahaja, akademik hancur belaka. Maka jadilah macam ghulam, balance dalam aspek duniawi dan ukhrawi.

Kalau kita tengok hadis ini, pernah tak si rahib suruh ghulam berhenti belajar sihir? Tidak pernah. Dalam keadaan terdesak pun, si rahib suruh ghulam ‘menipu’ sahaja. Tidak suruh ghulam berhenti belajar sihir. Kenapa agaknya ghulam ni belajar ilmu sihir sedangkan tanggungjawab dia adalah khalifah kat muka bumi ni? Bukan ke dia kena buat kerja dakwah, kena ajak orang kepada Islam. Tapi kenapa dia belajar ilmu duniawi jugak, kenapa bukan ilmu ukhrawi sahaja? Kenapa tak belajar pasal islam sahaja? Macam kitalah jugak kan, kenapa buat perubatan, undang-undang, kejuruteraan dan lain-lain? Bukan kita kena jadi khalifah ke? Sebabnya ultimate goal kita bukanlah nak jadi doktor, jurutera atau peguam semata-mata. Tapi semua tu adalah cara kita nak ’menyihir’ hati manusia lain kepada Islam. Kan best kalau jadi doktor, 5 minit je rawat pesakit, tapi 10 minit adalah berdakwah. Best tak? Best kan. Patient percaya tak? Mesti percaya. Kenalah jadi macam ghulam, dia belajar ilmu sihir tu untuk menyihir hati orang lain. Bila dia sembuhkan orang buta tu, dia katakan kat orang buta tu, Allah yang sembuhkan. Dia dakwah kat orang buta tu. Best kan kalau dapat jadi macam ghulam?

Ghulam belajar ilmu sihir itu dengan matlamat yang benar. Matlamatnya apa? Perjuangan aqidah yang hak. Hatta sehingga akhir hayatnya. Kalau kita tidak faham matlamat hidup kita, jadilah kita tukang sihir selama-lamanya. Jadilah kita doktor yang tidak pernah tahu tujuan penciptaannya. Dan kita akan terus diperkudakan. Macam orang Indonesia yang tolong bina KLCC itu. Dia buat kerja susah-susah, tapi orang lain dapat nama. Dia dipergunakan.

Ghulam bukan begitu. Sihirnya menyebabkan dirinya hebat. Hatta memperkudakan sang raja. Dia arahkan raja buat macam-macam semata-mata nak membolehkan raja membunuh dirinya. Tapi bukan tujuannya nak mati sia-sia. Dia memperkudakan raja agar perjuangan aqidah itu sampai kepada matlamatnya. Di hadapan semua manusia, kalimah tauhid itu berjaya ditegakkan. Kita pun perlu begitu. Jadi doktor yang hebat. Tujuannya semata-mata agar perjuangan aqidah ini sampai kepada matlamatnya. Agar Islam ini mencapai ustaziatul alam.

Lepas tu, kita tengok lagi ghulam ni. Dia cuba test ilmu dia saat dia bertemu binatang di jalanan. Dan bila dia yakin yang ajaran rahib adalah betul, dia pun mengorak langkah. Cuba tanya kat diri kita? Kita yakin ke dengan Islam yang kita pikul? Kita malu tak nak cakap dengan orang lain pasal Islam? Kalau kita dah yakin, apa yang kita lakukan? Ghulam ni saat dia dipanah dan syahid, dia dah tinggalkan roh-roh iman dan Islam ke dalam hati rakyatnya. Kalau kita ditakdirkan meninggal dunia hari ini atau esok, apa yang kita dah tinggalkan? Adakah kita telah mengubah sesuatu? Adakah kita telah menyinari hati manusia lain dengan roh iman dan Islam? Atau kita juga sama dengan insan lain yang menjadi beban di muka bumi Allah ini tanpa melaksanakan apa-apa?

Dalam kisah ghulam ni jugak, Allah tetap menyempurnakan agamaNya sebagaimana Dia menolong ghulam dalam kisah ini. Kaum yang selama ini berada dalam kesesatan dan kezaliman mendapat hidayah Allah apabila melihat peristiwa yang berlaku kepada budak itu.Allah taala senantiasa membantu mereka yang menegakkan dan memelihara serta mempertahankan agamaNya. Dalam keadaan realiti di zaman ini yang penuh dengan hiruk pikuk Jahiliyyah, hanya kitalah harapan ummah. Manusia lain melihat kita seolah-oleh bermimpi dengan kemenangan Islam, tapi kita percaya Islam tetap akan gemilang. Kita berusaha ke arah tersebut agar kita layak di kaca mata Allah untuk dikurniakan kemenangan.

Apa lagi yang kita pelajari dari hadis ghulam ni? Allah mampu membangkitkan pendakwah pada agamaNya daripada kalangan orang yang mana pada mulanya dianggap pengukuh kepada kerajaan Thaghut sebagaimana ghulam di dalam kisah ini, pada mulanya ghulam itu menjadi murid kepada tukang sihir tetapi akhirnya beriman kepada Allah melalui pengajian yang di perolehi daripada rahib dan akhirnya dia menjadi penentang paling kuat kepada kerajaan yang zalim itu. Kadang kita lihat sahabat kita, dah macam tiada harapan. Kita tertanya-tanya, bolehkah dia berubah? Tapi hidayah milik Allah. Kita hanya berusaha. Kalau kita dah tak mampu dah nak ubah dia, perkara paling kecil yang kita lakukan adalah doa. Berapa kali kita doakan dia? Kita tidak pernah tahu takdir penentu titisan hidayah ke atas dirinya. Sekiranya Allah takdirkan dia bertemu seseorang, hatta mungkin seorang penzina sekalipun, mungkin sahaja dia berubah. Sepertimana kisah Imam Syafie yang belajar sesuatu dari pencuri. Sahabat kita itu mungkin hanya memerlukan satu saat sahaja untuk berubah. Dan berubahnya sahabat kita itu kelak mungkin sahaja menjadi batu locatan kepada perjuangan Islam itu sendiri.

Kisah ghulam ni juga mengajar kita bahawa iman tidak memerlukan masa yang panjang setelah diberi hidayat oleh Allah didalam hati manusia sebagaimana yang terjadi kepada kaum di dalam kisah ini. Tidak siapa tahu urusan hidayah dan iman ni. Kadangkala di saat akhir kehidupan seseorang itu, barulah dia menemukan cahaya keimanan sepertimana pengikut-pengikut ghulam. Ghulam tidak sempat pun ajar surah Fatihah, syariah kat pengikut-pengikutnya. Tapi berimannya pengikut-pengikut ghulam, mereka sanggup untuk dicampak dalam parit yang panasnya begitu menyakitkan.

Allah juga mengurniakan karamah (kemuliaan) kepada wali-waliNya didalam memperkukuhkan lagi keimanan dan keyakinan. Mungkin dalam realiti kita di zaman ini, mungkin Allah kurniakan kita lisan yang fasih dan segala macam kelebihan untuk menyentuh hati manusia. Menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan perjuangan dan menjadi mata-mata rantai perjuangan.

Kita juga belajar satu perkara yang sangat praktikal dengan kita. Orang kafir sentiasa bermusuh dengan orang beriman sebagaimana di gergaji rahib dan pegawai raja yang telah beriman kepada Allah. Dalam urusan perjuangan dan tarbiah ini, pasti ada onak diri. Semakin tinggi kefahaman, semakin tinggi ujian. Jalan dakwah ini tidak pernah dihampar dengan permaidani merah. Macam-macam cara musuh Islam bekerja untuk menghancurkan kita. Tapi kita wajiblah bersabar di dalam menempuh ujian sebagaimana sabarnya rahib, pegawai dan budak itu serta kaum yang telah dihumbankan ke dalam lubang api. Dapat kita bayangkan bagaimana rasanya kalau digergaji? Dapat kita rasakan bagaimana sakitnya kalau dihumban ke dalam api? Kadangkala kalau nak dibandingkan dengan ujian mereka, ujian yang kita lalui terlalu sedikit. Mudah sahaja kita mengeluh bila Allah uji dengan sedikit cubaan. Kita selalu sahaja meminta kat Allah dipermudahkan ujian. Kenapa kita tidak minta kat Allah agar dikurniakan hati, fizikal dan mental yang kuat untuk menghadapi ujian?

Apa lagi yang best pasal hadis ghulam ni? Pasal kes ‘tipu-tipu’.

Rahib berkata, ‘Jika tukang sihir ingin memukulmu katakanlah, aku terlambat karena keluargaku. Dan jika keluargamu hendak memukulmu maka katakanlah, aku terlambat karena (belajar dengan) tukang sihir’.


Ada yang salah guna hadis ni dan mengatakan Islam membenarkan kita menipu. Islam tidak sesekali membenarkan kita menipu. Tiada istilah bohong sunat dalam Islam. Cuma dalam kes ni, situasinya berbeza. Cuba bayangkan kalau si rahib tak suruh ghulam buat macam tu. Apa akan jadi? Ghulam dah tidak boleh belajar ilmu dari si rahib. Terputus ilmu. Islam tak ke mana. Tipu tidak pernah dibenarkan dalam Islam kerana keburukannya yang besar. Namun dalam situasi di mana keburukan akan menjadi lebih besar sekiranya tidak menipu, maka ketika itu hukumnya adalah wajib menipu.

Sama juga situasinya di zaman Rasulullah, berkenaan dengan kisah Ammar. Bila dia sudah nyaris dibunuh, dia mengatakan dia tidak beriman dengan Allah dan RasulNya, meskipun hatinya tidak mengiakannya. Rasulullah iktiraf perbuatan dan iman Ammar kerana dalam keadaan darurat.


Di dalam Islam, kita dibolehkan membuat helahan dalam peperangan dan perkara yang bertujuan menegakkan kebenaran. Contoh macam kita la kan, mungkin kalau nak pergi program agama, ayah dan ibu kita tidak beri izin. Apa kita nak buat? Jangan berbohong, tapi berdalih. Katakan pada ayah dan ibu kita, kita nak pergi program motivasi. Kita tak berbohong, bukan? Sebabnya kalau kita program agama, dengar kisah ghulam misalnya, kita akan termotivasi, bukan?

Macam jugak dalam kisah Rasulullah SAW. Rasulullah lihat ada seorang pemuda Mukmin yang dikejar oleh musuh. Musuh tersebut tidak mengenali Rasulullah dan bertanyakan Rasulullah, adakah Rasulullah melihat pemuda tersebut. Apa Rasulullah lakukan? Rasulullah ubah kedudukan dia dengan melangkah ke tempat lain dan Rasulullah mengatakan, ”Sewaktu aku berada di sini, aku tidak melihatnya”. Rasulullah menipu ke? Tidak, tetapi sebaliknya Rasulullah berdalih.

Macam jugak perjalanan Rasulullah dan Saidina Abu Bakar. Bila ada yang bertanyakan Saidina Abu Bakar, siapakah Rasulullah, Saidina Abu Bakar mengatakan bahawa Rasulullah itu adalah ’penujuk jalan’ untuk menjaga keselamatan Rasulullah. Mungkin di mata orang yang bertanya, Rasulullah adalah orang yang tahu selok belok perjalanan ke sesuatu tempat, tetapi di hati Saidina Abu Bakar, dia tahu bahawa Rasulullah adalah ’penujuk jalan’ yang lurus. Saidina Abu Bakar berbohong ke? Tak, sebaliknya berdalih.

Dalam hadis ghulam ni juga ditekankan tentang kepentingan menjaga ’sirr’/ kerahsiaan.

Sang rahib berkata, ‘Wahai anakku, kini engkau telah menjadi lebih utama dari diriku. Kelak, engkau akan diuji. Jika engkau diuji maka jangan tunjukkan diriku”.

Kenapa rahib tidak benarkan ghulam menunjukkan diri si rahib? Sebab ni adalah perkara kerahsiaan. Ada perkara yang kita perlu jaga dalam perjuangan sebab musuh Islam sentiasa mencari jalan menghancurkan kita. Kerahsiaan (sirr) dan berhati-hati (hazar) ini adalah salah satu strategi dalam Islam.


Mereka yang benar-benar yakin, Istiqomah, sabar dan ikhlas dalam perjuangan sahaja yang akan mendapat kemenangan. Malah hadis ini diletakkan dalam bab sabar di dalam kitab Riyadhus Salihin. Moga kisah ini memberikan suntikan semangat buat kita untuk terus berada dalam perjuangan yang penuh onak dan duri ini.

Basi...

Tulisan ini dinukilkan sewaktu saya dan kawan-kawan yang lain akan bertolak ke Perak untuk program Le Tour de Perak. Saya ingin kongsikannya di yahoogroups, cuma tak berkesempatan. Tulisan ni sudahpun basi, tapi insya Allah ada manfaatnya. Saya tidak edit apa-apa pun. Anggap sahaja ia adalah perjalanan ke masa lampau :) Semoga ada khairnya..

---------

Alhamdulillah, Allah masih memberi saya peluang untuk bernafas di buminya dan merasai nikmat iman dan Islam yang rasanya terlalu berharga. Maafkan saya andai yahoogroup ini sepi tanpa sebarang berita. Saya masih mengharapkan kunjungan marsum maya sahabat-sahabat lain juga untuk dikongsikan bersama di dalam yahoogroup ini.

Sekadar berkongsi cerita yang membuatkan hati saya terasa dan tersentuh sebentar tadi. Saya benar-benar merasai kasih sayang Allah. Betapa Dia begitu memahami gejolak jiwa hambaNya. Allah memahami betapa hati ini begitu resah dan gelisah.

Hari ini bermula cuti semester saya dan rakan-rakan yang lain. Kami bersama-sama menganjurkan program Le Tour De Perak. Saya sudah memberikan nama sekian lama untuk turut serta di dalam program tersebut. Saya bersemangat untuk pergi bersama kawan-kawan yang lain sebelum ini. Namun seakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran saya sehari dua ini. Saya kira hati saya terlalu berat untuk pergi tiba-tiba. Dan saya nyaris memotong nama saya hari ini. Hingga ke saat akhir saya masih lagi terumbang-ambing membuat keputusan. Mahu pergi ataupun tidak?

Saya kongsikan perasaan saya dengan seorang kawan. Saya kira cuti saya lebih bermakna sekiranya saya bersama keluarga. Boleh mula belajar untuk Profesional Exam yang akan bermula akhir bulan Jun nanti. Tidak perlu susah-susah nak pakai t-shirt sehari suntuk di dalam program. Barangkali kerana saya benar-benar tidak selesa bekerja dengan t-shirt. Huhu.. Tapi kata-kata kawan saya ini tadi benar-benar membuat saya terpukul."Kau pergi untuk bantu orang. Dapat pahala. Tapi terpulang kat kau la," katanya. Ya, akhirnya saya membuat keputusan untuk pergi meskipun dengan hati yang berat kerana hati saya masih sukar menemukan ketenangan. Seakan bimbang akan terjadi sesuatu.

Saya menelefon ibu saya dan bertanyakan pendapatnya. Katanya, "Pergilah, cari pengalaman. Belajar pasal orang lain”. Ya, saya perlu pergi. Allah jua yang mengetahui perjalanan hambaNya. Keputusannya, saya pergi.

Hmm..pukul 8 malam tadi adalah pelancaran bagi program Le Tour De Perak. Saya kira saya terlalu malas untuk pergi ke program pelancaran. Saya berpuasa dan saya kira menikmati hidangan lebih baik dari menghadiri majlis pelancaran. Tapi benar sekali apa yang saya pelajari dahulu. Perjalanan hidup kita bukannya kebetulan kerana kebetulan bertentangan dengan aqidah kita, tapi ia adalah Sunnatullah yang akan terus berlaku.

Di saat saya sudahpun menempah makanan saya, berkali-kali kawan saya menelefon. Saya perlu pergi juga ke majlis pelancaran. Huhu..makanan dahpun saya order. Apa yang perlu saya lakukan? Dengan kehendak Allah, makanan yang saya order tiba dengan cepat dan saya hanya mengambil masa tidak sampai 5 minit untuk makan sekadarnya. Huhu..makanan tersebut berbaki kerana saya perlu bergegas ke program pelancaran.

Apabila saya tiba, program baru sahaja bermula dan saya sempat mendengar kata-kata aluan daripada Dean saya. Masya Allah, tazkirah tersebut seolah-olah ditujukan untuk saya yang gelisah tidak tentu hala ini.

Pertamanya, Prof tekankan tentang niat. Betulkan niat nak pergi program ni. Kalau tak ikhlas baik tarik diri. Amalan yang dilakukan tidak berguna kalau diri tak ikhlas. Sememangnya hati saya tidak ikhlas dan berat untuk pergi. Huhu..terkena nampaknya..

Keduanya Prof tekankan tentang sabar. Bila hati dah pun diniatkan untuk menolong orang, maka ujian pun akan datang dari segenap arah. Kena sabar. Huhu..saya tidak pun sabar berhadapan dengan ujian hati yang gelisah tidak tentu hala ini. Terkena lagi nampaknya..

Ketiganya Prof tekankan tentang adab. Adab dengan orang tua dan juga adab dengan kawan-kawan. Ya, saya sepatutnya lebih sedar berkenaan dengan adab saya dengan kawan-kawan saya. Barangkali hati mereka terguris kerana saya tiba-tiba membuat keputusan untuk tidak pergi. Maafkan saya, duhai kawan..

Seterusnya Prof tekankan tentang konsep Allah Maha Mengetahui. Tidak siapa tahu apa yang akan terjadi dalam perjalanan ini. Dan tiada siapa tahu bila tiba ajalnya seseorang. Kena yakin Allah yang terntukan perjalanan ni. Kena sabar bila diuji. Saya terkena lagi nampaknya. Sewajarnya saya tidak perlu bimbang memikirkan perjalanan ini kerana pastinya Allah lebih mengetahui mana yang lebih baik buat saya.

Benar kata Prof. Perjalanan ni perlu dilihat dan dinikmati dari kaca mata spiritual. Kalau tidak mungkin tidak ke mana. Kalau tidak ikhlas, kita akan balik dengan tangan kosong dan kesal. Kita akan balik dalam keadaan letih tapi tidak berbaloi bila segalanya bukan kerana Allah..

Syukur padaNya kerana membuatkan saya kembali yakin dengan pilihan saya untuk pergi. Kalau ikut logik akal semata, mungkin saya tidak sempat langsung nak dengar kata-kata Prof. Tapi Allah yang menetapkan perjalanan hambaNya. Dia memilih saya untuk mendengar kata-kata Prof. Seakan-akan Dia berbicara kepada saya. Benar, perjalanan hidup kita sememangnya bukannya kebetulan kerana kebetulan bertentangan dengan aqidah kita, tetapi adalah Sunnatullah (ketentuan Allah) yang akan terus berlaku.

Tapi jangan sesekali salah faham dengan kata-kata tersebut. Sunnatullah tetap perlu disesuaikan dengan Syariatullah. Sunnatullah ni macam ikan hidup di dalam air, ais membeku pada suhu 0°C, siapa yang berusaha sungguh-sungguh akan berjaya dalam kehidupannya dan bermacam-macam contoh lagi. Matahari yang berputar pada orbitnya dan semua makhluk Allah hidup dengan peraturan Sunnatullah. Tapi Allah turunkan Syariatullah untuk menjaga keseimbangan Sunnatullah. Syariatullah ini adalah segala yang tercatat dalam Al Quran dan hadis dan ianya perlu diikuti.

Ada yang berkata kepada saya, pertemuannya dengan kekasih pilihan hati (pecintaan yang tidak halal) sebagai Sunnatulllah. Pertemuannya dengan lelaki pilihan hatinya adalah ketentuan Allah dan bukannya kebetulan. Terkesima saya seketika. Ya,benar. Fitrah manusia untuk bercinta itu adalah Sunnatullah. Tetapi di sana Allah menurunkan syariatnya iaitu kita perlu bernikah. Adakah anda telah menjaga Syariatullah? Tepuk dada, tanyalah iman..

Kalau ada yang tidak faham atau sebarang kesilapan dalam tulisan saya, saya minta pembetulan dari sahabat-sahabat sekalian. Oh ye..bas kami ke Perak akan bertolak pada pukul 11.30 malam nanti..Doakan kami..

Friday, February 22, 2008

Ikhlas dan writer's block..


Saya baru sahaja selesai menghadiri majlis ‘Sunathon Appreciation Night’. Ada pengajaran bermakna yang saya perolehi dari majlis ini iaitu kata-kata yang keluar dari insan yang saya kagumi, Prof Latiff berkenaan keikhlasan.

Ya, ikhlas. Ikhlas sehingga tidak mengharapkan apa-apa. Saya memuhasabah diri saya sendiri terutamanya berkenaan syndrom Writer’s block yang saya alami. Saya berhenti menulis untuk blog dan yahoogroups kerana konon-kononnya ingin menulis novel. Apabila saya mula memikirkan ingin mendapat sesuatu dari tulisan saya, terlalu sukar untuk menulis hatta sebaris ayat. Keikhlasan itu hilang. Ya Allah, kini saya menyedarinya.

Bila kita mula bertanya, apa yang akan kita perolehi dari sesuatu pekerjaan yang kita lakukan, bermakna keikhlasan telah mula hilang. Ya, benar. Dan saya benar-benar memahaminya kini. Allah memberikan semula ilham untuk menulis apabila saya telah membetulkan niat saya kembali. Terima kasih Allah atas teguran ini.

Keikhlasan, saya mula memahaminya kini.

Thursday, February 21, 2008

Riya' dan ujub...

Riya’ dan ujub. Dua dosa yang sukar untuk dilihat. Riya’ ni apa? Riya’ ni bila kita buat sesuatu kerana orang dan meninggalkan sesuatu kerana orang. Kita buat sesuatu kerana orang contohnya adalah kita rajin bila si dia ada. Kita tinggalkan sesuatu kerana orang contohnya adalah apabila kita nak buat solat sunat dan kita takut orang akan cakap kita wara’, maka kita pun tinggalkanlah solat sunat tersebut.

Ujub ni pula adalah bangga diri. Kita rasa bangga dapat bercakap. Kita rasa bangga dapat mengalirkan air mata insan lain.

Dua-dua dosa ni adalah dosa hati. Susah sangat nak nampak.

Ujub misalnya, kadang kita seorang pun boleh berlaku. Contohnya kita bangun qiam, mak ayah kita tak tahu, kawan-kawan kita pun tak tahu, dan kita pun rasa bangga dapat bangun malam ni even orang lain tak bangun.

Dua dosa ni terlalu bahaya dan kadangkala kita tidak sedar pun. Apa nak buat bila dua perasaan ni menyerang? Istighfar banyak-banyak sehingga hati terasa tenang. Selain tu, cuba lihat alam ni. Terlalu luas bukan? Bayangkan kita dengan bumi ini. Bayangkan kita pula dengan alam semesta yang luas. Bukan satu sahaja matahari, ada jutaaan lagi matahari di angkasa luar sana. Bayangkan galaksi bima sakti. Terlalu luas bukan. Berdirinya kita di bumi Allah ini hanyalah menyedarkan kita bahawa kita ini adalah terlalu kecil sebenarnya. Tidak kira kita ni doktor, ahli farmasi, professor atau siapa sahaja. Kita terlalu kecil sebenarnya. Insya Allah, dengan merasakan kekerdilan seorang hamba, akan terhapuslah perasaan ni tadi. Sama-samalah kita melawan dua perasaan ni. Moga Allah memberikan kekuatan. Tulisan ini adalah peringatan buat diri ini.

Motivasi...

Saya mohon Allah jauhkan saya dari sifat riya’ dan ujub sewaktu menulis tulisan ini. Nikmat kesenangan juga adalah ujian dariNya, cuma manusia jarang menyedarinya. Berdepan dengan nikmat kesenangan lebih sukar dari berhadapan dengan nikmat kesusahan. Kesusahan seringkali menyedarkan, tetapi kesenangan seringkali melalaikan.

Tulisan ini cuma suntikan semangat buat saya dan juga mungkin buat mereka yang pernah merasakan kesukaran dalam hidup. Saya cumalah insan yang merangkak dalam bidang perubatan ini, bukannya berlari. Tetapi saya ingin sekali melakukan yang terbaik sebelum saya pergi meninggalkan dunia ini.

Saya bercita-cita nak jadi DR (Daie Rabbani). Apa bestnya jadi daie? Sebab seorang daie ingin sekali setiap perbuatannya menjadi manifestasi dakwah. Sewaktu berjongging pun dia nak berdakwah, sewaktu berbicara pun dia nak berdakwah, sewaktu makan pun dia nak berdakwah, berhadapan dengan penyakit juga ingin dijadikan dakwah. Segalanya dakwah. Dia ingin setiap insan yang melihat dirinya merasai kehadiran Allah dalam hidup mereka. Tinggi sekali cita-cita tersebut, moga Allah mengabulkannya.

Sepanjang 3 minggu course Behavioral Science, satu subjek yang bersangkut paut dengan psikologi manusia, saya rasa gembira sekali. Sebab saya belajar mengenali diri saya sendiri. Dalam subjek ini, setiap hari akan ada ‘best presenter’. Allah memilih saya, hambaNya yang kerdil ini untuk menjadi ‘best presenter’ pada suatu hari. Dan dalam 5 calon yang terpilih sepanjang course ini, Allah memilih saya untuk mejadi ‘best presenter’ keseluruhannya. Secara zahirnya, mungkin manusia yang memilihnya tetapi secara maknawinya Allah yang memilih saya sebagai ujian buat saya.

Sewaktu setiap calon perlu mempromosikan diri masing-masing, saya katakan di hadapan kelas, “I don’t want to become the best presenter in front all of you, I just want to become the best presenter in front Allah”. Saya benar-benar maksudkannya. Tiada maknanya mendapat sanjungan manusia, tetapi jauh dari pandangan dan rahmatNya. Di saat saya melalui kesukaran dalam pelajaran saya, saya katakan pada diri saya, bukan A yang saya kejar tetapi markah yang hanya Allah sahaja menilainya. Tidak kisah gagal sekalipun, tetapi biarlah Allah menilainya sebagai kejayaan. Biar Allah sahaja yang memahami kesukaran saya meneruskan kehidupan ini. Syukur padaNya, saya tidak gagal dalam mana-mana subjek sepanjang melalui 3 semester di sini.

Allah jua tidak ingin saya bermegah-megah atau terlalu gembira sehingga saya melupakanNya. Hari yang sama, saya juga tahu saya perlu ke hospital lagi minggu depan. Meskipun saya tahu seharian kerjaya saya kelak adalah di hospital, saya tidak sukakan hospital. Hanya setelah bergelar pesakit, saya mula bencikan hospital. Terlalu benci barangkali. Insya Allah, saya akan menulis kisah hospital dalam siri yang lain.

Berkenaan dengan kejayaaan tersebut, saya yakin kejayaan itu bukan milik saya sebenarnya. Saya masih lagi ingat kisah yang pernah diceritakan oleh ayah saya. Kisah 2 orang nelayan. Seorang ini selalu sahaja mendapat ikan, manakala yang seorang lagi tidak mendapat ikan. Si nelayan yang sering mendapat ikan merasakan bahawa Allah mengabulkan permintaannya. Tetapi sebenarnya Allah mengabulkan permintaan nelayan yang tidak mendapat ikan itu kerana nelayan tersebut berdoa agar Allah memberikan rezeki yang terbaik buat sahabatnya sehingga terlupa berdoa untuk dirinya sendiri.

Saya pasti di luar sana pasti ada insan yang sering mendoakan saya tanpa saya ketahui. Dia mungkin sahabat saya yang tidak dapat belajar dalam bidang perubatan. Dia mungkin juga anda yang membaca blog ini. Dia mungkin juga guru-guru saya. Dan dia mungkin sahaja ahli keluarga saya. Allahu A’lam. Allah lebih mengetahuinya. Moga kejayaan ini terus memotivasikan saya melalui kehidupan ini.

Tuesday, February 05, 2008

Hippocampus...


Setelah lama meninggalkan addmath, akhirnya saya menyentuhnya kembali apabila adik saya meminta bantuan. Saya kira saya sudah terlalu jahil mengenai addmath apabila terlibat dengan pelajaran yang melibatkan perubatan sehari-hari. Saya silap perkiraan sebenarnya. Hippocampus saya yang digunakan untuk menyimpan maklumat jangka masa panjang masih berfungsi lagi nampaknya. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya rafa'kan kepada Allah yang mencipta otak saya dengan segala kesempurnaan. Alhamdulillah, setelah lama tidak menggunakan kalkulator, saya masih lagi mengingati cara mencari punca (root) dengan menggunakan kalkulator.

Hebat bukan Allah yang mencipta hippocampus untuk menyimpan maklumat jangka masa panjang (long term memory)? Cuma saya tertanya-tanya, adakah saya mengingati ISK (Inilah Sejarah Kita) yang saya pelajari dari akak-akak yang begitu bersemangat menceritakannya?Ingatkah saya akan luka ummah? Ingatkah saya tentang pembunuhan 1 juta umat Islam yang dibunuh oleh tentera Tartar? Ingatkah saya akan Palestina? Ya Allah, biarlah hippocampus saya berfungsi dengan baiknya dan mengingatkan saya tentang semua ini. Biarlah hippocampus saya mampu mengembalikan kembali semangat saya yang sirna.
There was an error in this gadget