Thursday, January 20, 2011

La Raib...

Ada ramai penulis di luar sana kan? Tapi tidak ramai pun yang benar-benar yakin dengan penulisan mereka. J.K Rowling pun tidak pernah yakin pada awalnya bahawa karyanya akan meletup. Tiada seorang penulis pun di atas muka bumi ini yang yakin bahawa karyanya hebat dan tiada kelemahan.

Tapi ada satu buku yang mana penulisnya yakin 100% mengenai kandungannya. Mesti kita rasa macam nak tahu sangat mengenai buku tersebut dan penulisnya kan? Tulisan tersebut adalah AlQuran dan penulisnya ialah Allah SWT.

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; (2:2)


La raib. 100% tiada keraguan di dalam AlQuran. Hebat kan? Dan AlQuran itu akan sentiasa menyentuh dan membasahi hati manusia.

Prof pernah mentadabbur ayat ini semasa revision kelas kami yang terakhir untuk Professional Exam 2. Saya pernah menulisnya di sini.

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh 10-12)


Itu adalah kata-kata Nabi Nuh kepada kaumnya. Tadabbur saya sungguh surface. Kalau kita nak nikmat di atas muka bumi ini, perbanyakkanlah istighfar.

Saya membaca blog Fatimah Athirah. Dia menemukan ayat yang seakan-akan serupa dengan ayat tersebut. Menangis hati ini membaca entri tersebut.

Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa! (Surah Hud: 52)

Masya Allah, andai ayat sebelumnya di dalam surah Nuh, ayat seterusnya adalah di dalam Surah Hud. Andai ayat sebelumnya adalah kata-kata Nabi Nuh a.s, ayat seterusnya adalah kata-kata Nabi Hud a.s.

Hebatnya. Dan benarlah kata-kata Assyahid Syed Qutb di dalam muqaddimah zilal.

Oleh sebab manusia mempunyai darjah kemuliaan dan ketinggian yang seluhur ini, maka Allah telah menjadikan tali hubungan yang mengikat umat manusia itu ialah tali hubungan yang diambil dari tiupan ilahi yang mulia, iaitu tali hubungan ‘aqidah kerana Allah. Oleh itu ‘aqidah seseorang Mu’min merupakan tanahairnya, kaumnya dan keluarganya dan di atas ‘aqidah inilah umat manusia harus bersatu padu bukannya seperti haiwan yang berpadu kerana rumput, kerana padang ragut, kerana kumpulan dan kerana pagar.

Orang yang beriman mempunyai keturunan yang amat tua yang bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh. Dia adalah salah seorang dan angkatan manusia yang mulia yang dipimpin oleh para rasul yang mulia, iaitu Nuh, Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya’kub, Yusuf, Musa, ‘Isa dan Muhammad alayhimus-salam.

Masya Allah!

Terlalu dekat saya rasakan bicara Nabi Nuh a.s dan Nabi Hud a.s.

Jujurnya saya tidak pasti asbab kedua-dua nabi Allah ini menyebut tentang hujan. Dan midrara (hujan lebat) itu saya rasakan adalah iman yang kian menyala di lubuk hati yang paling dalam. Beristighfarlah dan pasti dia akan menghantarkan hujan iman yang akan menguatkan kita semula. Quwwatan ila quwwatikum. Dia akan menambahkan kekuatan di atas kekuatan yang telah sedia ada. Allahu Akbar! Apa lagi yang kita ingini?

Dan mudah-mudahan kita tidak memakai payung dosa yang menghalang hujan iman dari terus membasahi kita.

Moga Allah terus menguatkan kita untuk berada di jalanNya dan moga Allah terus menuntuni kita. Allahu A’lam.


1 comment:

atTahirah said...

salam..
hehe kak fira nih..
seolah nye mnjawab soklan2 pd blog sy plak hehe like like
berusrah cara bloggers~ hehe