Saturday, January 29, 2011

Tendon hammer...

Banyak benda yang berlaku. Semuanya meninggalkan kesan dalam kehidupan saya. Saya tuliskan secara ringkas sahaja pengalaman tersebut kerana kesuntukan masa yang ada.

Stroke

Saya jumpa ramai pesakit stroke di hospital. Kesian sangat. Lebih menyayat hati sebab anak-anak tidak mahu menjaga ibu bapa mereka. Ada seorang pakcik itu, anaknya nak hantar ke nursing home. Saya terdengar bicara si isteri dengan jururawat. Seolah-olah memang si anak tidak dapat diharapkan sama sekali.

Sedih sangat. Saat itu saya berdoa, “Ya Allah, cabutlah nyawaku seandainya kehidupanku yang lebih lama di dunia ini menyebabkan aku melakukan kederhakaan terhadap kedua ibu bapaku..”.

Saya pernah menulis entri mengenai ibu bapa suatu ketika dulu. Moga bermanfaat.

Muwasofat tarbiah

Saat naqibah saya menerangkan tentang muwasofat tarbiah yang perlu ada dalam diri saya, saya tidak memberi fokus yang sepenuhnya. Satu perkara telah terjadi yang memahamkan saya dengan perihal muwasofat.

Seorang ukhti menceritakan saya kehidupannya. Dia akan berwalimah dengan seorang akh yang merupakan pelajar tajaan Petronas. Tapi Petronas tidak mengizinkan mereka berwalimah. Kata ukhti tersebut, dia rasa tenang kerana salah satu muwasofat yang perlu ada adalah tidak bimbang terhadap masa depannya. Entahlah, saat dia berbicara sebegitu, saya rasa kacang goreng sahaja muwasofat itu sehinggalah saya diuji sejauh mana kefahaman saya pula terhadap muwasofat tersebut.
Semalam pagi di hospital, tendon hammer saya hilang. RM25 harga tendon hammer tersebut. Murah je barangkali untuk sesetengah orang. Tapi keperluan saya yang lain amatlah menuntut duit sehinggalah saya merasakan RM25 adalah besar. Merata-rata saya mencari tendon hammer tersebut tapi tidak jumpa. Bila saya kembali ke meja saya semula, Patient Management Record saya pula tiada. Ya Allah, stress sangat masa itu. Pukul 10 lebih, Prof akan sampai. Matilah saya. Semua data pesakit saya ada dalam kertas tersebut.

Takut sangat saat itu. Saya takut sangat Prof marah. Saya pernah dimarahi oleh seorang doktor wanita di hadapan kelas atas kesalahan yang tidak saya sengajakan. Pengalaman tersebut meninggalkan bekas yang mendalam. Saya trauma. Saya tidak mahu pengalaman pahit itu berulang. Saya mencari kertas tersebut di mana-mana namun tidak berjumpa. Penat sangat jalan masa itu.

Menangislah saya semasa solat Dhuha. Rasa takut yang amat. Keduanya, saya tidak larat nak buat report itu lagi sekali. Banyak lagi kerja saya dan nak mengulang tulis semua itu adalah sesuatu yang sangatlah berat.

Akhirnya Prof sampai dan saya masih tidak menjumpai kertas itu. Air mata dah penuh. Memang takut sangat masa itu.

Tapi Prof tidak buat ward round hari itu. Dan Prof hanya tanyakan ada siapa-siapa yang nak volunteer present case atau tidak. Memang pelik sebenarnya bila Prof tak buat ward round, tapi begitulah pertolongan Allah. Ya Allah, saya rasa bersyukur sangat itu. Saya beristighfar dengan sebanyaknya saat itu dan Allah telah membantu saya.

Seusai kelas, saya mencari lagi tendon hammer dan Patient Management Record saya. Saya jumpa tip dia di atas meja makan pesakit dan plastic handlenya di dalam tong sampah. Alhamdulillah jumpa. Patient Management Record saya pula dijumpai di atas rak pesakit. Huhu… Alhamdulillah ..Berulang kali saya jalan di tempat tersebut sebelum Prof tiba, tapi tidak jumpa. Seandainya Allah hendak menguji hambaNya, tiada siapa yang dapat menghalangnya meskipun dengan sebatang kayu dan helaian kertas yang tidak bernyawa.

Tapi pengalaman itu meninggalkan kesan di dalam hati saya. Belum cukup lagi diri ini ditarbiah. Kita masih takut dengan perkara yang mendatang sebenarnya. Ujian yang simple tapi cukup menguji perasaan saya, sejauh mana saya bersangka baik dengan Allah. Dan belum 100% lagi pergantungan saya pada Allah. Saya masih bergantung pada helaian kertas tersebut. Saya rasakan saya tidak mampu present case tanpa helaian kertas tersebut. Halus perasaan tersebut dan aku tewas di hadapanMu ya rabb.

Ampunkan hambaMu ya Rabb, sungguh aku lemah tidak berdaya tanpa bantuanMu ya Rabb. Jadikanlah aku hambaMu yang bergantung sepenuhnya padaMu pada tiap saat dan ketika.

Facebook

Tentang Facebook pula, saya pakai sebab nak update perkembangan jemaah. Keduanya kerana ada orang lain juga memiliki nama yang serupa dengan saya sebenarnya. Ada facebook Ummu Afeera juga di laman maya tapi bukan milik saya. Kerana keperluan, saya menggunakannya. Dikhuatiri fitnah dan hal lainnya. Allahu A’lam

Kalau ada yang sudi add saya di Facebook, addlah saya. Insya Allah, cuba berkongsi sedikit sebanyak perihal tarbiah di sana juga. Allahu A’lam.

No comments: