Sunday, May 22, 2016

Susun kerusi..

Saat saya membaca buku kumpulan tulisan-tulisan Isteriku Seorang Doktor, saya mengulang baca satu kisah yang menceritakan mengenai sosok seorang pemuda yang saya kagumi di dalam satu program. 

Kelihatan dia menyusun kerusi untuk program tesebut. Perbuatannya disedari dan ada yang menegur, "Ya sheikh, kenapa anda menyusun dan membuat semua ini. Bukankah hal-hal seperti ini kami yang perlu lakukan dan bukan insan seperti anda. Anda bukan di bawah menyusun kerusi tetapi anda perlu di atas menunggu disusunnya kerusi".

Dia merupakan figur hebat. Dan dia menjawabnya tenang, "Saya sebenarnya melakukan tugas menyusun kerusi ini kerana saya tidak pasti mana satu amalan saya akan diterima Allah. Mungkin sahaja anda melihat saya hebat berpidato membangkitkan ummah, tetapi ada riak dalam diri. Ia tertolak. Mungkin sahaja anda melihat saya hebat berdakwah tetapi tidak ikhlas dalam hati, ia tertolak. Jadi mungkin menyusun kerusi boleh jadi menjadi satu asbab saya ke syurga". 

Ya, itulah sosok peribadi Assyahid Imam Hassan Al Banna. Dan cerita ini sangat menyentuh hati saya saat membaca satu tulisan di dalam koleksi catatan Isteriku Seorang Doktor. Cerita ini dikaitkan dengan hubungan suami isteri di jalan dakwah. 

Saya berharap Allah menerima amal suami saya yang menyokong saya sepanjang masa-masa sukar. Langkahnya perlahan di medan-medan amal besar kerana menyokong saya membuat master. Dia tidak berada di khalayak, namun dialah tulang belakang kekuatan saya.

Dia yang menjaga Fatih semasa saya perlu oncall. Dia yang perlu menyiapkan Fatih ke taska keesokan harinya. Dia yang perlu menjaga Fatih saat saya postcall dan kepenatan yang amat. Dia yang menghantar dan mengambil saya dari usrah sekiranya kepenatan. Dia yang akan menolong menyelesaikan kerja rumah. Dia yang menemani saya ke Myanmar. Dia yang menemani saya ke intensive course di HUSM. Dan Allah mengujinya dengan dengue shock kerana homestay kami di Kelantan ternyata merupakan kawasan hitam denggi. Maafkan umi kerana tidak dapat menjaga abi ketika itu kerana Fatih juga demam.

Dialah yang sering menguatkan saat saya mengandung anak kedua, memberi kekuatan saat saya perlu menjaga acute bed, saat oncall dan lainnya. 

Dan dia jugalah yang akan memberi motivasi ketika saya gagal. "Takpe, sikit je lagi itu. Boleh cuba lagi". Seringkali saya rasa bersalah dengan kegagalan saya. Namun dialah orang yang paling redha dengan semuanya. 

"Abi, betulkan umi buat master ini pasal dakwah?" Saya acapkali mengulang soalan itu padanya untuk membetulkan kembali niat membuat master. Dan dia akan menjadi pendengar setia yang akan meyakinkan saya dengan jalan yang saya pilih. Saya mungkin sahaja menukar bidang, tetapi dialah yang terus menguatkan. 

Abi, umi nak jadi isteri abi di syurga nanti. Maafkan umi untuk semuanya.. 

No comments: