Wednesday, November 08, 2006

Dissection

Semalam buat pertama kali saya melakukan dissection ke atas mayat manusia setelah bergelar sebagai pelajar perubatan. Entah mengapa banyak sekali yang terlintas di fikiran saya ketika itu. Fizikal saya sahaja yang melakukan dissection, tapi hati dan fikiran saya melayang entah ke mana. Banyak yang saya fikirkan.

Manusia tiada ertinya lagi apabila bergelar mayat. Masih hangat lagi di telinga saya apa yang dikatakan oleh pensyarah physiology saya bahawa kehidupan ramai manusia di dunia ini adalah bermatlamatkan kepada makan dan seks. Tapi bila melihat mayat tersebut, saya mula memikirkan, adakah itu sahaja kehidupan manusia sebenarnya? Hidup hanya untuk makan, seks dan kemudiannya menjadi mayat?

Mayat itu benar-benar tiada ertinya. Itu baru dissection yang dilakukan oleh tangan-tangan kami yang bergelar pelajar perubatan, bagaimana kiranya kalau dissection yang dilakukan oleh ulat, cacing dan segala makhluk Allah di dalam kubur kelak? Saya tidak sesekali dapat membayangkannya.

Kecantikan rupa paras juga tidak menjanjikan apa-apa. Mayat tiada semua itu. Tiada langsung seulas kecantikan menghiasi rupa mayat. Harta juga tidak bernilai apabila menjadi mayat. Amal sahaja yang akan bernilai ketika menjadi mayat. Melihat mayat membuat saya terfikir bahawa dunia tiada ertinya lagi. Kumpullah sebanyak harta, berdandanlah sepuas mana, tapi segalanya akan luput dan hilang apabila menjadi mayat.

Kadangkala kita mudah terasa hati dengan manusia. Kita bimbang maruah kita akan tercalar. Banyak kali kita melakukan sesuatu dengan mengharapkan pandangan manusia tanpa memikirkan langasung pandangan Allah, namun semua itu tiada maknanya lagi setelah bergelar mayat. Rahmat Allah jua yang akan kita cari setelah bergelar mayat. Hanya Allah sahaja yang bersama kita saat itu. Manusia hanya akan membiarkan dan meninggalkan sahaja kita. Tiada ertinya lagi kita apabila menjadi mayat kecuali sekiranya kita dahulu adalah seorang yang menjaga hubungan baik dengan manusia di atas dasar yang disyariatkan Allah.

Mayat yang saya dissect adalah mayat yang meninggal disebabkan buasir. Saat itu, saya merenung kembali cita-cita saya untuk bergelar seorang syuhada’ kelak. Setiap manusia akan mati, namun sebab musabab sebuah kematian terlalu banyak. Jutaan manusia lahir di dunia setiap saat dan jutaan manusia juga akan mati setiap saat. Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan apa yang dipanggil sebagai sebuah kematian. Cuba tutup sebentar telinga dan mulut. Dapatkah kita menahan nafas untuk dua minit? Bayangkan azabnya sakaratul maut apabila roh terpisah dari diri kita. Kesakitan yang amat dahsyat. Tidak mungkin pernah dirasakan oleh manusia sepanjang kehidupannya namun akan dirasainya di saat akhir hidupnya. Mengingati mati akan menyababkan kita lupa kepada kelazatan dunia. Moga Allah memberikan kita semua penghabisan yang baik kelak. Ameen.

No comments: