Sunday, April 11, 2010

Rehat?

Kadang bila kita dah bekerja, kita ingin berehat seketika. Kadang berprogram, esoknya mahu berehat sepanjang hari. Sedikit perkongsian untuk menyedarkan saya yang terlupa.

Program dua hari yang baru berlalu adalah gabungan program dengan pelajar dari IPTA. Mereka sudah selesai peperiksaan akhir cuma saya masih meniti hari-hari di perbukitan ilmu lagi. Meskipun saya menanti hari-hari peperiksaan yang akan menjelang dalam 5 minggu lagi, jauh di sudut hati saya setuju dengan kata-kata makcik meskipun hal itu ditujukan pada yang lain.

Kadang kerana peperiksaan, kita pun lupa dengan gerak kerja dakwah kita. Kadang kerana nak exam, kita boleh minta ditangguhkan usrah sementara waktu. Kadang nak exam, program semua tolak tepi. Kadang kerana nak exam, kita serahkan adik-adik usrah kita pada yang lain. Kadang kerana satu posting yang berat, kita serahkan semua tugasan kita pada yang lain. Kadang kerana final year, kita serahkan semua kerja pada yang lain.

Dalam slide makcik, ada petikan ini. Petikan yang sudah lama kita dengari tapi mungkin tidak pernah kita hayati.

"Ramai orang yang mudah berkhayal, tetapi tidak semua khayalan yang bermain di benak fikirannya itu mampu digambarkan melalui percakapan lisan. Ramai orang mampu mengungkapkan perbuatan (lisan) tetapi sedikit dari mereka mampu memikul bebanan jihad dan amal yang beral sehingga para mujahidin dari kalangan Ansar yang terdiri dari orang pilihan pun kadangkala tersilap memilih jalan dan tak dapat mengenal sasaran kalaulah tak diselamatkan dari rahmat Allah".

Siapa yang masih mampu memikul beban ini dalam bahang keperitan? Siapa yang mampu memegang tanggungjawab ini dalam segala masalah yang mencengkamnya? Jihad bukan istilah di kala senang, jihad adalah perbuatan dan amal kita di saat kita dalam kesempitan.

Makcik kata kita berehat dua minggu kerana exam, tapi adakah musuh berehat dalam tempoh itu? Makcik khabarkan isu APCO yang terus berjalan, dasar ekonomi yang begitu mencengkam dalam tempoh dua minggu ini. Kerana exam, semua isu ini kita pandang sepi sedang musuh tidak pernah berehat walau sesaat.

Kadang Allah beri kita masa 24 jam sehari. Bagi mereka yang ingin melepaskan tanggungjawab dakwah kerana alasan study, satu sahaja persoalannya. Adakah anda benar-benar menggunakan masa 24 jam sehari itu untuk study? Kalau betul, teruskanlah. Allah Maha Halus dan Maha Mengetahui.

Di dalam program ini juga kami kenali satu peribadi. Muhammad Kamaludin As-Sananiri. Pernah saya menulis kisah cintanya di sini.

Ketika ayahnya meninggal, beliau mengasuh tiga saudara lelaki dan tiga saudara perempuannya termasuk ibunya, sebagai pencari nafkah. Namun, beratnya tanggungjawab ini tidak menghalangnya untuk menjalani amanat dakwah, terlibat dalam jihad di dalam negeri atau di Palestina. Kerana terlalu sibuknya amanah yang dipikulnya, dia tidak sempat berfikir untuk membeli perabot rumah.

Begitulah dia. Seorang insan yang mana penyiksaan ke atasnya membuatkan ibunya sendiri tidak mengenalinya dan membuat adik iparnya menjadi gila.

Bagaimana pula dengan kita? Sehari berprogram terus mahu berehat. Sekali penat, terus mengeluh. Bila berseorangan membuat kerja, kita kecewa dengan sahabat.

Pernah sekali di dalam program, seorang ukhti mengajukan persoalan berkenaan kekangan masa. Jawab murabbiyah - "Kekangan masa tidak akan pernah reda, malah akan menjadi kronik".

Benar. Esok lusa tanggungjawab yang ada akan kian bertambah. Perkahwinan, keluarga, anak-anak, dunia kerjaya dan lain-lain lagi.

Contohlah, kita kata nak rehat kerana exam. Esok lusa tiada exam ke? Kalau ada Pro Exam 1, akan ada Pro Exam 2 dan 3. Kalau kata nak dakwah selepas graduation, kita dah nak bekerja. Lepas itu dah nak kahwin. Lepas itu ada anak. Bila kita nak berdakwah sebenarnya?

Dunia ini bukan tempat berehat. Kematian sahajalah kerehatan yang abadi bagi pejuang Allah.

Bimbang sungguh dengan alasan rehat. Makcik pesan kalau nak tidur sangat, fikirkan bagaimana kalau Allah tidurkan kita selamanya. Kalau nak rehat, fikirkan bagaimana kalau Allah rehatkan kita selamanya. Nauzubillah.

Jalan ini sungguh jauh. Bimbinglah kami wahai Rabb yang agung...

Ya Allah
Terangilah gelap hitam hatiku
Ya Allah
Sucikanlah hati ikhlas untukMu

No comments: