Thursday, March 29, 2007

Abid..


Pernah dalam satu fasa kehidupan saya, saya ingin sekali mengasingkan diri dari manusia. Teringin yang sangat-sangat. Pernah satu ketika di matrikulasi dulu, saya tidak ingin hadir ke program-program yang tidak bersesuaian dengan jiwa saya. Saya mengasingkan diri di bilik sahaja.Saya melakukan semua itu kerana kejahilan sendiri.

Saya belajar lagi. Tentang surah Furqan. Barulah saya faham definisi abid itu. Saya faham bahawa apa yang pernah saya lakukan dulu adalah suatu kesilapan.

Furqan membawa makna pemisah. Pemisah di antara yang hak dan yang batil. Ia adalah peringatan mengenai hakikat sebuah kehidupan. Di dalamnya terkandung tauhid rububiyah dan tauhid uluhiyah.

[63]Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;

Ayat ini bercerita mengenai abid zaman ini. Sebelum tu, awak tahu tak makna abid ini? Abid adalah perkataan arab yang membawa maksud ahli ibadah. Sebelum zaman Rasulullah, abid ini kerjanya duduk di biara dan beribadah sahaja.

Tapi selepas zaman Rasulullah, abid adalah hamba-hamba Ar Rahman yang berjalan di atas muka bumi dengan rasa rendah diri dan sopan santun. Dia akan hidup dan bergaul dengan masyarakat sekelilingnya meskipun masyarakat tersebut tidak sempurna. Dia bukanlah seorang yang eksklusif, mengasingkan dirinya dari kelompok masyarakat.

Dia membalas kata-kata yang kurang baik dengan kata-kata yang selamat. Dia akan bertemu dengan mereka yang kurang adabnya, tapi dia akan mengambil sebaiknya peluang tersebut untuk berdakwah. Peluang dakwah bagi seorang doktor misalnya terlalu besar berbanding manusia lain. Dia akan bertemu dengan penagih dadah, mat rempit dan macam-macam lagi golongan manusia. Di sini, menjadi tanggungjawab doktor tersebut untuk membumikan dirinya bagi memahami manusia lain. Ingatlah, bahawa daie atau abid di zaman ini bukanlah mereka yang suka menghukum.

Ingat tak kisah Rasulullah SAW dan Rukanah? Waktu zaman Rasulullah pun ada WWF. Rukanah ini sangat hebat dalam bergusti. Lantas pada suatu hari, Rasulullah mencabarnya. Tawaran yang Rasulullah berikan adalah sekiranya baginda menang, Rukanah perlu masuk ke dalam Islam. Rukanah menerima cabaran tersebut. Dan akhirnya, Rasulullah memenangi pertandingan tersebut, dan Rukanah pula memeluk agama Islam.

Rasulullah memberikan contoh dakwah yang baik. Rasulullah tidak mengasingkan dirinya sehinggakan manusia yang jahil pun menerima keberadaan baginda. Rukanah adalah seorang yang popular di zaman itu. Penyertaan Rukanah ke dalam Islam membuka mata orang lain juga untuk menerima Islam. Barangkali awak boleh membayangkan apa yang terjadi apabila David Beckham misalnya yang memeluk Islam. Itulah analoginya keislaman Rukanah.

Terlalu banyak yang perlu kita pelajari dari sirah Rasulullah. Usah asingkan diri dari manusia lain. Kita perlu menjadi mereka yang akan mengubah masyarakat. Moga kita diberi kekuatan oleh Allah untuk menggalas tugas ini.

Tuesday, March 27, 2007

Mutiara dan bunga...

Saya teringat pembacaan saya mengenai mutiara dan bunga. Kedua-duanya begitu mempersona. Namun ada beza antara keduanya.

Bunga. Terlalu indah dilihat.Terlalu menawan. Bunga boleh dijumpai di mana-mana sahaja. Dia menjadi kegilaan wanita. Dipetik dan dihias di dalam pasu di rumah. Suatu masa, bunga akan layu dan dia akan dibuang. Sadis bukan?

Mutiara pula terlalu sukar ditemui. Dia semakin mahal dan menarik sekiranya ditemui di dasar lautan yang paling dalam. Sukar bukan hendak memperolehinya? Harganya mahal dan nilainya tinggi.

Menarik kisah bunga dan mutiara ini. Bunga dan mutiara adalah analogi untuk menjelaskan perihal wanita. Wanita itu cantik. Sekiranya dia mendedahkan dirinya, jadilah dia seperti bunga. Wanita solehah itu diibaratkan pula seperti mutiara. Terjaga akhlaknya. Semakin mahal nilainya.

Saya juga suka kiranya analogi ini dikhususkan untuk lelaki juga. Buah tidak akan tertebuk sekiranya tiada tupai yang nakal.

Mahalnya harga diri seorang teruna dan dara adalah tika mana dia pandai menjaga harga dirinya.Bila dia menjaga dirinya, secara tidak langsung dia juga berdakwah. Dakwah itu bukanlah sesuatu yang menyusahkan. Sesiapa sahaja boleh berdakwah.

Saya pernah menemui seorang lelaki. Pendiam orangnya. Dia bukanlah seorang aktivis dakwah. Tapi kerana akhlaknya, dia telah membuat wanita malu padanya. Bukankah dia telah berdakwah?

Saya beri contoh lain lagi. Seorang wanita seksi lalu di hadapan seorang lelaki. Tetapi lelaki tersebut menudukkan pandangannya. Pastinya perbuatan lelaki tersebut menimbulkan rasa malu dalam diri wanita tersebut.

Dunia menemukan saya dengan bermacam-macam jenis manusia. Ada yang sibuk berbicara soal dakwah dan tarbiah, tetapi tidak menjaga soal ihsan dalam pergaulannya. Bukankah ini menimbulkan kesukaran kepada manusia lain untuk menerima dakwahnya?

Entahlah, sukar sebenarnya hendak berbicara mengenai perkara sebegini. Semalam misalnya, kelas English yang terpaksa saya hadiri diisi dengan slot tayangan filem. Awal-awal lagi saya diberitahu bahawa cerita tersebut tiada tapisan. Mudah kata-kata seorang kawan – Be professional. Perlu professional ya apabila menonton filem yang tidak ada tapisan ini? Kadangkala saya risau sekiranya hati saya sudah tidak sensitif lagi dengan soal dosa.

Selemah-lemah iman adalah membenci di dalam hati. Saya risau apabila tiba suatu masa nanti, soal dosa menjadi sesuatu yang biasa sahaja pada saya. Teringat kata-kata Imam Ghazali – Membuang rasa berdosa ketika melakukan dosa adalah sebesar-besar dosa.

Saya bukanlah arif hendak berbicara mengenai persoalan sebegini. Kadangkala saya terkilan dengan apa yang berlaku di sekeliling saya. Saya tidak kisah hendak memegang kawan lelaki saya sewaktu clinical skill sedang berjalan. Tujuannya sememangnya untuk belajar. Tapi kalau setakat ingin mengambil tekanan darah, saya kira tidak perlulah berlainan jantina (saya maksudkan sesama pelajar, bukan hubungan di antara doktor dan pesakit). Pada pendapat saya yang serba lemah ini, elaklah selagi mana kita mampu untuk mengelak. Apapun, ini hanyalah pendapat seorang manusia yang terlalu sikit ilmunya. Saya mohon teguran sekiranya terdapat kesalahan dalam tulisan saya. Saya juga masih berusaha untuk menjadi yang terbaik.

Monday, March 26, 2007

Surah Luqman...

Saya ingin berkongsi apa yang saya pelajari tadi dengan awak. Mengenai Surah Luqman. Siapa Luqman ini? Dia bukanlah Nabi dan dia juga bukanlah Rasul. Dia hanyalah seorang manusia yang ditawarkan Allah padanya dua pilihan – nubuwwah (kenabian) atau hikmah (kebijaksanaan). Lantas Luqman memilih hikmah (kebijaksanaan).

Sebagai manusia biasa, saya, awak dan awak hendaklah sentiasa memohon hikmah dari Allah. Ingat tak doa “allahummaftah alaina hikmataka” – Ya Allah, kurniakanlah kami hikmah dari sisiMu. Apa kepentingan hikmah ini? Supaya kita mampu berindak dengan betul pada masa yang betul. Sebagai contoh, seorang doktor memerlukan hikmah agar dia dapat membantu pesakitnya pada masa yang sewajarnya dan agar dia dapat memberi medication yang sebetulnya.

Luqman ini adalah manusia yang bijak. Kebijaksanaan dia diiktiraf Allah. Mesti awak pernah nasihat anak awak kan? Saya tak pernah. Saya tiada anak lagi. Semestinya ramai bapa di dunia ini pernah menasihati anaknya. Tapi nasihat Luqman kepada anaknya ini diiktiraf Allah. Ianya dicatatkan di dalam AlQuran dan perkara ini adalah kekal sehingga akhirat agar kita mampu menjadikannya sebagai satu bentuk tarbiah (pendidikan) yang baik.

Tarbiah dalam Islam berperingkat. Allah sendiri menurunkan AlQuran dalam keadaan berperingkat. Allah tidak pernah menurunkan AlQuran dalam bentuk sebuah buku yang lengkap mahupun e-quran seperti yang ada hari ini. Allah menurunkannya mengikut setiap kejadian yang berlaku.

[12] Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Allah menyebut dalam ayat ini tentang syukur. Bila kita bersyukur, faedahnya hanya untuk diri kita sendiri. Kita tidak syukur pun, Allah tetap kaya. Allah tidak perlukan pun syukur kita sebenarnya. Allah dah ada malaikat-malaikat yang sentiasa berzikir padaNya. Nisbah kita dengan makhluk Allah yang lain hanya 1%. Tiada signifikan pun bilangan kita. Maka, bersyukurlah di atas setiap pemberian Allah.

Nabi Sulaiman misalnya pernah melalui satu lembah dan dia mendengar suara semut. Dia bersyukur kepada Allah kerana diberikan kelebihan memahami bahasa haiwan. Apa yang ada pada kita hari ini adalah ujian Allah untuk melihat sejauh mana kita telah bersyukur.

[13] Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.

Ayat ni nampak ringkas sahaja. Tapi ayat ini menjawab persoalan setiap masalah sosial yang ada hari ini. Apabila Luqman berkata kepada anaknya, dia menyebut : Ya bunayya. Maknanya –wahai anak kesayanganku. Makna perkataan ini sangat mandalam. Ianya menunjukkan kata yang begitu lembut dan manja sekali. Berapa ramai ayah yang apabila bercakap dengan anaknya, dia akan menggunakan kata yang begitu lembut ini ? Saya tidak minta awak membandingkan semua ini dengan ayah awak. Sekurang-kurangnya awak boleh berubah, boleh merancang untuk kehidupan awak pula. Yang lalu, biarlah berlalu. Rancang untuk masa depan. (Tapi ayah saya seorang yang sangat baik).

Apa perkara pertama yang Luqman beritahu pada anaknya ? Luqman tidak suruh anaknya belajar betul-betul. Luqman suruh anak dia agar jangan mempersekutukan Allah. Inilah prinsip pertama dalam mendidik anak. Rasakan dalam diri anak akan kehadiran Allah.

[14] Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Mendalam makna ayat ini. Allah guna istilah ‘wahnan ‘ala wahnin’ –kesusahan demi kesusahan. Dahlah susah, susah lagi. Waktu mengandunglah kebanyakan ibu mengalami sesak nafas dan macam-macam lagi complication. Sebabnya, anak tekan diaphragm sampai menggangu sistem pernafasan ibu. Anak akan ambil banyak nutrisi dari si ibu. Dah habis bersalin, ibu ni kena pula menyusukan anaknya selama dua tahun. Ayat ini menunjukkan relevannya family planning. Menyusukan anak adalah natural contraception (kaedah pencegahan kehamilan semulajadi). Bila menyusukan anak, awak akan mengelak proses ovulation dan seterunya mengelak kehamilan. Cuba awak renung ayat tu baik-baik. Kenapa Allah tidak sebut menyusukan sahaja? Kenapa Allah sebut jangka masa penyusuan iaitu selama dua tahun. Dalam ayat yang lain pula, Allah menyebut dua tahun LENGKAP.

Tidak perlulah bising-bising cakap family planning ni agenda Yahudi dan lain-lain. Family planning dalam Islam bukannya tidak mahu anak. Family planning dalam Islam adalah spacing baby. Kenapa perlu family planning? Untuk kesihatan si ibu. Berikanlah peluang kepada wanita untuk mengumpul semula kekuatannya yang hilang. Dan yang lebih penting, biarlah dia mempunyai masa untuk memberi sepenuh kasih sayang kepada anaknya.

Selain itu, family planning juga perlu untuk mengelakkan berlakunya sibling rivalry. Ramai anak-anak yang saling bercakaran kerana perkara ini. Dia rasa ibu bapa dia sayang akak atau abang dia sahaja. Semua ini berlaku apabila tiada family planning.

Dalam ayat ini, Allah tunjukkan betapa pentingnya hubungan kekeluargaan. Segala masalah sosial yang berlaku hari ini adalah disebabkan kehancuran institusi kekeluargaan. Kalau si ayah keluar pukul 8 pagi dan balik lewat malam, ibunya pun nak keadilan yang sama. Bukankah hari ini wanita inginkan hak yang sama rata dengan lelaki ? Sedarlah wahai kaum ibu sekelian, tanggungjawab anda begitu besar.

Selain itu, ramai pasangan apabila ingin berkahwin, yang ada dalam minda masing-masing adalah mengenai pasangan mereka sahaja.Nak isteri macam gini. Nak suami macam gitu. Macam-macam ada. Jarang yang memikirkan soal anak-anak, dan tarbiyatul aulad. Jangan ikuti Barat. Barat sahaja yang mengajar mengenai soal pasangan sahaja. Macam cerita Cinderella. Kisah tergantung bila telah berkahwin. Sebenarnya fasa setelah berkahwin itu lebih penting. Adakah dia seorang ayah yang baik? Adakah si suami telah memberi asuhan yang sewajarnya kepada si anak? Nasihat saya, fikirlah baik-baik sebelum mengambil sebarang keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Kalau ada kesempatan, entri ini akan bersambung...

Sunday, March 25, 2007

Peduli...

Klik sini

Saya tidak pasti apa perasaan awak tatkala membaca berita tersebut. Cuma berita tersebut membuatkan saya terkenangkan seorang sahabat saya.

Kami berjumpa tidak sampai 24 jam dalam suatu program. Saya dan dia ditempatkan dalam satu kumpulan. Luahan hatinya tatkala diskusi berjalan sememangnya meruntun hati saya.

Pakciknya telah ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo. Saya tidak pasti adakah pakciknya itu merujuk kepada Mohammed Farik bin Amin Zubair seperti yang dipaparkan oleh berita hari ini. Saya juga gagal mengingati nama sahabat saya ini. Cuma wajahnya sahaja yang dapat saya ingati.

Saya bertanya padanya, apa tindakan yang diambil oleh pemimpin negara ini? Jawapannya mudah -tiada tindakan. Dia juga sudah lama tidak mengetahui nasib pakciknya itu.

Perkara pertama yang bermain di dalam kepala saya adalah tahap kepedulian saudara seislam. Sememangnya tiada siapa peduli. Saya juga tidak tahu perihal perkara ini sekiranya saya tidak bertemu dengannya.

Bila fikir balik mengenai soal murtad, saya percaya tiada siapa yang memiliki kepedulian yang tinggi. Cuma bila terkena batang hidung sendiri, baru mahu terngadah. Sama sahaja dengan berita ini.

Keluarganya sahaja yang tersiksa dengan fitnah dari barua dunia yang bernama Amerika itu. Siapa lagi yang peduli? Rakyat negara ini lebih peduli dengan apa yang terjadi kepada peserta AF dari soal-soal sebegini.

Rasa-rasanya, kalau hal sebegini pun kita tidak peduli, adakah kita peduli dengan nasib rakyat Palestin?

Amerika, dendam saya padanya terlalu membara. Saya terbayang perasaan seorang ibu yang terpisah begitu lama dari anaknya. Saya juga terbayangkan perasaan seorang ayah yang begitu menanti kepulangan anaknya.

Saya yakin 100% berita yang saya baca itu adalah penipuan semata-mata.

Saturday, March 24, 2007

Entah..

Berkali-kali saya menulis. Berkali-kali saya delete. Dan ada pula yang tersadai di dalam folder laptop tanpa ada kesudahan. Tanpa ada penyelesaian. Perkara ini terjadi berkali-kali.

Lupakan itu. Saya masih memohon padaNya agar diberi kekuatan untuk terus menulis. Saya tidak ingin terlalu menerima tanpa ada keinginan untuk memberi atau memuntahkan kembali segalanya.

Jom berzikir. Lupakan seketika segala masalah. Nasyid Subhanallah nyanyian Kamal Uddin ini menyentuh hati saya. Saya meminati nyanyiannya. Lagunya “His Name is Muhammad” juga menyentuh hati saya.

Allah tahu apa yang terjadi pada setiap daun yang gugur dan semestinya dia lebih mengetahui apa yang terjadi pada saya saat ini.

Monday, March 12, 2007

Unstable Angina..

Saya mahu belajar sekarang ini. Tapi saya mahu berkongsi sesuatu dengan awak. Sesuatu yang baru saya pelajari hari ini. Sambil menulis blog, saya mengulangkaji pelajaran saya.

Saya belajar mengenai serangan jantung. Ya, saya masih dalam block cardiovascular lagi sekarang ini. Saya akan terangkan satu penyakit jantung kepada awak. Saya mahu awak menjadi seorang yang serba boleh. Saya tidak mahu awak fokus pada bidang awak sahaja sehinggakan awak tidak mengambil tahu mengenai bidang lain.

Hari ini, saya akan ajar awak megenai ilmu perubatan. Ayat saya berulang-ulang nampaknya. Tidak jadi masalah. Bukankah pengulangan satu perkara yang baik? Saya akan ajar awak mengenai Acute Coronary Syndrome. Acute Coronary Syndrome ini terbahagi kepada 3. Saya tidak mahu mengelirukan awak. Saya akan terangkan salah satu Acute Coronary Syndrome sahaja iaitu Unstable Angina. Ini adalah serangan jantung yang biasa dialami manusia. Tandanya, sakit dada yang berterusan melebihi setengah jam. Tiada sel jantung yang mati. Hanya ischemic (kekurangan oksigen) sahaja.

Bagaimana penyakit ini boleh terjadi? Ianya terjadi bila mana awak mengambil pemakanan yang banyak kolestrol. Kolestrol akan terkumpul membentuk atheromatous plaque. Awak juga boleh terkena penyakit ini dengan penambahan usia kerana atheromatous plaque akan terbentuk seiring dengan usia. Sekiranya awak mengambil subjek fizik, bahasa mudahnya, pembentukan atheromatous plaque berkadar langsung dengan usia. Awak tidak boleh menghalang pembentukan atheromatous plaque. Itulah sebabnya Rasulullah SAW pernah bersabda, semua penyakit ada ubatnya kecuali penyakit tua.

Atheromatous plaque ini diselaputi oleh parut yang dinamakan sebagai fibrous cap. Bila mana parut ini bocor sedikit, unstable angina akan terjadi.

Apa yang menarik mengenai penyakit ini? Rawatan yang diberikan. Perkara pertama yang akan dilakukan oleh setiap doktor adalah memberi aspirin kepada pesakit untuk menghalang kebocoran yang terjadi dari merebak.

Kemudian, doktor akan memberi sejenis lagi ubat. Namanya heparin. Tapi, heparin ni sangat melecehkan. Kalau beri sedikit, tidak berkesan. Kalau beri banyak, berbahaya. Perlu beri cukup-cukup sahaja. Leceh kan? Menyukarkan kerja doktor. Hehe..

Jadi, apa penyelesaiannya? Inilah klimaks tulisan ini. Doktor akan memberi sejenis heparin yang lebih berkesan. Namanya Low Molecular Weight Heparin (LMWH). Ubat ini amat berkesan untuk merawat Unstable Angina. Tapi ubat ini berasal dari babi. Haram ke? Jawapannya tidak, sebabnya setiap bahan yang asalnya haram apabila melalui proses kimia yang berulang-ulang, sehingga hilang rupa asalnya akan menjadi halal.

Awak keliru? Usah keliru. Cuba awak bayangkan, awak menanam pokok rambutan. Awak akan menggunakan baja dari tahi lembu. Baja dari tahi lembu yang najis dan haram ini akan digunakan oleh pokok rambutan tersebut untuk menghasilkan buah yang begitu enak. Haram ke buah rambutan? Tidak. Begitu jugalah dengan ubat ini.

Contoh lain adalah buah anggur. Pernah minum jus anggur? Halal bukan? Apa akan terjadi kepada jus anggur itu sekiranya diperam. Ia akan menjadi arak. Arak halal ke haram? Haram. Buah anggur yang halal juga boleh menjadi haram.

Kenapa saya bercerita mengenai perkara ini? Mudah-mudahan awak mampu memberi kefahaman kepada orang yang menolak ubat tersebut, walau siapa pun dia. Sekiranya dia seorang Muslim dan menolak ubat tersebut tanpa kefahaman yang jelas, dia akan mati sia-sia kerana serangan penyakit jantung.

Saturday, March 10, 2007

Ibu..


Saya masih di sini. Bertatih, jatuh dan bangun semula. Masa yang berlalu terlalu pantas, tidak terkejar rasanya. Segalanya sudah direncanakan oleh Pencipta saya. Semalam saya hadir ke program qiamullail di kolej. Terlalu banyak yang terjadi. Pengisian diberi oleh seorang chatter yang yang hanya dikenali menerusi alam maya sebelum ini . Saya juga mendengar pengisian dari salah seorang pensyarah saya.

Paling membuat hati tersentuh adalah ketika saya terbangun dari lena di awal pagi sebelum waktu qiamullail. Saya terlihat pensyarah perempuan saya sedang menyusukan anaknya. Semua yang ada sedang tidur dan dia sedang menyusukan anaknya. Manik jernih bertakung di kelopak mata saya. Besar pengorbanan seorang ibu.

Peristiwa tersebut masih bermain di penjuru fuad saya. Terbayang-bayang wajah ibu saya. Saya sudah menyusahkannya begitu lama. Seawal saya berada di dalam kandungannya, saya sudah meragam. Dan sehingga saat ini, dia masih menjadi teman setia mendengar segalanya. Jatuh bangun dan masalah pelajaran saya semuannya dalam pengetahuannya. Dia bukan sahaja berjaga sewaktu saya masih kecil malah sehingga saat ini dia masih berjaga di malam hari untuk mendoakan kejayaan saya. Dia tidak jemu-jemu memugar semangat saya untuk terus belajar. Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan saya ibu yang begitu memahami.

Saat saya rindu pada dirinya, saya tahu bahawa dia tidak pernah jauh dari saya. Malah, likat merah yang mengalir di setiap jihat tubuh saya adalah sebahagian darinya. Saya tidak pernah lupa kalamnya. Kalam yang senantiasa hidup dalam nubari, fuad dan jiwa saya. Penuh hikmah dan makna. Penawar kala saya kebingungan dan keresahan. Namun, tika ini saya dilanda rindu nian. Rindu padanya. Terlalu. Hingga saat bicara ini ditintakan saya masih tersedu-sedan merinduinya.

Saturday, March 03, 2007

Surah Al Mukmin


Awak. Perkataan itu acapkali saya gunakan sewaktu menulis blog ini. Awak tidak merujuk kepada manusia-manusia di luar sana semata-mata. Awak itu merujuk kepada saya sendiri. Saya menulis blog ini untuk menasihati diri saya sendiri. Saya tidak sempurna. Menulis di sini tujuan utamanya adalah peringatan untuk diri saya sendiri.

Abaikan apa yang saya tulis. Itu bukan topik utamanya. Saya sudah belajar begitu lama hari ini. Saya mahu meluangkan sedikit masa yang saya ada untuk blog ini. Salahkah?

Saya mahu bercerita mengenai hikmah (pelajaran) yang saya perolehi sewaktu menghadiri pengisian Theory of Knowledge (TOK). Pengisiannya benar-benar sesuai dengan jiwa saya. Saya akan bercerita sedikit mengenai Surah Mukmin. Ulang taip, Surah Mukmin. Bukan Surah Al Mukminun. Apa beza Mukmin dengan Mukminun? Mukmin merujuk kepada seorang, manakala Mukminun merujuk kepada ramai golongan manusia.

Di dalam surah ini terdapat kisah Nabi Musa dan Firaun. “Dan sesungguhnya telah Kami utus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami dan keterangan yang nyata. Kepada Firaun, Haman dan Qarun; maka mereka berkata, “(Ia) adalah seorang ahli sihir yang pendusta”. (Surah Al Mukmin:23-24)

Mengapa satu pertiga dari kandungan Al Quran bercerita mengenai sejarah dan kisah umat terdahulu? Inilah yang dinamakan Sunnatullah. Kisah ini adalah peringatan buat kita. Kisah ini masih terjadi di dalam realiti kita hari ini. Cuma, dalam situasi yang berbeza.

Haman dalam ayat di atas merujuk kepada orang kanan. Manakala Qarun merujuk kepada orang yang menjaga harta. Dua komponen ini sangat penting dalam system pemerintahan sesuatu negara.

Cuma hari ini, Haman hidup dalam versi yang berbeza. Haman merujuk kepada media. Inilah kekuatan Yahudi. Yahudi hari ini menguasai hampir semua media. Dari Yahoo, Google, akhbar, televisyen dan segala macam jenis media adalah milik mereka. Setiap hari mereka mengkaji pergerakan umat Islam menerusi setiap saluran yang ada. Mereka mengkaji setiap halaman web yang bercerita mengenai Islam. Mereka mengkaji berapa ramai pengikut yang mengikuti web-web Islam. Setiap saat mereka mengkaji, di manakah tahap umat Islam kini. Mereka gembira apabila melihat kehancuran umat Islam yang disebut sebagai umat yang terbaik. Sedarkah umat islam??

Qarun pula merujuk kepada segala macam aset dan industri yang dimiliki oleh Yahudi. Tahu dari mana sumber kewangan mereka? Dari umat Islam sendiri. Umat Islam yang merokok menghabiskan duit mereka untuk Yahudi. Setiap sen yang mereka keluarkan untuk merokok digunakan untuk membunuh umat Islam. Sedarkah??

Ada yang sibuk mempertikai setiap tulisan yang bercerita mengenai Coca Cola dan Pepsi. Terlalu banyak yang mengarut. Sedarlah bahwa itu bukan persoalannya. Yahudi menjajah kita melalui makanan-makanan tersebut juga. Kita mengumpul banyak gula di dalam badan dan kemudian terkena penyakit kencing manis. Kita juga mengumpul banyak kolestrol dan kemudian membazir duit untuk mengurangkan kolestrol. Ubat kolestrol (Statin) itu adalah suatu perniagaan yang sangat menguntungkan buat Yahudi. Satu persepuluh dari hasil negara ini sendiri digunakan untuk mengubati rakyat Malaysia. Kita beli makanan dari Yahudi dan kemudian kita juga membeli ubat dari mereka. Manalah Yahudi tidak kaya-kaya.

Bila Nabi Musa menyampaikan dakwah, apa yang dikatakan oleh Firaun, Haman dan Qarun? Mereka menuduh Musa sebagai Sahirun Kazzab – ahli sihir yang pendusta. Istilah ini masih ada juga hari ini , cuma digantikan dengan penggunaan perkataan yang lain. Hari ini, umat Islam digelar sebagai pengganas, extremist, fundamentalist dan dengan macam-macam lagi istilah. Islamophobia di mana-mana meskipun tiada satu makhamah pun di dunia ini yang membuktikan bahawa ada seorang Muslim yang terlibat dalam serangan 11 September. Mengapa ini terjadi? Kerana Yahudi menguasai media.

Maka tatkala Musa datang kepada mereka membawa kebenaran dari sisi Kami mereka berkata: “Bunuhlah anak-anak orang-orang yang beriman bersama dengan dia dan biarkanlah hidup wanita-wanita mereka”. Dan tipu daya orang-orang kafir itu tidak lain hanyalah sia-sia (belaka). (Surah Al Mukmin: 25)

Realiti yang berlaku dahulu kini terus berlaku dalam dimensi yang berbeza. Bunuh semua anak lelaki merujuk kepada arahan untuk menangkap semua orang Islam yang dicop sebagai pengganas. Bunuh semua orang Islam di Iraq, Palestin dan lain-lain. Hari ini nyawa orang Islam bagai tiada nilainya. Berita kematian beribu-ribu umat Islam hanya menjadi satu kolum kecil di akhbar-akhbar. Berita-berita mengenai artis lebih mendapat tempat dalam saluran media. Berita Britney Spears botak lebih popular dari nyawa umat Islam. Setiap saluran memaparkan berita Britney. Siang, malam, pagi dan petang. Yahoo dengan “She did it again” dan macam-macam lagi.

Pada penghujung ayat tersebut, Allah menyebut “dan tipu daya orang-orang kafir itu tak lain hanyalah sia-sia (belaka)”. Ya, tipu-tipu daya orang kafir itu hanyalah sia-sia.Di Australia misalnya, apabila orang Islam ingin membuat bantahan kepada terhadap Yahudi, mereka akan ditangkap. Tapi apa yang terjadi hari ini? Orang-orang bukan Islam yang melakukan demonstrasi membantah kezaliman Yahudi. Allah membuka hati mereka. Allah mencampakkan kebencian ke dalam hati mereka terhadap Yahudi.

Dan berkata Firaun (kepada pembesar-pembesarnya): “Biarkanlah aku membunuh Musa dan hendaklah ia memohon kepada Tuhannya, kerana sesungguhnya aku khawatir dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerusakan di muka bumi”. (Surah Al Mukmin: 26)

Signifikan ayat ini dapat kita lihat hari ini. Bush misalnya tidak mahu lagi mengambil pendapat ahli kongresnya. Dia melakukan tindakannya sendiri.

Dan Musa berkata : “Sesungguhnya aku berlindung kepada Tuhanku dan Tuhanmu dari setiap orang yang menyombongkan diri yang tidak beriman kepada hari berhisab”. (Surah Mukmin: 27)

Dan seorang lelaki yang beriman di antara pengikut-pengikut Firaun yang menyembunyikan imannya berkata, “Apakah kamu akan membunuh seorang lelaki hanya kerana dia menyatakan: “Tuhanku ialah Allah” padahal dia telah datang kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan dari Tuhanmu. Dan jika ia seorang pendusta maka dialah yang menanggung (dosa) dustanya itu; dan jika ia seorang yang benar niscaya sebahagian (bencana) yang diancamkannya kepadamu akan menimpamu”. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta. (Surah Al Mukmin : 28)

Ayat ini menceritakan tentang seorang lelaki yang beriman. Allah tidak menyebut namanya, sekadar menyebut bahawa dia adalah seorang yang beriman. Dan dia dari kalangan pengikut Firaun yang telah menyembunyikan imannya. Siapakah lelaki itu? Insya Allah, saya akan menyambung lagi penulisan ini apabila saya telah mengikuti bahagian kedua pengisian Theory of Knowledge (TOK) ini nanti.

Exam...

Pernah menonton rancangan House? Saya pernah. Itu rancangan kegemaran saya. Cuma, saya tidak berpeluang menontonnya sekarang kerana tiada televisyen di sini.

Pernah lihat Dr. House menulis 5 perkara ini? Denial, Anger, Bargain, Depression and Acceptance. 5 perkara ini berkaitan dengan psikologi. Saya belum lagi belajar berkenaan psikologi. Cuma mahu berkongsi sedikit perkara yang saya tahu. Tahu apa signifikan 5 perkara ini? 5 perkara ini akan berlaku kepada pesakit apabila seorang doktor memberitahu padanya berkenaan penyakit serius yang dihadapinya.

Apa signifikannya dengan saya? Inilah yang terjadi setiap kali saya melihat keputusan exam saya yang kadangkala teruk. Di sini, tiap-tiap minggu ada peperiksaan. Tiap-tiap minggu keputusan akan ditampal. Saya bencikan exam sebenarnya. Belajar seolah-olah hanya untuk exam. Kadangkala saya cemburu apabila membaca profil ulama dahulu. Mereka bebas menuntut ilmu. Ilmu perubatan, ilmu agama, ilmu falaq dan bermacam-macam ilmu dikuasai dengan baik. Saya kira sistem berorientasikan peperiksaan hanya menyebabkan kemandoman seseorang pelajar bertambah. Dia hanya tahu bidangnya sahaja, sebut perkara lain dia tidak tahu.

Cuma mungkin kadangkala pelajar juga penyebabnya berlaku system berorientasikan peperiksaan ini. Belajar hanya bila ada exam. Hari lain, buku dibiarkan berhabuk, tidak berusik. Bilalah dunia mahu berubah??
There was an error in this gadget