Monday, February 26, 2007

Jantung...


Saya di dalam block cardiovascular sekarang ini. Di dalam block ini, saya belajar mengenai jantung.

Saya akan cerita serba sedikit tentang jantung. Banyak pelajaran berguna yang saya pelajari dariapada jantung ini. Jantung ini berakhlak mahmudah (akhlak yang terpuji). Jantung amanah. Dia tidak pernah mencuri. Jantung ini ada satu otot, namanya endocardium. Endocardium ini tidak akan mengambil darah yang beroksigen buat dirinya. 100% darah yang diterima, 100% darah yang berkualiti juga akan dipam semula. Tidak pernah sesekali dia menggunakannya buat keperluan dirinya.

Sekiranya coronary artey tersumbat, jantung tetap tidak akan mencuri. Apa yang akan terjadi? Kematian. Dan jantung menujukkan satu lagi sikap, lebih baik mati dalam kemulian daripada mati dalam kehinaan.

Jantung juga tidak mementingkan diri. Dia tahu organ-organ lain di dalam badan memerlukan bantuannya. Dia bekerja dalam jemaah, ada “team work”. Jantung mengepam 5 L darah dalam masa satu minit. Jumlahnya hampir-hampir satu baldi air. Dia bekerja tanpa rehat. Sekiranya manusia tidur, otaknya akan berehat. Tapi jantungnya akan terus menjalankan tanggungjawabnya kepada Allah.

Jantung menerima arahan dari SA node. Bahasa mudahnya, SA node ini seperti seorang ketua dan jantung akan mematuhi arahan ketuanya. Dia tidak akan datang lambat. Dia tahu betapa penting dirinya. Dia perlu selalu berinteraksi, menjaga batas perhubungannya. Sekiranya dia berhenti berinteraksi, akan berlaku “sudden cardiac death”. Jantung akan tiba-tiba mati.

Satu lagi perkara mengenai jantung – dia tidak akan berhenti bergerak. Apa yang akan terjadi kalau jantung berhenti bergerak? Darah akan bergumpal dan seterusnya menyebabkan strok dan serangan sakit jantung. Jantung mengajar kita agar sentiasa belajar – menjadi continuous learning person. Jangan berhenti. Exam bukannya terminal (penamat) segalanya-galanya. Sebagai seorang muslim, perlu belajar sehingga ke liang lahad.

Jantung ini patuh pada siapa?? Jantung ini patuh pada penciptanya, Allah. Kalau dia patuh pada saya dan awak, dah lama jantung mati. Contohnya, awak beri arahan, sekarang berdegup cam gini…cam gini…Lepas tu, awak beri lagi arahan…berdegup cam gini…cam gini…Awak akan jadi gila, dan jantung juga akan mati kerana mematuhi peraturan yang tidak masuk akal.

Kadang kita tidak sedar betapa hebatnya kasih sayang Allah buat hambaNya. Derhaka macam mana pun, jatung tetap berfungsi dengan baik. Semua itu nikmat. Nasihat saya buat awak dan saya, bertaubatlah sebelum jantung itu berhenti berfungsi kerana mematuhi perintah RabbNya.

Thursday, February 22, 2007

Dakwah dan pelajaran…

Tadi saya sempat berchatting dengan seorang sahabat dari Indonesia. Sudah lama saya merindui bicaranya. Dia bercerita mengenai pelajarannya. Alhamdulillah, dia memperolehi yang terbaik.

Dia ingin mempertahankan prestasi terbaik untuk Allah, agama Allah. Di sudut lainnya, dia tidak suka mengejar dunia, bersaing untuk berasa hebat. Dia hanya ingin memberikan yang terbaik sebagai hamba Allah.

Dahulu dia bukan begitu. Dia pernah kecundang. Dia pernah bertanya kepada Allah - Ya Allah, kenapa engkau mentakdirkan prestasi yang baik buat temanku? Apakah temanku itu punya alasan yang kuat sehingga Engkau menolongnya. Aku mempunyai mimpi yang besar untuk menegakkan agamaMu melalui pergerakan dakwah. Maka aku mohon bahawa aku harus berjaya.

Lalu Allah memberitahu dirinya melalui suatu kisah sahabat yang dijamin masuk syurga, padahal seharian ibadahnya sama saja seperti sahabat yang lain. Dan ketika ditanya prinsip hidupnya, sahabat itu menjawab "Aku tak suka membanding-bandingkan apa yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya. Aku yakin Allah Maha Baik dan menjamin kebaikan untukku dalam situasi sulit atau lapang. Aku akan tetap redha kepada Allah dalam situasi apapun. Aku akan tetap bersaksi bahawa Allah adalah Robb yang Maha Esa, meskipun gunung-gunung harta itu milikku atau aku tak punya harta sedikit pun”.

Entah mengapa, saya amat tersentuh dengan kisah tersebut. Teringat perbualan saya dengan seorang lagi sahabat yang kini berada di UMS. Dia cukup tidak bersetuju apabila pelajar yang selalu pergi ke masjid, pointernye 2.5 dan ke bawah. Sampai orang keliling berkata - oh..dia budak masjid...banyak kerja dakwah yg dia kena buat. Tu yg jadi cam tu tu.

Baginya, berdosa seorang pelajar itu,apabila dia mampu mendapat yang jauh lebih baik, tapi cuma berpuas hati dengan apa yang dia dapat atas alasan nak dakwah! Sebabnya apa yang dia buat tu,langsung menutup mata orang dari dakwah dia,apa lagi islam.

Dakwah bukan je plainly cerita rububiyah ketuhanan,tapi banyak lagi skopnye..Bukan ke islam tu syumul?

Meniti kata-kata mereka berdua, banyak sekali input yang saya perolehi. Saya perlu banyak bermuhasabah (“,)

Terasa...

Perlukah saya ketawa tatkala membaca sms ini? Terasakah saya?

“Dalam riak wajah, ada pancaran dakwah. Dalam tutur bicara,ada gema tarbiah. Dalam gerak langkah, ada semangat mujahidah. Lupakan wajah yang layu. Tinggalkan bicara pilu. Kuburkan langkah yang lesu. Bangkitkanlah perjuangan. Tatkala yang hak mendabik megah dan kebatilan akur menyembah, Allah tahu, bahawa kita pernah bersama, menyeka peluh dan air mata demi ISLAM tercinta”.

Entahlah. Terlalu hyperbola rasanya mesej ni. Tidak pernah sesekali saya menyeka peluh untuk Islam. Saya bukanlah seperti Rasulullah SAW yang mana tapak kakinya ada di mana-mana lantaran kerja dakwah yang dilakukannya. Saya juga bukanlah seperti Assyahid Imam Hassan Al Banna, yang mana dikenali sehingga ke ceruk pergunungan yang tinggi disebabkan kerja keras beliau dalam berdakwah.

Wajah saya pun bukannya ada pancaran dakwah. Pasangan couple yang tengok saya masih meneruskan aksi mereka. Saya bukan seperti tentera Islam yang mana wajah mereka cukup digeruni lawan lantaran sifat taqwa yang ada dalam diri mereka.

Gerak langkah ada semangat mujahidah?? Hmmm, saya ni masih ada masa untuk benda-benda lagha. Entahlah, nak ketawa pun ada bila baca mesej ni. Terlalu hyperbola. Tapi terasa juga. Terasa…terasa…

Monday, February 19, 2007

Secebis bicara...

Sekiranya ada 1000 orang mujahidah di dunia ini, saya bermohon kepada Allah agar saya menjadi salah seorang dari mujahidah tersebut.

Sekiranya ada 10 orang mujahidah di dunia ini, saya bermohon kepada Allah agar saya tergolong dalam golongan mujahidah itu.

Sekiranya ada seorang mujahidah di dunia ini, saya memohon kepada Allah, sayalah mujahidah itu.

Sekiranya tiada lagi mujahidah di dunia ini, saya memohon kepada Allah bahawa saya telah dikurniakan kemanisan syahid.

Friday, February 16, 2007

Saya dan PERNIM..

Tulisan ini saya dedikasikan buat adik-adik yang saya temui di PERNIM, Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/ AIDS Nurul Iman.

------------------------------------------------------------------

Adik, permukiman akak sudah hamper satu semester di pusat pengajian ini. Terlalu lama akak berkelana memikirkan segalanya. Betapa suatu ketika dahulu, akak tertanya-tanya keberadaan akak di sini. Ini bukanlah tempat yang akak idam-idamkan. Cita-cita akak terlalu menggunung dan yang pasti segalanya bukan di sini. Hati tidak ingin sesekali untuk berada di sini. Hari pertama akak menjejakkan kaki di sini, seorang senior bertanyakan perasaan akak. Excited? Gembira? Mudah sahaja jawapan yang akak tuturkan – tiada perasaan. Akak merancang, Allah juga merancang dan perancangan Allah itu adalah sebaik-baik perancangan. Rencana Allah itu sangat unik, perjalanan hambaNya ini diacu dengan baik sekali, dan akak memahaminya kini.

Adik, tiap yang terjadi punya hikmah. Punya kemanisan sekalipun ianya pahit untuk ditelan.Wujudnya akak di sini menjadi asbab pertemuan kita.Bidang yang akak ceburi kini memerlukan akak untuk bertemu adik-adik. Pertemuan dua mata antara kita membuatkan manik-manik jernih mengalir. Akak cuba menahan air mata yang bertakung dari mengalir, tapi akak tewas. Kenapa mata akak berair? Akak nangis? Kantoi? Soalan-soalan tersebut masih bermain di penjuru jiwa dan fuad akak. Akak tewas berhadapan dengan realiti, yang selama ini tidak pernah akak mimpikan, khayalkan, hatta untuk menjadi fantasi. Realiti yang akak temui begitu pahit. Tidak mampu akak terjemahkan segalanya dengan bicara madah dan kata-kata. Cukuplah untuk akak katakan ia adalah ibrah yang mentarbiyah akak.

Sewaktu akak bermuqim, menggilap sisa-sisa perjuangan di matrikulasi suatu ketika dahulu, akak pernah hadir ke suatu program. Fasilitator mengajukan soalan yang begitu mudah, “Siapa Perdana Menteri Singapura?”. Terlalu mudah soalan yang diajukan. Namun kami sebagai peserta gagal menjawabnya dengan tepat. Konklusi dari soalan tersebut membuatkan akak terpukul. “Sekiranya kalian gagal menjawab soalan ini, cuba fikirkan, adakah kalian mengetahui rancangan musuh-musuh islam? Negara jiran sendiri tidak diketahui, adakah kalian dapat menyelami apa yang terjadi kepada saudara-saudara seaqidah di Palestin, Pakistan dan lainnya?” Pasti adik tertanya-tanya, apa yang ingin akak sampaikan. Putaran masa silam sebenarnya mengajar akak kehidupan hari ini, mengiktibari bilahan hari yang berlalu,. Melihat adik, akak tertanya-tanya, di mana saudara seagama. Baru kini akak tersedar kelemahan diri akak sendiri. Andai nasib adik sendiri tidak akak ketahui, apakah mungkin akak menyelami hati saudara seislam di Palestin, Iraq dan lainya.

Adik, gambar yang dihulurkan oleh penjaga adik begitu menyentuh hati. Kepingan tidak berbingkai itu adalah gambar bonda adik. Dia sama seperti adik. Seorang muslim. Namun dia mengambil tindakan untuk membunuh diri. Dahulu, tiupan kencang dan tempias hujan sukar menggugah lena akak. Namun kini, gambar post mortem bonda adik terus mengakrabi sehingga akak sukar tidur. HIV positif membuat dirinya kehilangan ketabahan yang panjang dan kesabaran yang agung buat menyusur rencam onar dunia ini. Sabarlah adik. Usah terusan berlagu sendu. Bukankah Dia sama sekali tidak akan menguji hambaNya di luar keupayaan?

Adik, akak hanya mengulang tingkah memori pertama membaca kisah yang melatarbelakangi berdirinya Islamic Centre di Brussel, Belgia. Ianya terasas apabila sekelompok mahasiswa muslim melihat permandangan yang amat menghiris hati mereka, yakni permandangan yang terjadi di sebuah stesen kereta api di Brussel. Pada saat itu, mereka melihat gerobong kereta api yang dipenuhi oleh anak-anak, sementara di pinggir rel kereta api berdiri beberapa pastur, biarawati, dan keluarga-keluarga berwarga negara Belgia melambaikan tangan melepas pemergian anak-anak tersebut. Setelah permasalahannya jelas, barulah pemuda-pemuda itu mengetahui bahawa anak-anak tersebut adalah dari keluarga Arab muslim yang tinggal di wilayah muslim di daerah Perancis bahagian utara, yang kebanyakannya adalah para buruh.

Anak-anak itu seusia adik. Tahukah adik apa yang berlaku pada mereka? Dengan alasan bahawa anak-anak tersebut terlantar, maka gereja menawarkan kesediaannya untuk menerima mereka di hari-hari cuti dan memberi mereka apa yang diperlukan. Yang lebih menyedihkan, anak-anak tadi melambaikan tangan dengan deraian air mata. Ini bererti bahawa anak-anak tersebut sudah merasa berat untuk berpisah dari para gerejawan gerejawati itu. (Majalah Al-Ummah, no 16 tahun keempat)

Adik, permandangan ini dapat kita saksikan di setiap jengkal bumi Islam, khususnya di Afrika. Kita juga menyaksikan ratusan anak Palestina yang orang tuanya menjadi syuhada pada pembantaian Shabra dan Shatila diangkut ke tempat-tempat penampungan dan gereja-gereja Eropah, dan tak seorang pun pemimpin negara Islam yang berusaha menyelamatkan mereka. Namun akak bagai tersedar dari mimpi tika pertama kali akak mengetahui kejadian serupa berlaku di bumi Malaysia ini. Adik, akak tahu adik menjadi mangsa pebuatan zina yang durja. Ya, akak tahu adik menghidap HIV positif. Akak tahu adik adalah anak yang lahir dari ikatan yang tidak halal. Tidak sesekali akak ingin menghukum adik atas kesilapan manusia lain. Tapi adik, dunia sekitar memberi hukuman yang tidak dapat adik pikul. Adik dipulaukan. Namun apa yang terjadi di penghujungnya membuat tulang-tulang akak seakan sudah berkecai dan berselerakan lantaran terpana dengan segala yang diberitakan. Adik disusukan akhirnya dengan kepahitan Kristianisasi dan diselimutkan dengan kasih Missionary.

Adik, siapa yang perlu akak persalahkan? Cukuplah akak katakan bahawa akak sendiri terasa bersalah. Ya, akak tidak menjalankan kerja dakwah. Akak tidak memberitakan kepada yang lain apa yang telah berlaku kepada adik. Dakwah tidak pernah kedengaran di cuping telinga bonda dan ayahanda adik, lantas mereka berzina. Dan kini akak melihat sendiri kesannya. Akak melihat sendiri dengan lensa indera keadaan adik-adik lantaran sikap akak yang mengabaikan dakwah. Teringat akak dalam satu pesannya, Imam Hassan Al Banna mengatakan, “Seandainya dapat, saya ingin sekali menyampaikan dakwah ini kepada setiap anak yang dilahirkan”.

Adik, mendidik anak dengan manhaj islami merupakan fondasi berdirinya sebuah masyarakat yang islami, kerana mendidik anak dengan manhaj islami bererti mempersiapkan generasi yang siap untuk mengembangkan lagi risalah dakwah dan menegakkan bendera Islam.Anak merupakan batu pertama bagi pembentukan sebuah masyarakat islami. Dia terlahir dalam keadaan fitrah. Seorang anak bagaikan lembaran kertas putih yang masih bersih. Menjadi tanggungjawab akak dan yang lainnya untuk bersegera menuliskan ketaqwaan dan akhlak islami pada kertas itu sebelum didahului dan ditulisi dengan tulisan yang menyesatkan. Seorang anak akan tetap terpikat kepada orang yang memperlakukannya sesuai dengan tabiatnya sebagai anak. Ia akan merasa bahawa ia berada dalam naungan kasih sayang orang tuanya sendiri. Adik pasti bersetuju dengan kata-kata akak itu, bukan?

Adik, diceritakan bahawa jika Rasulullah bertemu dengan anak kecil, beliau berhenti dan menunduk seraya menyapanya dengan lembut serta mengusap kepalanya dengan penuh kasih sayang. Perhatian ini diberikan oleh Rasulullah kerana beliau mengetahui bahawa seorang anak sangat memerlukan perlakuan semacam ini, sebagaimana titisan embun yang menyirami taman bunga, sehingga bunga-bunga itu merasakan kesegaran dan “kebahagiaan”, serta merekah dengan pesona keindahan.

Pasti adik tertanya-tanya, mengapa ini yang akak ceritakan? Adik, bertolak dari sinilah sebenarnya kaum misionaris sangat memerhatikan anak-anak. Kita masih ingat akan apa yang dilakukan oleh Soviet, mereka mengambil anak-anak mujahidin yang menjadi syuhada dan mendidik mereka dengan kekafiran. Dan kini kejadian serupa itu berlaku di sini. Terasa pijar hati akak memikirkan semua.

Adik, bicara maya ini sudah hampir ke penghujungnya. Kesendatan masa yang akak ada membataskan akak untuk terus berbicara. Maafkan akak atas segalanya. Yakinlah bahawa kesendatan masa yang akak alami kini adalah impian akan datang untuk terus membantu adik kelak. Yakinlah, sinar hikmah yang didamba pasti muncul seindah pijarnya mentari petang. Segala yang terjadi bukan untuk melemahkan kita, malah ia mematang dan melengkapkan kita sebagai hamba-Nya. Akak memohon padaNya agar adik dipanjangkan usia agar akak dapat menyalurkan secangkir kasih buat adik. Akak tidak ingin HIV positif merampas bahtera kasih yang telah terbina. Hanya Dia penentu segalanya.

Ummu Afeera Zainulabid
Taman Puteri Wangsa, Johor
10.45 malam

Sunday, February 04, 2007

Kekuatan...

Terima kasih, Kak Khoir kerana sudi bertanyakan khabar saya. Kita tidak pernah bertemu, tapi Allah menanamkan erti ukhwah ke dalam hati kita. Ana uhibbuki fillah wa fil islam.

Penyakit saya menjadi lebih serius Jumaat lalu. Sakit tekak saya menjadi-jadi sehingga saya tidak mampu menelan air liur sendiri. Keperitan menjalar sehingga telinga dan kepala saya juga merasakan kesakitan yang tidak terperi. Saya pergi ke klinik akhirnya kerana tidak mampu menahan lagi kesakitan.

Rupa-rupanya, sakit saya berpunca dari telinga. Telinga saya bernanah di sebelah kanan. Saya tidak merasakan kewujudan nanah itu pada mulanya. Sememangnya hebat perancangan Allah kerana sekiranya saya bertemu doktor sebelum saya merasakan sakit telinga, pastinya saya akan mengambil rawatan untuk demam dan sakit tekak sahaja. Doktor mengesyorkan saya mengambil ubat tidur. Saya menolak pada mulanya. Tapi doktor tersebut mengatakan bahawa sakit ini akan melarat lagi dan meminta saya berehat. Akhirnya, saya bersetuju untuk mengambil ubat tidur tersebut.

Tiada siapa bersama saya sewaktu saya di klinik. Cukuplah Allah untuk menemani saya. Saya gagahkan diri untuk menaiki bas dan kemudian berjalan dari Cyberia ke apartment. Saya hampir pengsan saat itu kerana kesakitannya sangat luar biasa. Tapi Alhamdulillah, Allah memberikan kekuatan untuk saya berjalan lagi malam itu. Tiba sahaja di rumah, saya makan sedikit roti dan mengambil ubat. Saya tidak mampu membuka stokin sendiri saat itu. Apa yang bermain di fikiran saya saat itu, bagaimana sakitnya Sakaratul Maut? Saya tidak mampu meneguk hatta seteguk air saat itu. Saya tidak mampu mengambil wudhu’ atau bertayamum untuk solat Isya’. Saya solat Isya’ dengan bahasa isyarat sahaja.

Teringat kata-kata seorang ulama’, orang beriman ni sikapnya sama sahaja apabila dia menerima RM 10000 dan kehilangan RM 10000. Yang pasti, sikap saya begitu berbeza di saat saya sihat dan sakit. Di kala saya sakit, bibir tidak sudah-sudah mengungkapkan “Allah ! Allah!”. Berbeza di saat sihat, saya banyak melupakanNya. Ya Allah, maafkan hambaMu ini di atas kelalaiannya.

Tiada siapa mengetahui betapa sakitnya kesakitan yang saya alami saat itu melainkan Allah. “Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu lahirkan dan rahsiakan), dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui?” (Surah AlMulk: 14). Housemate saya memberitahu bahawa degree of pain (tahap kesakitan) yang paling tinggi adalah ketika sakit gigi, seterusnya sakit telinga dan ketiga barulah sakit bersalin. Ini adalah disebabkan sakit gigi dan sakit telinga berhampiran dengan otak yang merupakan sebahagian dari CNS (Central Nervous System). Saya tidak mengetahui sejauh mana kebenaran fakta tersebut. Allahu A’lam. Allah lebih mengetahui segalanya.

Teringat saya sebuah kisah mengenai seorang lelaki dari kalangan Bani ‘Abs yang pergi mencari sejumlah untanya yang hilang. Tiga hari lamanya dia tidak pulang kerana mencari untanya itu. Padahal dia seorang kaya yang memiliki segalanya. Harta dan keluarganya berada di sebuah rumah yang mewah dekat aliran air di daerah Bani ‘Abs. Mereka hidup enak, aman dan tenang. Tidak pernah terfikir oleh mereka bahawa sebuah bencana boleh saja menimpa mereka, musibah boleh sahaja mengancam mereka.

Pada suatu malam semua keluarganya tidur lelap, baik yang dewasa mahupun yang kecil, sedang harta mereka berada bersama mereka di tempat yang datar, sementara bapa mereka tiada, mencari barangnya yang hilang. Pada saat itulah Allah mengirimkan air bah yang menerjang bukit-bukit seperti debu. Dan itu terjadi di akhir malam. Semuanya hanyut, rumah-rumah mereka hanyut dibawa arus yang deras, harta mereka musnah, dan semua anggota keluarganya ikut dibawa air. Kini semuanya hanya tinggal bekas, seakan-akan mereka tidak pernah ada.

Setelah tiga hari mencari, si bapa ini pulang bersama unta yang kembali dijumpainya ke lembah tempat tinggalnya. Tetapi dia tidak merasakan kehadiran seseorang, tidak terdengar suara, tidak ada apa yang dinamakan hidupan, tidak ada orang untuk berbicara dan tidak ada keceriaan. Tempat itu datar sama sekali. Ya Allah, sungguh sebuah bencana yang sangat berat, tak ada lagi isteri, tak ada lagi anak-anak, tak ada lagi kambing, tak ada lembu, tak ada dirham, tak ada dinar dan tak ada pakaian. Tak ada apa-apa. Sungguh sebuah musibah yang menghancurkan.

Selanjutnya, musibah tambahan yang lain menerpa. Seekor unta jantan yang baru dijumpainya terlepas. Dikejarnya unta itu. Ketika sudah hampir tertangkap, unta itu menendang wajah si bapa itu, yang membuatnya buta. Si bapa pun berteriak-teriak dengan harapan ada orang yang akan membawanya ke tempat yang dapat dia jadikan untuk berteduh. Selang beberapa hari kemudian, suara itu didengar oleh seorang Arab Badwi. Dihampirinya orang itu dan dituntunnya. Kemudian si bapa buta ini dibawa menghadap Al-Walid bin Abdul Malik, khalifah di Damsyik. Si bapa itu pun menceritakan kejadiannya seluruhnya. Kata Al-Walid: “Lalu bagaimana sikapmu?” Jawab si bapa itu: “Saya redha kepada Allah”.

Saya kagum dengan kisah tersebut. Meniti kalimah agung pada bibir si bapa. Redha, bukan mudah untuk mempraktikkannya. Moga Allah mengurniakan saya kesabaran dan redha dalam menghadapi segalanya. Saya mohon maaf kepada kedua ibu bapa saya kerana membuat mereka risau. Hanya mereka sahaja yang saya rasakan menyayangi saya dan menerima saya seadanya. Sakit ini menyedarkan saya mengenai hakikat manusia. Saya sudah berputus asa mengemis kasih dari manusia lain. Moga doa mathurat yang saya amalkan menjadi kekuatan saya – “Kami mohon (Ya Allah) kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain. Berikanlah kami (Ya Allah) iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain dari Engkau sendiri”.

Ala kulli hal, Alhamdulillah sakit saya sudah berkurangan saat ini, namun saya menghadapi masalah pendengaran. Terasa betapa nikmatnya pendengaran yang Allah kurniakan selama ini. Saya perlu bertemu dengan doktor lagi esok untuk mengeluarkan nanah tersebut. Doakan saya.

“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku”. ( Surah Assyuara : 80)

Thursday, February 01, 2007

Demam..


Semalam saya baru menyudahi continuous assessments bagi pharmacology. Saya menghadapi kertas tersebut dalam keadaan demam. Sememangnya saya teruji dengan sebenar-benarnya semalam. Segalanya yang saya baca tidak dapat dihadam oleh minda saya. Air mata berguguran tanpa dipinta. Saya tidak pasti mengapa saya merasakan block pharmacology begitu sukar berbanding block lain. Block lain juga sukar tetapi saya tenang. Namun block pharmacology begitu menggelisahkan saya.

Bila hati gelisah, pasti ada dosa yang saya lakukan. Cukuplah ujian itu untuk saya melakukan muhasabah terhadap apa yang telah saya lakukan selama ini. Allah tidak pernah mendedahkan keburukan hambaNya, maka tidak perlulah saya sebagai hambaNya menukilkan debu-debu dosa yang telah saya lakukan.

Saya bersyukur di saat saya begitu teruji, ayah dan ibu sudah kembali dari menunaikan haji. Saya menangis dan meluahkan segalanya kepada mereka. Infiniti kesyukuran ke hadrat Allah kerana mengurniakan ayah dan ibu yang begitu memahami. Kata ayah, saya perlu selalu berinteraksi dengan hati. Pastikan hati berinteraksi dengan Allah. Saya akur. Barangkali saya lupa bahawa Allah yang mengurniakan saya ujian demam. Saya lupa kisah yang pernah saya kongsikan bersama kawan-kawan saya yang terjadi di antara Imam Syahid Hassan AlBanna dan Abbas As Sissi.

Setelah Abbas mendapat diploma dari Sekolah Menengah Teknik pada tahun 1939, beliau berangkat ke Kaherah untuk mencari kerja. Beliau pergi menemui al fadhilah al mursyid am Hassan Al Banna r.a di Markas Am Ikhwan di Al-Hilmiyah Jadidah. Setelah almursyid mengalu-alukan kedatangannya, almuryid bertanyakan sebab-sebab kehadiran beliau di kota Kaherah itu.

Abbas: Untuk mencari kerja.

Almursyid: Tidakkah kau terfikir untuk bekerja secara sukarela di Sekolah Teknik/ Mekanik Peperangan?

Abbas: Sesungguhnya keluarnya aku dari sekolah teknik ini adalah semata-mata untuk membebaskan aku dari perkhidmatan tentera.

Almursyid: Akan tetapi risalah kita mewajibkan kita berkhidmat di dalam jurusan ini (jurusan ketenteraan) .

Abbas: Itu tidak ada halangan, tetapi aku tidak akan berjaya di dalam pemeriksaan Doktor kerana sebelah dari mataku kabur (rabun).

Almursyid: Bertawakallah kepada Allah s.w.t supaya berjaya.

Abbas: Bagaimana aku akan berjaya di dalam pemeriksaan Doktor padahal mataku dalam keadaan yang demikian.

Almursyid: Justeru kerana itulah aku berkata bertawakallah kepada Allah kerana jika matamu sejahtera, kamu akan bertawakal kepada matamu.

Pengertian ini benar-benar menggoncangkan kewibawaan Abbas sekaligus beliau merasakan iman menyelinap ke dalam perasaaannnya. Beliau berangkat menuju ke Sekolah Teknik Peperangan di Al Abbasiyah dengan bertawakal kepada Allah s.w.t. Beliau diiringi oleh seorang pegawai tentera menuju rumah sakit tentera dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t, berserah sebulat-bulatnya kepadaNya dengan harapan mendapat kejayaan. Setelah melalui pemeriksaan Doktor secukupnya, beliau termasuk di kalangan orang-orang yang berjaya. Lantaran itu, beliau memasuki sekolah tersebut dan bermulalah hidupnya di dalam jurusan yang baru dan di luar dari perhitungan awalnya.

Beliau juga tidak lupa, bagaimana apabila meletus sahaja perang dunia kedua, kementerian telah menyegerakan penamatan kursus(graduation) bagi membolehkan mereka berangkat ke medan perang di padang pasir sebelah Barat. Beliau beserta rakan-rakannya seramai sekitar 100 orang pergi ke Dharbu An Nar, medan tempat ujian menembak (sebelum lulus). Beliau berasa sangat dukacita kerana bimbang akan gagal di dalam latihan menembak itu kerana kelemahan mata kirinya. Spontan beliau teringat kata-kata AlImam - tawakallah kepada Allah, kamu akan berjaya. Serentak dengan itu meresaplah pengertian tawakal ke dalam jiwanya dan beliau benar-benar yakin akan hakikat bertawakal itu. Beliau melakukan latihan menembak itu dengan sepenuh kepercayaan dan ketenangan walaupun hanya menggunakan sebelah matanya yang terang. Akhirnya Husin Ahmad, panglima yang melatih mereka mengisytiharkan bahawasanya pemenang yang pertama ialah Abbas Al Sisi. Keputusan ini memeranjatkan mereka yang mengetahui hakikat ini tetapi inilah satu daripada hakikat kebenaran bertawakal kepada Allah s.w.t.

Sememangnya besar peranan tawakal dalam hidup seorang muslim yang mukmin. Tawakal itu ialah berusaha bersungguh-sungguh menurut batas-batas kemampuan manusia, kemudian menyerahkan tadbir segala urusan kepada Allah s.w.t, yang menjadi kunci segala kebaikan, segala berkat serta pemeliharaan dan perlindungan dari segala kejahatan.

Saat saya duduk di dalam dewan peperiksaan, kisah ini berlegar-legar di dalam minda saya. Allah tidak mahu saya bertawakal dengan kesihatan, lantas dia mengurniakan saya demam. Kerana demam inilah, saya bertawakal padaNya.

Semalam juga keputusan ujian keluar. Ujian ini menyumbang 30% dari jumlah markah keseluruhan. Alhamdulillah, saya gagal dalam ujian ini. Saya hanya memperolehi 46/ 100. Saya sudah cukup bersyukur dengan markah ini. Saya menemukan ketenangan dalam kegagalan ini. Ketenangan yang tidak saya temukan sebelum ini. Insya Allah, saya akan berusaha lagi untuk peperiksaan akhir.

Alhamdulillah, hari ini saya bercuti. Perancangan Allah begitu hebat. Saya demam di saat-saat yang bersesuaian dengan cuti umum. Allah mengingatkan saya bahawa telah begitu lama saya mengabaikan hak kepada tubuh badan saya yang Allah ciptakan.Cuti ini adalah masanya untuk tubuh saya berehat.

Every night brings in new day,
Allah alleviates all pain,
Everything has its end,
Allah is enough for me!!