Tuesday, November 21, 2006

Ketone...

Final biochemistry jumaat ni. Sangat tertekan juga menunggu saat-saat akhir peperiksaan.

Cuma nak kongsi sesuatu tentang puasa meskipun Ramadhan sudah lama melabuhkan tirainya. Saya baru sahaja mengetahui perkara ini di dalam kelas tadi..

…Demi jiwa Muhammad yang ada di tanganNya sungguh bau busuknya mulut orang yang sedang shaum itu lebih wangi disisi Allah pada hari kiamat daripada kasturi. Dan bagi orang yang shaum ada dua kegembiraan, apabila ia berbuka ia gembira dengan bukanya dan apabila ia berjumpa dengan Rabbnya ia gembira kerana shaumnya. (H.R : Al-Bukhari dan Muslim)

Apa perkaitannya dengan biochemistry? Pastinya ramai yang belajar mengenai penghasilan ketone dalam tubuh orang yang berlapar. Seorang doktor boleh mengetahui sama ada pesakitnya berdepan dengan kelaparan yang kronik berdasarkan dua keadaan. Pertama, sama ada mulut pesakit berbau ketone, dan kaedah ini bukanlah yang terbaik untuk dipraktikkan oleh doktor memandangkan pesakit mungkin berkecil hati sekiranya doctor mahu menghidu bau mulut mereka. Kedua, adalah melakukan ujian air kencing bagi mengesan kehadiran ketone (acetone).

Cuma tertarik dengan kaedah pertama iaitu mengesan bau ketone yang yang tidak menyenangkan. Bukankah hebat hadis Rasulullah yang menceritakan mengenai bau mulut orang yang berpuasa? Kehadiran ketone (acetone) ketika manusia berlapar telah pun diketahui sewaktu zaman Rasulullah lagi. Moga kita dapat mengambil pedoman dan seterusnya beriman dengan keimanan yang sebenarnya kepada Allah dan RasulNya.

Thursday, November 16, 2006

Kerasnya hati..

Kekerasan hati kadangkala sukar diterjemahkan. Kadangkala persoalan mengenai hati sukar dijawab. Terlalu sukar memahami hati. Terasa kerasnya hati, tapi tatkala berhadapan denganNya, sukar diri menceritakan segalanya. Mengapa hati ini begitu keras? Mengapa? Terlalu banyak persoalan yang memerlukan kepada penelitian yang berbalik kepada mata hati sendiri.

Chatting bersama sahabat sedikit sebanyak memberi jawapan kepada permasalahan hati yang saya hadapi.

"Cuba check,lurus tak hati? Berkait pula dengan iman. Berkait pulak dengan lidah,lurus ke lidah? Mungkin ada terlepas cakap, ada yang makan hati, mana tahu tu yang jadi sebab hijab Allah".

"Bila kita serahkan sepenuhnya urusan kita kat Allah,takkan timbul masalah redha ni.Bila tawakkal betul pd Allah, kita akan terima apa pun yang diberi, datanglah redha pada Allah, barulah lahir syukur yang betul pada maknanya".

"Bila hati diuji,iman di duga masalah datang bertimpa, ingatlah Allah sedang melihat kita. Memandang kita dengan pandangan Rahimnya,nak tengok samada hamba yang bertuah ni nak balik mengadu pada yang punya segala, atau memilih manusia atau dunia untuk meluah rasa .Simplenya,anti antara yang terpilih.Terpilih pula maksudnya,Allah tau anti ni kuat.Jadi kenapa mesti menafikan kekuatan itu?".

Setiap bait kata-katanya menusuk jauh ke dalam hati. Kadangkala saya sukar mencari asbab segalanya. Saya ingin bersuara, tapi tiada kata. Saya ingin menulis, tapi sukar menarikan jari jemari untuk mencoretkan sesuatu pada helaian kertas. Kadangkala terasa betapa kosongnya kehidupan bila tiada iman yang menjadi penyuluh sebuah kehidupan. Benar kata-kata sahabat saya. Adakah saya memilih manusia atau dunia untuk meluah rasa? Atau memilih Allah? Kadangkala sukar untuk mengadu kepada Allah terlebih dahulu dan begitu mudah lidah meluahkan segalanya kepada manusia dan dunia.

Kejamnya saya kepada Allah. Tidakkah saya tahu bahawa Allah yang mengetahui setiap sel sehingga kepada 'molecular mechanism'nya amat mengetahui apa yang terpendam jauh di dalam hati saya? Tidakkah saya tahu bahawa Allah amat mengetahui betapa kotornya hati saya? Mengapa setelah mengetahui semua itu, saya masih mencari manusia untuk meluahkan rasa.

Saya malu pada sahabat saya, tetapi sewajarnya saya berasa malu kepada Allah. Terima kasih sahabat, kerana menyedarkan diri ini. Terima kasih atas segalanya.

Monday, November 13, 2006

Kolestrol

HMG CoA Reductase adalah enzim yang digunakan dalam penghasilan kolestrol di dalam tubuh manusia. Nama ini perlu diketahui oleh setiap pelajar perubatan. Ubat kolestrol (Statin) yang amat terkenal di kalangan kita digunakan untuk merencat aktiviti enzim ini. Ubat ini menjadi azimat yang tidak terkira dalam bidang perubatan. Sebiji ubat ini berharga kira-kira RM5.60 . Gabungan ubat kolestrol dan Viagra menjadi perniagaan yang tidak terkira di dunia ini.

Terdapat syarikat-syarikat besar di dunia ini yang menggunakan ubat ini untuk memperolehi pendapatan lumayan dan seterusnya keuntungan tersebut digunakan untuk melakukan pembantaian ke atas umat Islam di Iraq dan Palestin.

Tanpa sedar pemakanan kita sehari-hari menjadi punca kepada penderitaan saudara seislam kita. Salah satu rancangan Zionis adalah menyerang kita dari sudut makanan. Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menjaga pemakanan mereka dan seterusnya kesihatan mereka. Salah satu punca gemilangnya generasi Islam dahulu adalah bila mana mereka menjaga kesihatan mereka. Penjagaan pemakanan membolehkan mereka untuk bangun berqiamullail pada waktu malam.

Pemakanan yang tidak terancang menjadi faktor pengumpulan kolestrol dan seterusnya menyebabkan kita memerlukan pengambilan ubat kolestrol sehari-hari. Dan ini sewajarnya perlu diberi perhatian untuk setiap insan yang mengambil berat mengenai nasib malang yang menimpa umat Islam sedunia.

Perkara yang saya bangkitkan ini juga sewajarnya menjadi perkara penting yang wajar difikirkan oleh setiap pelajar perubatan Islam. Menjadi tanggungjawab kita untuk mendalami sedalam mungkin ilmu agar kelak mampu menghasilkan alternatif yang mampu menggantikan penggunaan ubat kolestrol ini. Barangkali ilmu genetik perlu didalami agar kita mampu mengawal kuantiti enzim HMG CoA Reductase di dalam sel kelak. Terdapat banyak yang perlu dipelajari dan perjalanan ini masih panjang sebenarnya. Fikir-fikirkan. Segala yang saya nukilkan di sini tidak lain sebagai teguran kepada diri saya juga. Allahu A’lam.

Wednesday, November 08, 2006

Dissection

Semalam buat pertama kali saya melakukan dissection ke atas mayat manusia setelah bergelar sebagai pelajar perubatan. Entah mengapa banyak sekali yang terlintas di fikiran saya ketika itu. Fizikal saya sahaja yang melakukan dissection, tapi hati dan fikiran saya melayang entah ke mana. Banyak yang saya fikirkan.

Manusia tiada ertinya lagi apabila bergelar mayat. Masih hangat lagi di telinga saya apa yang dikatakan oleh pensyarah physiology saya bahawa kehidupan ramai manusia di dunia ini adalah bermatlamatkan kepada makan dan seks. Tapi bila melihat mayat tersebut, saya mula memikirkan, adakah itu sahaja kehidupan manusia sebenarnya? Hidup hanya untuk makan, seks dan kemudiannya menjadi mayat?

Mayat itu benar-benar tiada ertinya. Itu baru dissection yang dilakukan oleh tangan-tangan kami yang bergelar pelajar perubatan, bagaimana kiranya kalau dissection yang dilakukan oleh ulat, cacing dan segala makhluk Allah di dalam kubur kelak? Saya tidak sesekali dapat membayangkannya.

Kecantikan rupa paras juga tidak menjanjikan apa-apa. Mayat tiada semua itu. Tiada langsung seulas kecantikan menghiasi rupa mayat. Harta juga tidak bernilai apabila menjadi mayat. Amal sahaja yang akan bernilai ketika menjadi mayat. Melihat mayat membuat saya terfikir bahawa dunia tiada ertinya lagi. Kumpullah sebanyak harta, berdandanlah sepuas mana, tapi segalanya akan luput dan hilang apabila menjadi mayat.

Kadangkala kita mudah terasa hati dengan manusia. Kita bimbang maruah kita akan tercalar. Banyak kali kita melakukan sesuatu dengan mengharapkan pandangan manusia tanpa memikirkan langasung pandangan Allah, namun semua itu tiada maknanya lagi setelah bergelar mayat. Rahmat Allah jua yang akan kita cari setelah bergelar mayat. Hanya Allah sahaja yang bersama kita saat itu. Manusia hanya akan membiarkan dan meninggalkan sahaja kita. Tiada ertinya lagi kita apabila menjadi mayat kecuali sekiranya kita dahulu adalah seorang yang menjaga hubungan baik dengan manusia di atas dasar yang disyariatkan Allah.

Mayat yang saya dissect adalah mayat yang meninggal disebabkan buasir. Saat itu, saya merenung kembali cita-cita saya untuk bergelar seorang syuhada’ kelak. Setiap manusia akan mati, namun sebab musabab sebuah kematian terlalu banyak. Jutaan manusia lahir di dunia setiap saat dan jutaan manusia juga akan mati setiap saat. Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan apa yang dipanggil sebagai sebuah kematian. Cuba tutup sebentar telinga dan mulut. Dapatkah kita menahan nafas untuk dua minit? Bayangkan azabnya sakaratul maut apabila roh terpisah dari diri kita. Kesakitan yang amat dahsyat. Tidak mungkin pernah dirasakan oleh manusia sepanjang kehidupannya namun akan dirasainya di saat akhir hidupnya. Mengingati mati akan menyababkan kita lupa kepada kelazatan dunia. Moga Allah memberikan kita semua penghabisan yang baik kelak. Ameen.
There was an error in this gadget