Sunday, January 16, 2011

Istikharah...

Banyak lagi perkara yang boleh saya tuliskan. Tapi melihat sedikit kepincangan yang berlaku, saya berhasrat menuliskannya. .

Saya mengkagumi Dr Har dan pasangannya. Kedua-duanya bertemu di jalan dakwah. Dialah yang mengajar saya makna istikharah. Dia dan ustaz, kedua-duanya tidak melakukan istikharah saat ditunjukkan borang baitul muslim pasangan masing-masing. Kedua-duanya yakin dengan pasangan mereka.

Saat Dr Har ceritakan hal tersebut pada kami, saya rasa terkejut. “Eh, ada orang tidak istikharah dalam perkara perkahwinan? Bukan hal tersebut adalah besar ke?” Tapi itulah hakikatnya. Kalau kita telah meyakini deen seseorang itu, lantas mengapa masih istikharah?

Dan itulah saatnya saya memahami sedalamnya makna istikharah. Di saat kita meyakini, tiadalah keperluan di sana untuk istikharah. Pelik kan bila kita masih tidak meyakini piawaian SIRIM yang telah jemaah luluskan dalam menilai batu bata individu muslim?

Kalau mahu hujah dari segi seerah pula, saya terkenangkan kisah seorang sahabat yang miskin dan tidak handsome wajahnya. Saat Rasulullah SAW meminang seorang wanita buatnya, keluarga tersebut tidak menyetujui. Tapi wanita tersebut yang menyedarkan keluarganya tentang kebaikan lelaki tersebut yang telah pun diiktiraf oleh Rasulullah SAW. Tidak pula wanita tersebut meminta izin pada Rasulullah SAW untuk beristikharah terlebih dulu, kan?

Ala kulli hal, setiap manusia mempunyai pendiriannya masing-masing. “Aku masih mahu beristikharah. Kesolehan luarannya tidak mempamerkan dalamannya”. Lantas jenuhlah istikharah. Belek quran sana sini. Jawapan akhirnya, terasa berat jawapan istikharahnya. Tentang hal ini, masing-masing mempunyai ijtihadnya yang tersendiri.

Buat akh/ukhti yang menerima jawapan sebegini, bersyukurlah! Kerana dia telah meragui kesolehanmu sedari awal lagi. Bersyukurlah atas jawapan tersebut dan teruslah melangkah. Nescaya kelak Allah pasti akan menunjukkan kamu seseorang yang sesuai denganmu dan tidak meraguimu.

Sekali lagi, perbincangan ini adalah hal yang sangat terbuka. Saya pasti di sana ada alasan yang banyak di dalam diri setiap akh/ukhti untuk menolak seseorang. Dan setiap insan yang melalui proses ini perlu bersikap terbuka dan redha dalam menerima sebarang keputusan. Allah hanya menjanjikan yang terbaik buat kedua-duanya.

Moga berjaya dalam kehidupan masing-masing. Baitul Muslim (BM) bukan satu keseronokan melainkan ianya adalah tanggungjawab dakwah yang berat. Dan yang mengikat hati seseorang itu adalah roh-roh islamnya sepertimana Rasulullah SAW dan Saidatina Khadijah. Tidak sesekali Khadijah menghalang nabi untuk berkhalwat di Gua Hira’. Saat roh telah menyatu, hal jasad bukan menjadi persoalan. Tidak kisah ditinggal-tinggalkan. Tapi kalau hal jasad dan lainnya yang bermain di fikiran, maka banyaklah permasalahan yang akan timbul.

Saya tidak layak pun menulis hal ini. Saya sendiri bimbang seandainya Allah menguji saya dengan tulisan ini. Namun di sana ada kecacatan yang saya lihat dan saya berhasrat untuk memperbetulkannya. Moga Allah terus menuntuni saya.

Allahu A’lam.

Sharing dari akhawat lain: Link

1 comment:

Diane said...

ya Allah..sukanya saya dgn entri2 awak... entri istikharah ini paling menarik minat sy bt masa ni..heee..
blog mcm ni sbnrnye yg saya tercari-cari untuk menambah ilmu.
salam perkenalan Ummu.. :)