Tuesday, September 19, 2006

Palestin yang dilupakan...

Palestin merupakan isu yang kini telah dilupakan. Palestin yang sepatutnya ada di hati orang yang beriman telah dilupakan oleh ramai golongan manusia. Bisikan dari hati ke akal terhadap isu Palestin bagaikan tiada. Hati seolah-olah tiada rasa cinta kepada saudaranya yang berjuang (Mujahidin). Akal fikiran seolah-olah tidak mahu mengetahui hakikat jihad.

Kita tidak mahu mengenali hakikat buminya, rakyatnya, dan sejarahnya, apatah lagi mengenali sebab-sebab kemasukan Israel Laknatullah yang membawa besi-besi dan api mereka untuk membakar umat Islam yang mulia.

Telinga kita berkata “TIDAK” apabila diceritakan realiti dan sejarah perjuangan jihad Islam sejak dari mula dan mengapa bermula. Mata tidak ingin memandang wawancara dengan pemimpin-pemimpin jihad Islam, apatah lagi mengenai negara-negara yang perlu diketahui oleh setiap umat Islam sehubungan dengan jihad di Palestin.

Tidak ingin sesekali kita membuka mata hati untuk mendengar mengenai semaraknya semangat, harapan, dan cita-cita ke arah kemenangan. Air mata tidak pernah berlinangan apabila melihat dengan mata kepala kita akan jenayah-jenayah dan kezaliman tentera Israel serta penyembelihan yang dilakukan mereka. Air mata tidak pernah bercucuran ketika mengetahui keadaan saudara-saudara kita, para mujahidin di Palestin. Kewajipan berjihad dari tangisan jiwa kepada realiti jihad yang sebenar bagaikan tiada dalam sanubari kita.

Kita terlupa mengenai hati-hati Mujahidin yang penuh keimanan di Palestin. Kita biarkan sahaja tulang-tulang umat Islam yang berselerakan disiat-siat oleh bom Israel. Kita biarkan jasad-jasad anak kecil yang dibakar oleh senjata dan kedengkian Israel. Kita biarkan bayi-bayi yang dirampas oleh kedengkian Israel dari pelukan ibu yang menyayanginya supaya disusukan oleh tentera-tentera Iblis oleh kepahitan atheis (golongan yang tidak mempercayai adanya Tuhan) serta diselimutkan dengan kasih “Missionary Yahudi” (pendakyah-pendakyah) dan paderi-paderi. Kita biarkan muslimat-muslimat kita dicincang-cincang ataupun dirogol selepas dibunuh.

Duhai umat Islam yang sedang tidur dan terus tidur, warkah ini kutuskan buat kalian. Sekiranya kita ingin terus tertidur, ingatlah musuh-musuh sedang berjaga. Mereka telah sampai ke katil-katil pembaringan umat Islam di Palestin. Andai kalian ingin terus tidur, kelak mereka akan sampai ke katil-katil kalian. Lena kita membuatkan kuffar berebut-rebut hendak menguasai kita. Bangkitlah duhai insan dari tidur lenamu yang begitu lama. Kibarkanlah bendera kebenaran. Takbir!!! ALLAHU AKBAR!!!

Peringatan...

Wahai sahabat-sahabat sekalian, sesungguhnya kita mampu menjadikan Rasulullah hidup bersama kita selamanya, di dalam pesawat, di dalam kereta, di atas kapal laut, di rumah, di ladang, di pasar, di warung, di perpustakaan, di dalam kelas dan di mana sahaja. Caranya ialah dengan mengingat nama baginda, dengan membacakan selawat untuknya, dengan mengikuti Sunnahnya dan dengan mengikuti perilakunya.

Kita dapat hidup bersamanya ketika kita memutar kaset yang berisi petikan sejarah hidup baginda, ketika kita membaca buku tentang perjalanan hidup baginda, dan ketika kita membaca keagungan peribadi baginda dalam AlQuran yang agung.

Kita dapat hidup bersama baginda ketika kita hidup dalam kefakiran, kerana baginda adalah penghulu kaum fakir. Jika kita seorang yang berkecukupan dari aspek material, melihat harta sedang bersama kita, kesihatan dan rumah mewah sedang menjadi milik kita, anak-anak dan keturunan yang menambah kesenangan kita, maka bersyukurlah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Rasulullah juga pernah berkecukupan, pernah mempunyai banyak harta, dan ketika itu baginda tidak pernah lupa untuk berinfaq, bersedekah dan membantu dengan hartanya.

Jika kita berasa telah berjaya mengalahkan kebatilan, maka janganlah kita angkuh dan membusungkan dada. Ingatlah bahawa ketika Rasulullah mencapai kemenangan, baginda tetap menundukkan kepalanya kepada Allah, air matanya tetap mengalir deras di hadapanNya.

Ketika kita kalah dalam persaingan hidup, maka kita mesti tetap tenang dan memegang kesabaran. Ketahuilah bahawa ketika Rasulullah mengalami kekalahan, baginda tetap tenang dan sabar kerana Allah.

Jika saudara kita meninggal dunia, maka relakanlah pemergiannya. Ketahuilah bahawa Rasulullah pernah ditinggalkan oleh Ibrahim, anak yang sangat dikasihinya.

Inilah dia Rasulullah. Baginda akan hidup bersama kita selagimana kita menginginkan baginda hidup bersama kita.

Seseorang tidak boleh hidup bersama Rasulullah jika ia menutup pintu agar Sunnah baginda tidak dapat masuk ke dalam rumahnya, ketika ia berkata kepada AlQuran: “Keluarlah dari rumahku!”. Kemudian menggantikannya dengan majalah murahan. Ketika ia membuang kaset-kaset Islami yang berguna dan bermanfaat, lalu menggantinya dengan kaset nyanyian yang penuh dengan penarik dosa dan keharaman, ketika ia meninggalkan solat lima waktu, dan ketika ia mengabaikan Sunnah dari pakaian, penampilan dan cara hidupnya dan ketika ia asyik menonton TELEVISYEN, di saat azan berkumandang. Ayuh bermuhasabah.

Monday, September 18, 2006

Pandangan Mata...

Marsum maya yang diutus oleh seorang teman dari Indonesia benar-benar membuat saya terpukul.

"Semoga Allah menghendaki kita untuk menjadi generasi islam yang mencintaiNya dan dicintaiNYa. Ukhti, saya sudah lama merasa galau dengan jihad, dengan ke-istiqomah-an dan dengan kata-kata kaffah. Saya merasa Allah membiarkan saya berjuang sendiri dengan prinsip-prinsip agama saya. Hati ini begitu hampa, sakit. Begitu banyak aktivis-aktivis islam tapi dimanakah generasi islam yang menggetarkan musuh musuh terlaknat, di manakah generasi islam yang banyak mengingat Allah dalam setiap langkah kesehariannya, di manakah para mujahidah yang selalu merasa malu dan terawasi oleh malaikat hafazhah yang mulia, di manakah para mukminah yang begitu takut terkena fitnah dan sangat komitmen dengan hijab. Saya merasa islam menjadi sebuah permainan, bukan kesungguhan, sehingga kebangkitan islam terseok seok. Ya Allah. ya quddus, kapankah pertolonganMu akan datang?" .

Bait-baitnya membuat saya terfikir mengenai soal pandangan mata yang kini kurang diawasi oleh para aktivis dakwah termasuk saya.Bulan menjangkau tahun. Kini kita hampir menjejaki gerbang kedewasaan. Namun persoalannya, adakah kedewasaan usia kita seiring dengan kedewasaan iman? Keteguhan iman berfungsi selaku kekuatan utama yang teguh memagari kemuliaan akhlak kita sebagai seorang Muslim. Lemah iman bereti akan goyang pendirian malah akan pincang langkah-langkah kita dalam menjejaki masa depan.

Namun, dengan pelbagai kemudahan yang ada hari ini, seperti friendster, di mana kemudahan untuk "add" sesiapa sahaja yang berlainan jantina, masih mampukah kita untuk menjaga pandangan mata? Adakah kita tidak membalas "view" manusia-manusia yang melihat profile kita? Saya tidak berniat menghukum sesiapa kerana saya tidak memiliki kelebihan itu. Itu hanyalah dari satu segi sahaja. Malah saya belum membicarakan lagi soal televisyen dan persoalan lainnya.

Dalam usaha kita membina kekuatan iman bersulamkan ketaqwaan, wujud pula penghasut paling berbahaya! Syaitan yang tidak pernah berputus asa membisikkan keraguan ke dalam hati kita. Kini pula kian bertambah giat mengaburi pandangan mata kita.

Peringatan untuk diri saya dan sahabat-sahabat di luar sana yang saya kasihi kerana Allah, ingatlah firman Allah dalam surah Annur ayat 30-31: “ Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu, adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang nampak daripadanya”.

Hebat sekali ayat Allah. Allah bercerita mengenai pandangan dan kemudian kemaluan. Mengapa? Kerana keduanya adalah saling berkait. Allah menjadikan mata sebagai cermin hati. Jika seseorang menahan matanya bereti dia menahan serta mengawal keinginan hatinya menurut kehendak Allah. Pandangan mata yang tidak terkawal kelak membuahkan perlakuan yang tidak menentu. Menahan pandangan mata itu bertujuan menjaga kehormatan diri. Bukan bermakna Allah melarang pandangan mata secara keseluruhan, tetapi kita diperintahkan untuk menahan sebahagian pandangan mata.

Sesungguhnya pengaruh penglihatan itu sangat kuat. Ia dikaitkan dengan desakan nafsu. Lantaran itu, Rasulullah mengumpamakan pandangan mata seperti anak panah beracun iblis untuk menggoda manusia. Setiap masa pandangan mata harus dijaga terhadap mereka yang menutup aurat, apatah lagi yang mendedah aurat.

Sebagai seorang muslimat, hati saya selalu tertanya-tanya, mengapa kadangkala muslimat yang benar-benar komitmen dengan hijabnya diganggu oleh aktivis dakwah muslimin. Adakah kalian cuba untuk menguji sejauh mana imannya? Para hafizah diganggu agar dapat dilihat sejauh mana dia dapat menepis gangguan dari seorang insan bernama lelaki. Untuk apakah semua ini? Muslimat yang mencuba untuk komitmen dengan Islam, kalian katakan dirinya syadid, dan kalian juga mencemuh wanita-wanita yang tidak memberi komitmen dengan agamanya. Mengapa kalian tidak mengaplikasikan cara Rasulullah mentarbiyah golongan muslimat dalam diri kalian? Maaf andai butir bicara ini agak keterlaluan.

Ingatlah, telah berlaku di zaman Rasulullah SAW, ketika al-Fadhl bin Abas r.a menunggang unta Rasulullah dalam perjalanan dari Muzdalifah ke Mina, mereka bertembung dengan beberapa wanita yang menaiki unta. Al-Fadhl memandang ke arah wanita itu, lalu Rasulullah memegang kepala al-Fadhl dan memalingkannya ke arah lain. Begitu sekali larangan yang Rasulullah maksudkan. Jika pandangan itu dibolehkan, sudah tentu Rasulullah biarkan saja perlakuan al-Fadhl. Saya sendiri perlu bermuhasabah. Adakah saya menjaga pandangan semasa di khalayak ramai apatah lagi ketika bersendirian?

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah telah menetapkan atas diri anak Adam bahagiannya dari zina. Dia mengetahui yang demikian itu tanpa dimungkiri. Mata itu berupaya berzina dan zinanya adalah pandangan. Lidah itu berupaya berzina, dan zinanya adalah perkataan. Kaki itu berupaya berzina dan zinanya adalah ayunan langkah. Tangan itu berubaya berzina dan zinanya adalah tangkapan keras. Hati itu berupaya berkeinginan dan berangan-angan. Sedangkan kemaluan membenarkan atau mendustakan yang demikian itu”. (Riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasai dan Abu Daud).

Duhai sahabat yang sentiasa menjaga keteguhan iman, usah disalah guna definisi ukhwah, qiamullail dan lainnya. Fahamilah tatacara serta batas pergaulan yang telah Allah syariatkan. Di satu segi, umat Islam disuruh membina kemesraan, murah dengan senyuman, saling bersalam dan bermaafan serta lembut dalam tutur kata. Tetapi pada satu sudut lain, syariat meletakkan batas pergaulan yang ketat antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim. Usah diguna kalimah ayah angkat, ibu angkat, kakak angkat, abang angkat, adik angkat dan istilah lainnya untuk merelevankan sebarang tindakan dan membuang rasa berdosa. Imam Ghazali pernah berkata, “Membuang rasa berdosa ketika melakukan dosa adalah sebesar-besar dosa”. Ingatlah, dalam tutur kata berlainan jantina, senyum dan bertegur sapa tidak boleh berlebihan. Haruslah menggunakan pakaian yang sempurna dan menutup aurat demi memelihara maruah dan kehormatan wanita. Ini bertepatan dengan maksud firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 59: “Yang demikian itu, supaya mereka lebih mudah dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun dan lagi Maha Penyayang”.

Dengan batas-batas pergaulan itu kita dapat mengawal diri dari perlakuan yang memalukan dan membahayakan kehormatan. Pergaulan yang tidak dijaga akan menimbulkan fitnah seperti pandangan buruk dan rasa cemburu orang yang memandang. Kemesraan antara seorang lelaki dan wanita yang bukan muhrim akan diambil peluang oleh syaitan untuk menjerumuskan kalian kepada perbuatan sumbang. Oleh itu, ingatlah amaran Nabi bilamana lelaki dan perempuan bukan muhrim berdua-duaan di satu tempat, maka pihak ketiga ialah syaitan. Sebab itu Islam telah mengatur sebaik-baik batasan supaya jangan timbul bibit-bibit yang mendorong perlakuan sumbang dan zina.

Hayatilah maksud hadis Rasulullah ini: “Pandangan mata itu laksana anak panah beracun dari berbagai macam panah Iblis. Barangsiapa menahan pandangannya dari keindahan wanita, maka Allah akan mewariskan kelazatan di dalam hatinya yang dia dapat rasakan hingga dia bertemu Allah”.

Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai pandangan mata yang tidak disengajakan atau secara tiba-tiba, baginda memerintahkan supaya alihkan pandangan dan elak daripada mengulanginya lagi. Kesan pandangan kedua akan lebih buruk kerana di sini iblis mengambil kesempatan menambahkan racun hasutannya.

Jika mata sentiasa dikawal, sudah tentu hati akan jadi tenang. Mudah melaksanakan ketaatan kepada Allah. Sebaliknya mata yang dibiar itu akan mengotori jiwa dan merosak hati hingga mendorong melakukan perbuatan sumbang dan tercela.

Ibnu Abbas pernah berkata: “Kedudukan syaitan dalam diri orang laki-laki itu ada tiga tempat iaitu pada pandangannya, hatinya dan ingatannya. Kedudukan syaitan dalam diri wanita juga ada tiga yakni pada lirikan matanya, hatinya dan kelemahannya”.

Sedarlah bahawa menutup aurat dengan sempurna dan pergaulan yang terkawal itu akan menjadikan maruah wanita Islam dihargai dan dihormati. Bahkan pergaulan yang keterlaluan dapat dijauhi. Seterusnya menjamin hubungan harmoni dan sejahtera di kalangan masyarakat.

Berhati-hatilah ketika melemparkan senyuman. Senyuman wanita kepada lelaki yang bukan muhrim bukan dikira sedeqah, tetapi pendorong kepada perlakuan sumbang. Jelingan, kenyitan mata, berpegangan tangan dan berdua-duaan di tempat yang terang atau tersembunyi mengundang berlakunya maksiat. Oleh itu, pelihara dan jauhkan diri daripada kemurkaan Allah. Pastikan orang lain tidak menanggung dosa atau terdorong untuk turut membuat dosa. Tepatilah maksud firman Allah dalam surah al-Maidah ayat dua: “Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah sangat berat siksaNya”.

Ingatlah, tidak ada istilah “ringan-ringan” dalam soal dosa. Setiap perbuatan dosa adalah berat di sisi Allah. Dosa yang kecil yang diulang-ulang akan bertompok menjadi besar.

Sentiasalah sedar hakikat yang Rasulullah maksudkan dalam sabdanya: “ Ada tiga perkara yang menyelamatkan dan tiga perkara yang merosakkan. Tiga perkara yang menyelamatkan adalah taqwa kepada Allah di saat terang-terangan dan sembunyi, bersikap adil tatkala marah dan redha, kesederhanaan di saat miskin dan kaya. Tiga perkara yang merosakkan adalah kekiran yang berlebihan, hawa nafsu yang disenangi, ketakjuban seseorang terhadap dirinya sendiri”.

Akhir kalam, renungi syair Arab ini : “Betapa buruk pemuda yang memiliki pekerti mengorbankan adab kerana nafsu sendiri, kehinaan dituruti padahal diri mengetahui , kehormatan tercemar dan kehinaan disenangi. Wahai kedua mata, kau nikmati pandangan lalu kau susupkan kepahitan ke dalam hati. Hatilah yang memaksakan kehendaknya kerana hati dan mata tidak tunduk kepada Pencipta!”.

Tariq Ibn Ziyad

Saya tertarik untuk bercerita mengenai seorang tokoh yang begitu hebat dalam Islam yang pernah saya baca di dalam sebuah majalah. Moga kisah ini memberi inspirasi dan percikan semangat untuk saya bergelar doktor.

Tariq Ibn Ziyad adalah panglima Islam yang begitu hebat dalam kisah pembukaan Sepanyol. Sewaktu zaman pemerintahan Khalifah al- Walid 1, Musa ibn Nusayr telah dilantik menjadi gabenor di bahagian darat. Kawasan pentadbirannya melewati keseluruhan keseluruhan Afrika Utara. Musa dibantu oleh seorang panglima perang yang ternama, Tariq ibn Ziyad. Cita-cita Tariq untuk menyebarkan Islam dengan lebih meluas ke utara Lautan Mediterranean menampakkan jalan yang terbentang apabila negara Sepanyol mengalami pergolakan kuasa setelah Raja Witiza mati pada tahun 709M.

Hati saya tertanya-tanya, pernahkah saya bercita-cita untuk menyebarkan Islam dengan meluas sedangkan sebagai seorang muslim, saya perlu meyakini bahawa Islam pasti akan bersinar di bumi ini?Dengan berbekalkan kelengkapan kapal perang yang seadanya, dan dibarisi tentera-tentera Islam yang niatnya hanya satu, jihad fi sabilillah dan mati syahid, Tariq merentasi Lautan Mediterranean bersama pertolongan Allah. Melihat persediaan tentera Tariq, Panglima Roderick dari Sepanyol terasa gerun. Apa taknya, lautan yang cukup bergelora diharungi dengan berani dan yakin sekali oleh Tariq ibn Ziyad.

Hati saya berdetik lagi. Mengapa saya mahu menjadi seorang doktor? Adakah saya mahu berjihad fi sabilillah? Mahu menjadikan syahid sebagai matlamat hidup saya?

Setibanya pasukan tentera Tariq, mereka mendarat di sebuah teluk yang berbukit. Melihatkan keadaan tenteranya yang penat, dan barisan bala tentera Roderick yang ramai, Tariq ibn Ziyad mengambil satu keputusan nekad. Kapal yang diharungi tadi dibakar sehingga hangus. Tariq mengambil tempat di atas bukit sambil berucap, antara lain, Tariq berkata, "kita datang untuk membebaskan manusia dari kekufuran kepada Islam. Kapal sudah dibakar. Di belakang kalian adalah lautan dan di hadapan kamu adalah musuh. Jikalau kalian ingin mara bersamaku, kita berjuang sehingga menang ataupun syahid. Jika kalian berpatah balik, kamu akan mati lemas dalam kekufuran". Sehingga hari ini, tempat tersebut dikenali sebagai Gibraltar ( Jabal Tariq, iaitu bukit Tariq dalam bahasa Melayu).


Mampukah saya menggerunkan musuh Allah? Adakah saya memiliki keberanian seperti Tariq.

Ucapan bersemangat Tariq disambut dengan semboyan jihad yang tidak berbelah bahagi dari barisan tenteranya. Dengan berbekalkan keimanan yang mendalam dan roh jihad yang sejati , tentera-tentera Islam di bawah pimpinan Tariq telah berjaya dalam pertembungan tersebut. Satu pertempuran hebat telah diberitakan berlaku dekat Rio Gradalete. Terdapat juga sumber yang menyebut, ia berlaku berdekatan Rio Barbete dan di situlah tentera Roderick akhirnya tewas pada tanggal 19 Julai 711M. Roderic sendiri maut di medan perang tersebut.

Pernahkah saya memiliki roh jihad yang sejati, hanya kerana Allah semata-mata? Bagaimana iman saya hari ini?

Dari detik tersebutlah, bebasnya bumi Sepanyol dari belenggu kekufuran dan dibukakannya kepada Islam serta disinari dengan cahaya keimanan. Pihak Musa ibn Nusayr dan khalifah sendiri memberi sokongan padu kepada tentera Tariq. Bumi tersebut kemudiannya dikenali sebagai Andalusia dan beberapa pusat pentadbiran, keilmuan dan tamadun baru mula terkenal seperti Cardova.

Bagaimana pertolongan Allah akan tiba kepada saya yang sering melakukan dosa ini?

Dengan kemampuan yang dikurniakan Allah kepada Tariq dalam memimpin barisan tenteranya membuka Andalusia, serta sokongan mantap dari pihak khalifah selaku 'shield' dan perisai Islam pada waktu itu, kita dapat saksikan bagaimana neara-negara di dunia ini dibuka kepada cahaya Islam. Dan melihat keadaan di Palestin, kita ternanti-nantikan panglima sehebat Tariq ibn Ziyad ini. Pun begitu, pelindung atau 'shield' dalam bentuk khilafah telah tiada. Inilah permasalahan Islam.

Doktor Muslimat...

Perlukah Islam kepada doktor-doktor muslimat? Jawapan yang paling tepat adalah PERLU. Hari ini kita masih kekurangan doktor-doktor muslimat.

Namun kesedaran betapa perlunya Islam kepada doktor-doktor muslimat ini agak kurang di kalangan remaja muslimat di luar sana. Betapa ramai remaja muslimat di luar sana yang begitu takutkan pekerjaan ini. Berbagai-bagai perkara difikirkan oleh mereka. Soal rumahtangga, kesibukan, dan macam-macam lagi alasan direka untuk tidak melibatkan diri dalam bidang ini.
Saya sendiri misalnya disarankan oleh oleh seorang makcik yang begitu aktif dalam dunia dakwah agar tidak memilih bidang ini. Betapa hari ini kesedaran mengenai dunia perubatan masih jauh dari kita.

Sesungguhnya penyakit tidak mengenal lelaki atau perempuan. Oleh itu adalah perlu untuk sebahagian muslimat menceburi bidang perubatan untuk menyelesaikan maslah pengubatan pesakit-pesakit wanita. Ini merupakan satu tuntutan fardhu kifayah. Malah muslimat-muslimat diizinkan juga oleh syariat untuk mengubati pesakit-pesakit lelaki di waktu darurat dan jika proses pengubatan ini memerlukan seseorang muslimat itu keluar dari rumahnya, diharuskan juga, tanpa melanggar batas-batas syariat yang telah ditetapkan dari segi pakaian, pergaulan dan lain-lainnya.

Sejarah-sejarah telah menunjukkan tentang kewujudan khemah-khemah pengubatan yang diuruskan oleh muslimat-muslimat di zaman nabi di waktu peperangan. Ianya merupakan 'hospital peperangan' yang wujud di kalangan orang-orang Islam. Di antara muslimat-muslimat yang menguruskan 'hospital peperangan' di zaman Rasulullah ialah Rubayyi' binti Muawwiz, Umaimah binti Qais, Ummu Athiyah, Ummu Sulaim, Ummu Nusaibah dan ramai lagi. Mereka ini diizinkan keluar dari rumah-rumah mereka semata-mata untuk berperanan di bidang perubatan seperti yang telah disebutkan.

Begitulah para muslimat di zaman Rasulullah, di samping dilengkapi dengan ilmu-ilmu tentang AlQuran dan Assunnah, mereka juga dilengkapi dengan ilmu perubatan.

Didalam kitab AlAsabah telah berkata Hisham Ibn Urwah dari bapanya: "Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih berilmu tentang ilmu fiqh, ilmu perubatan dan ilmu syair daripada Aisyah".

Wahai muslimat-muslimat sekalian, masih adakah yang membelenggu kita dari bergelar doktor? Andai kesibukan yang kita fikirkan, ingatlah bahawa dunia ini begitu sementara. Dunia ini tempat untuk kita mencari kesibukan yang mempunyai nilai di sisi Allah. Kesibukan yang bakal meguntungkan kita di alam akhirat kelak.

Kita masih kekurangan doktor-doktor muslimat di sekeling kita. Cuba pula kita fikirkan nasib muslimat kita yang ditindas di serata dunia seperti di Ambon misalnya. Mereka hanya menemukan syaitan-syaitan durjana di hospital-hospital yang membelah tubuh mereka dengan menggunakan bayonet. Seterusnya mengeluarkan bayi mereka dan diganti dengan kucing-kucing yang telah dibius dan dijahit kembali belahan tersebut. Dapat kalian fikirkan apa yang bakal terjadi di saat kucing-kucing tersebut sedar. Ya, seluruh organ dalaman ibu tadi akan dicarik.

Apa yang saya ceritakan bukan fantasi semata, ia adalah realiti yang telah berlaku. Sesungguhnya mereka amat mendambakan doktor-doktor muslimat untuk membantu mereka. Ayuh berjihad muslimat sekalian. Moga kita bertemu dalam satu saf kelak.

Sunday, September 17, 2006

Allah bersamamu..

Rasa sedih sangat dengan exam MCQ. Mungkin masih terlalu awal untuk saya menyesuaikan kehidupan sebagai pelajar di sini. Cemburu hadir tanpa diundang apabila melihat teman-teman lain yang begitu bersedia dengan segala kelengkapan yang diwarisi dari kakak atau abang mereka. Rasa kerdil bila banyak sekali yang tidak diketahui.

Setelah puas menangis seusai exam, saya pun menghubungi ibu. Kata-katanya memang membekas kat hati ini. "Allah ada untuk Afeera". Puas nangis waktu tu. Entahlah, kata-kata tu dah selalu dengar dari ramai sahabat, tapi bila terucap dari bibir seorang ibu, sukar bagi diri ini mengungkapkannya dengan perkataan. Thanks Allah for giving me such a wonderful mother.

Salam..


Saya pernah menulis blog dengan alamat yang sama sebelum ini. Barangkali tiada asbab yang jelas mengapa saya perlu mendelete blog yang lama. Namun terlalu banyak yang terjadi dalam kehidupan ini yang memerlukan saya untuk menulis. Tangan seolah-olah tidak ingin berdiam dari menulis.

Masih teringat nasihat seorang sahabat dari Indonesia yang mengajak untuk merealisasikan dan memahami sifat sifat teladan dakwah Rosulullah sholallahu 'alaihi wassalam. Tentang fathonah misalnya, kita harus belajar berkarya dan berkontribusi. Tentang tabligh, kita hendaknya belajar berbicara tak berlebihan dan membawa pengertian dalam dakwah. Tentang amanah, kita dituntut untuk memperbaiki diri kita, memperbaiki hari-hari kita. Tentang shidiq,kita belajar pasrah, sabar dalam bersikap lemah lembut dan bijaksana.

Marsum maya dari sahabat ini membuat hati saya terpanggil untuk menulis. Saya bukanlah insan yang terbaik untuk menukilkan segalanya dan pastinya terlalu banyak kesilapan dalam tutur bicara saya. Segala kritikan amat saya alu-alukan. Usahlah menulis kritikan di belakang, tapi sampaikanlah kritikan tersebut terhadap empunya diri. Hikmah adalah harta yang terpendam bagi orang mukmin, sesiapapun yang menemukannya, ia berhak memilikinya.
There was an error in this gadget