Tuesday, January 25, 2011

Pintu...


Jujurnya saya tidak tahu dari mana saya perlu memulakan. Titisan air mata gugur tanpa dipinta. Suasana sesuatu tempat itu hanya diketahui oleh mereka yang melaluinya sahaja. Ramai yang telah mencuba di sini, tapi akhirnya semua kepenatan. Saya masih mencuba dan saya berharap bahawa saya akan terus mencuba sehingga keberadaan saya yang terakhir di sini.

Saya sukakan analogi. Tapi analogi yang ustaz gunakan tempoh hari meninggalkan kegerunan yang amat terhadap amal-amal dakwah. Taarif tanpa takwin ibarat analogi yang disebutkan di dalam ayat 13:14.
"...hanyalah seperti orang yang membentangkan kedua tapak tangannya kepada air supaya sampai ke mulutnya, padahal air itu sudah tentu tidak akan sampai kepadanya." (13:14)

Fasa taarif laju di sini, tapi takwin kian hari semakin rapuh. Jujurnya kerana tiada manusia pun yang akan sukakan kerja takwin tanpa memahaminya dengan hati sedalamnya. Tanpa memahami hakikat syurga yang hebat itu, tidak akan ada manusia yang ingin melakukan kerja ini. Bak kata ustaz, ramai sukakan perjuangan yang bermusim seperti angkat banner, buat projek dan lain-lain. Tapi kerja takwin memerlukan istiqamah yang terlalu lama. Kerjanya perlu setiap hari tanpa henti. Dan tanpa nafas iman yang kencang, mungkin sahaja ramai yang akan kelelahan di jalan ini.

Dan kita pula terkadang mengumpul angka-angka yang ramai dalam fasa taarif, berpenat-penat dalam fasa taarif, menyangka telah berbuat sebaik-baiknya. Tapi ia ibarat air yang kita ambil dengan tangan. Terasa banyak di tangan, tapi air yang sampai di mulut adalah terlalu sedikit.

"Lain itu ustaz, kerja taarif yang kami buat ini tidak dapat pahala ke?" Dan jawab ustaz - "Kutip sampah pun dapat pahala. Awak kutip je sampah setiap hari, dapat pahala kan? Tapi kita nak amal-amal kita berkekalan, nafasnya panjang. Hidup walau kita telah mati. Dan di sinilah kepentingan takwin." Masya Allah!

Mengingati semua bicara itu, aku menangis lagi. Bagaimana kaki ini harus terus melangkah ya rabb? Susah. Di penghujung usiaku sebagai pelajar di sini, baru aku mengetahui semua itu. Hanya beberapa bulan sahaja yang masih berbaki. Mampu ke aku melakukan sesuatu? Surah Yusuf terus aku tadabburi. Tertanya-tanya di hati, apakah surah ini masih relevan dengan situasiku saat ini? Aku hanya meneruskan sahaja pembacaanku dengan mengharapkan agar Allah mengurniakan kekuatan menerusi kalamNya.

Dan aku menangis dengan lebih kuat lagi saat tiba pada ayat yang ke 67. Masya Allah! Quran itu berbicara denganku, memahami gurindam hati yang kebuntuan.

Dan ia berkata lagi: "Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". (12:67)


Aku akan mencuba ya Allah. Dan akan terus mencuba. Dan aku akan mencuba dari arah yang lain. Dan kepadaMu aku bertawakal. Bantulah aku ya rabb...

1 comment:

iz said...

salam ya ukht..

ismi Iz. ana cuma nak tanya apa tajuk lagu dlm video di ats?siapa yang nesyidkan lagu tu?sangat menyentuh hati:)semangat!