Friday, May 27, 2016

Fahad Muidz..

Fahad Muidz, begitulah takdir pilihan nama putera kedua kami. Pengalaman mengandung dan melahirkannya jauh berbeza dengan abangnya. Yang nyata, ia pengalaman yang sangat menginsafkan. 

Ya, saya sedang dalam program master. Dia yang menemani saya di hari-hari oncall yang mencabar. Dia yang menemani di saat saya melihat kes berterusan di jabatan kecemasan, menahan kencing dan makan. 

Saat mengandungkannya saya mendapat indeterminate APH, kemungkinan threatened miscarriage. Saya mengambil risiko ke Myanmar saat itu. Terlalu banyak pengalaman tawwakkaltu 'alallah. 

Kemudiannya balik dari intensive course di HUSM, terasa seperti prem contraction. Alhamdulillah syukur, cuma jangkitan UTI.

Dan kemudiannya terlalu lama latent phase, sehingga hampir 4 kali ke hospital. Dan pada malam 13 Mei, sakitnya bertambah-tambah. 

A023
(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!

Saya pernah mentadabbur ayat ini dulu. Namun kesekian kalinya saat saya membaca ayat ini, bayangan melahirkan Fahad kembali.

Setelah ARM (dipecahkan air ketuban), sakit menjadi-jadi. CTG menunjukkan Type 1 deceleration. Sakit yang menggila membuatkan saya tidak waras. Saya cabut IV drip dan CTG dan berlari bersembunyi di tandas selama hampir 20 minit. Saya tidak diberikan ubat tahan sakit kerana CTG persistent Type 1 decelation. 

Kemudiannya dipasangkan internal CTG. Saya menjerit lagi. Allah, sakitnya jauh berbeza dengan sakit melahirkan Fatih dahulu. Betapa saat itu, saya merayu-rayu dipermudahkan. 

Sakit yang azab itu membawa saya mentadabbur lagi ayat-ayat Allah. 

A034
Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,
A035
Dan ibunya serta bapanya,
A036
Dan isterinya serta anak-anaknya; -
A037
Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.
Sakit yang menyebabkan saya kira tak mampu membuatkan hati saya memikirkan anak di dalam kandungan. Saya hanya memikirkan agar sakit ini berlalu. 

CTG masih menunjukkan persistent Type 1 decelaration. Doktor ingin membuat keputusan untuk pembedahan, namun memberi peluang untuk saya mencuba. Bukaan os 6 cm, cervix effaced, saya diminta push. Alatan untuk prosedur forcep dan vacuum juga telah ada, namun Allah mengizinkan saya melahirkan Fahad normal. Allahu Akbar!

Kerana cepatnya active phase of labor, rahim lambat mengecut. Pendarahan berlaku. Dua kali dicucuk syntometrine dan kemudian pitocin. 

Dan 3 hari selepas melahirkan, sakit seakan mahu bersalin datang dan pergi. Hari ketiga setelah ibu saya memandikan dengan kunyit dan air panas, blood clot sebesar tapak tangan keluar. Barulah sakit beransur pulih. 

Breast sore juga menjadi ujian. Sungguh berat dugaan menjadi ibu. Fahamlah kini hadis nabi, Ummuka! Ummuka! Ummuka!

Ianya pengalaman yang sangat menginsafkan. Melahirkan tanpa epidural dan analgesic. Dan yang pasti kita semua akan melalui kematian, sakit yang tidak dapat diceritakan. Ya rabb, berikanlah kami khusnul khatimah!

Fahad Muidz..

Fahad bermakna harimau bintang, bayangan seorang lelaki gagah. Dan juga sempena qari kegemaran saya Fahad Kanderi. 

Saya mahu menamankan Ma'az, bersempena nama doktor kanak-kanak yang syahid di Syria, Dr Waseem Ma'az kerana dia yang banyak menemani hari-hari sukar saya sebagai doktor. 

A079

Yusuf berkata: "Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang-orang yang zalim".

Namun teman kami yang baik penguasaan arabnya, mengatakan sekiranya digabungkan dengan Fahad, maka Muidz pilihan yang lebih baik. Begitulah nama putera kedua kami, Fahad Muidz. Dan moga Allah menjadikannya lelaki gagah yang akan melindungi umat ini. 

Sunday, May 22, 2016

Susun kerusi..

Saat saya membaca buku kumpulan tulisan-tulisan Isteriku Seorang Doktor, saya mengulang baca satu kisah yang menceritakan mengenai sosok seorang pemuda yang saya kagumi di dalam satu program. 

Kelihatan dia menyusun kerusi untuk program tesebut. Perbuatannya disedari dan ada yang menegur, "Ya sheikh, kenapa anda menyusun dan membuat semua ini. Bukankah hal-hal seperti ini kami yang perlu lakukan dan bukan insan seperti anda. Anda bukan di bawah menyusun kerusi tetapi anda perlu di atas menunggu disusunnya kerusi".

Dia merupakan figur hebat. Dan dia menjawabnya tenang, "Saya sebenarnya melakukan tugas menyusun kerusi ini kerana saya tidak pasti mana satu amalan saya akan diterima Allah. Mungkin sahaja anda melihat saya hebat berpidato membangkitkan ummah, tetapi ada riak dalam diri. Ia tertolak. Mungkin sahaja anda melihat saya hebat berdakwah tetapi tidak ikhlas dalam hati, ia tertolak. Jadi mungkin menyusun kerusi boleh jadi menjadi satu asbab saya ke syurga". 

Ya, itulah sosok peribadi Assyahid Imam Hassan Al Banna. Dan cerita ini sangat menyentuh hati saya saat membaca satu tulisan di dalam koleksi catatan Isteriku Seorang Doktor. Cerita ini dikaitkan dengan hubungan suami isteri di jalan dakwah. 

Saya berharap Allah menerima amal suami saya yang menyokong saya sepanjang masa-masa sukar. Langkahnya perlahan di medan-medan amal besar kerana menyokong saya membuat master. Dia tidak berada di khalayak, namun dialah tulang belakang kekuatan saya.

Dia yang menjaga Fatih semasa saya perlu oncall. Dia yang perlu menyiapkan Fatih ke taska keesokan harinya. Dia yang perlu menjaga Fatih saat saya postcall dan kepenatan yang amat. Dia yang menghantar dan mengambil saya dari usrah sekiranya kepenatan. Dia yang akan menolong menyelesaikan kerja rumah. Dia yang menemani saya ke Myanmar. Dia yang menemani saya ke intensive course di HUSM. Dan Allah mengujinya dengan dengue shock kerana homestay kami di Kelantan ternyata merupakan kawasan hitam denggi. Maafkan umi kerana tidak dapat menjaga abi ketika itu kerana Fatih juga demam.

Dialah yang sering menguatkan saat saya mengandung anak kedua, memberi kekuatan saat saya perlu menjaga acute bed, saat oncall dan lainnya. 

Dan dia jugalah yang akan memberi motivasi ketika saya gagal. "Takpe, sikit je lagi itu. Boleh cuba lagi". Seringkali saya rasa bersalah dengan kegagalan saya. Namun dialah orang yang paling redha dengan semuanya. 

"Abi, betulkan umi buat master ini pasal dakwah?" Saya acapkali mengulang soalan itu padanya untuk membetulkan kembali niat membuat master. Dan dia akan menjadi pendengar setia yang akan meyakinkan saya dengan jalan yang saya pilih. Saya mungkin sahaja menukar bidang, tetapi dialah yang terus menguatkan. 

Abi, umi nak jadi isteri abi di syurga nanti. Maafkan umi untuk semuanya.. 

Saturday, May 21, 2016

Keputusan..

Alhamdulillah Allah izinkan saya lulus peperiksaan teori MMED Part 1, namun belum mengizinkan saya lulus ujian clinical lagi. Namun saya telah berusaha, dan saya mengambil peperiksaan clinical pada hari keenam setelah melahirkan zuriat kedua. Saya cuba belajar clinical di saat perut semakin sarat. Di saat langkah kaki semakin perlahan, di saat Braxton Hicks contraction menjadi-jadi.

Dan saat saya membuat keputusan untuk mengambil peperiksaan setelah 3 hari melahirkan, tiket kapal terbang adalah mahal. Duit tiket, hotel dan teksi hampir mencecah RM 1500. Sungguh saya kehilangan banyak duit dan hal lainnya di atas jalan menuntut ilmu. Semasa cuba mengambil peperiksaan MRCP di Myanmar, saya kehabisan duit sehingga RM 7000 dan saya gagal. Penat bekerja namun tidak merasa nikmat duit tersebut kerana kebanyakannya di habiskan di jalan ilmu.

Berbaloi ke semua ini? Bersusah sebegini. Jawapannya berbaloi apabila melihatnya dengan pandangan akhirat. Laksana anak-anak akhirat yang melihat dunia dari jendela akhirat.

Sama tak perjuangan master di bidang yang mungkin lebih mudah dengan bidang yang memerlukan kita oncall 36 jam, meninggalkan anak dan suami? Allah menilai mujahadah setiap dari kita. 

Betapa banyak amal yang menjadi besar kerana niat. Kita membuat master kerana dakwah. Supaya kita berada di kedudukan selesa untuk memberi lebih besar pada dakwah. Tiada siapa tahu sama ada kita akan menyudahkan perjalanan master ini. Masihkah kita sempat memberi pada dakwah pada akhirnya? Tiada siapa tahu penyudahan sebuah kehidupan namun niatlah yang menjadikan mudah-mudahan segalanya besar di sisi Allah .

Berkali-kali saya mengulang pada diri. Pahala ini Afeera! Pahala! Pahala! Setelah melahirkan anak, saya diuji dengan darah beku yang cuma keluar setelah 3 hari. Berguling-guling di katil. Boleh ke saya mengambil peperiksaan? Saat luka belum sembuh. Saat kita diuji dengan breast sore dan lainnya. Dan siapa yang sedang melihat amal kita? Allah! Allah jua yang tahu kita melakukan semuanya keranaNya. Berkali-kali niat perlu dibaiki di sepanjang jalan ini. Sebabnya bertambah tinggi jawatan kita, gaji semakin besar. Semua ini adalah ujian hati dan perasaan. Sama ada kita melakukannya kerana dorongan dunia atau akhirat. 

Redha...

Terkadang kita akan diuji pada titik terlemah kita. Dan terkadang kita diberikan dengan rezeki yang diingini oleh ramai orang kerana perkara tersebut bukan merupakan keinginan tertinggi kita. Itu yang boleh saya simpulkan dari sedikit perjalanan kehidupan.

Master bukanlah cita-cita terbesar saya. Tapi tawaran master datang tanpa perlu dipinta. Begitu juga dengan banyaknya rezeki dan ujian lain. Ketika keinginan untuk mendirikan perkahwinan begitu tinggi, Allah tidak mendatangkan pasangan. Namun saat hati begitu redha dengan ketentuannya, Allah kurniakan pasangan dari arah yang tidak disangka-sangka. Ketika kita begitu berhajat untuk mempunyai zuriat, Allah melambatkan permintaan tersebut. Namun ketika kita sangat diuji dengan kekangan kerja dan master, belum bersedia untuk menerima satu lagi zuriat, Allah menghadiahkan zuriat kedua buat kita.

Lantas ada sesuatu yang ingin Allah ajari. REDHA. Redha dengan sebarang ketentuannya. Dan redha tidak lahir dengan mudah. Ya, kita sedang belajar untuk redha. 

"Abi, umi tahu umi kena redha. Tapi bukan mudah untuk belajar redha". 

Lantas suami berbicara, "Ya, kerana itulah dinamakan belajar". 

Kerana redha tidak pernah mudah. Kerana kita manusia yang sedang belajar untuk redha. 

Dan ternyata kita manusia yang gagal menyoroti hikmah takdir ilahi. 

Friday, May 20, 2016

Bukan mudah..

Lama saya mendiamkan diri dari semua. Inferiority complex kerana pengalaman lalu semasa di undergrad. Ya, saat ujian perkahwinan jarak jauh (PJJ) begitu menguji, saya memohon bekerja di UIA. Dan saya diterima bekerja sebagai trainee lecturer dan ditawarkan program master. Maka bermulalah kembara saya sebagai pelajar master. 

Jujur tiada dalam perancangan saya untuk menyambung master semasa housemanship. Kegilaan saya dengan program-program tarbiah, membina adik-adik membuatkan saya lebih berminat dengan parallel pathway seperti MRCP. Namun Allah jua yang membawa saya ke UIA. Dia yang lebih mengetahui takdir terbaik untuk hambaNya. 

Saat melihat orang lain begitu gembira ditawarkan program master, saya menerimanya dengan biasa. Yang pasti saya bahagia dengan pilihan tersebut kerana tempoh PJJ selama dua tahun setengah telah berakhir. Saat saya membuat keputusan untuk menerima tawaran UIA, yang ada di benak kepala hanyalah untuk menamatkan tempoh PJJ. Saya memikirkan kemaslahatan baitul muslim yang terbina. 

Bukan mudah melalui ujian PJJ. Apatah lagi kita berkahwin melalui proses baitul muslim, diperkenalkan oleh orang tengah. Ustaz Wan dan Makcik Wan yang menguruskan baitul muslim kami. Berkahwin dengan orang yang tidak dikenali dan melalui PJJ selama dua tahun setengah adalah sangat sulit. PJJ membuatkan saya tidak mengenali suami. Diamnya, emosinya, kasih sayangnya semuanya tidak saya fahami. Mengandung anak pertama berseorangan membuatkan ujian emosi bertambah-tambah. Dan saya tidak memahami fungsi terdirinya sebuah institusi perkahwinan. Di saat itu, terlalu banyak konflik perkahwinan yang perlu kami lalui. 

Dan kerana itu saya membuat keputusan besar untuk memohon UIA. Dan saya membuat keputusan besar meninggalkan keluarga yang saya sayangi di Johor untuk berpindah ke Kuantan. Kemaslahatan baitul muslim adalah demi kemaslahatan dakwah. Baitul muslim merupakan tangga kedua setelah individu muslim. Dan saya perlu menyelamatkan baitul muslim kami demi dakwah yang kami cintai. 

Saya kira ada baiknya saya menukilkan semua ini kerana terkadang ramai yang berfantasi dengan baitul muslim dan lainnya. Perkahwinan seorang akh dan ukhti kadangkala ada ujiannya, Dan semua ini adalah realiti. Namun percayalah seandainya langkah pertama kita adalah kerana Allah, maka Allah akan menyelamatkan kita di saat-saat yang sulit yang kita lalui kerana pilihan yang dipilih kerana Allah.