Wednesday, March 21, 2018

Cinta...

Pagi itu saya membuat round seperti biasa. Setelah berulang kali selama dua bulan saya menjaganya, buat pertama kali saya menatapnya tidak memakai tudung. Beberapa helai rambut sahaja yang ada kesan dari kemoterapi. Wajahnya tabah. Ada sesuatu yang lebih menyentuh hati saya. Kebersamaan suaminya mengharungi hari-hari sukar menjalani rawatan kemoterapi. Kerjaya suaminya stabil membuatkan dia berupaya mengambil cuti menemani isterinya. Tiada bunga, tiada kad-kad ungkapan cinta tapi setiap tingkahlaku si suami adalah bukti cintanya.

Catatan intake/output dicatat oleh suami. Saat isteri menghadapi komplikasi cirit (neutropenic colitis), suaminya boleh memberikan gambaran penuh najis si isteri. Botol-botol untuk stool ova and cyst, stool feme, stool c&s dihulur suami. Semasa dia ke tandas, suami menemani di penjuru pintu, bimbang apa-apa terjadi pada si isteri.

Pernah berbual dengan suaminya, saya mengungkap taajub dengan ketabahan isterinya. Dia ceritakan hari pertama perkhabaran, dia memberi peluang si isteri menangis sepuas jiwa. Namun hari-hari seterusnya adalah hari-hari untuk bangkit melawan penyakit.

Cinta. Saat rambut yang cantik gugur satu persatu, saat kulit menjadi gelap, saat bulu mata hilang, saat urat-urat darah menjadi corak-corak hitam kesam dari kemoterapi, berapa ramai pasangan yang mampu setia seperti itu?

Pernah sekali saya bertemu dengan seorang pensyarah, mempunyai ketumbuhan besar di leher (huge fungating mass) dengan luka besar yang busuk. Selama setahun dia menghidap penyakit tersebut sebelum diagnosis tepat dibuat. Satu bilik menjadi busuk kerana ketumbuhan itu. Dan si isteri terus tabah duduk di sisi suami. Allah izin kemoterapi membantu ketumbuhan itu mengecut dan beransur pulih. Sejauh mana kita mampu setia seandainya pasangan kita diuji sebegitu?

Di sisi lain, pernah sekali saya melihat seorang wanita jurutera dirujuk ke klinik. Dia mengalami komplikasi pendarahan selama melahirkan, jantung terhenti, CPR beberapa minit dan sesudah itu mengalami HIE (hypoxic ischemic encephalopathy). Perlakuannya seperti anak kecil yang terencat perkembangannya. Air liur meleleh, telatahnya bagai anak kecil. Dan yang membawanya adalah ayah dan abang. Suami hilang entah di mana. Pilu melihatnya. Setelah berperang nyawa melahirkan zuriat, hilang kudrat, dia dipulangkan semula pada keluarga tanpa belas.

Semua pesakit ini terkadang adalah muhasabah dalam kehidupan saya sendiri. Cinta bukan tulisan dan aksi di laman maya. Sakinah, mawaddah dan rahmah tersangat besar pengertiannya. Ungkapan lafaz nikah yang tak sampai dua minit itu adalah mithaqan ghaliza, perjanjian berat antara kita dengan Allah. Tiada siapa di antara kita yang pasti, andai diuji sebegitu, mampukah untuk lulus dalam ujian bahtera perkahwinan.

Yang benar,
Saya yang masih belajar untuk mengerti dan memaknai..

Wanita..

Hati terobek bila membaca perkhabaran di alam maya. Seorang anak dirogol bapanya 600 kali. Apa alasan kita di depan tuhan?

Salah siapa? Salah kita semua.

Kita biarkan iklan-iklan lucah berleluasa. Kita biarkan fb page founder produk-produk tak berguna. Kita biar founder yang menjual kopi pacak memiliki 100000 follower. Kita biarkan orang-orang begini menghina pegawai perubatan yang menulis dengan ilmu.

Saya keluar untuk mencari kedai printer. Ternampak iklan billboard besar di highway. "Tua pun terlajak. Produk terlajak laris." Kebodohan apa yang melanda umat?

Selagi mana kita biarkan kudis tak dirawat, maka nanahlah jawapannya.

Selagi mana wanita dinilai sebagai objek seksual semata, punahlah umat.

Bilamana wanita sendiri mencari nafkah dengan menjual produk-produk dengan iklan lucah, maka kehancuranlah jawapannya.

Selagi mana para wanita, ibu-ibu, anak-anak perempuan tak bangkit melawan dan membanteras semua ini, selagi itulah kita akan binasa.

Selagi mana kita biarkan semuanya terbiasa, membiarkan iman tak lagi berdenyut, tak rasa berdosa melihat semua ini, bukankah kita calon paling layak di neraka?

Wanita perlu dinilai dari sudut ilmunya. Merekalah tangan yang menggoncang dunia. Menjual produk kecantikan, scrub badan tidak menaikkan potensi wanita. Duit bertambah di dalam poket tapi gagasan yang dibawa kecil. Siapa yang akan berjuang untuk ilmu, berkorban untuk umat?

Cantik hanyalah selapis kulit yang membaluti. Tiada yang kekal dengan fizikal. Pada akhirnya kita akan menjadi mayat yang dimakan ulat. Yang kekal adalah amal dan ilmu.

Bilamana seorang doktor wanita yang berbicara dengan ilmunya tidak dipertahankan, ia hanyalah manifestasi pemikiran umat yang sungguh bercelaru. Ilmu atau kelucahan yang menjadi pilihan?

Bilamana tiada isteri yang memboikot suami yang menonton pornografi, terlebih hancur kehidupan untuk anak-anak perempuan kita.

Bilamana tiada lelaki-lelaki yang menginfaqkan wanita yang dikasihi untuk umat, kefasadan berleluasa.

Bilamana lelaki dan wanita berkahwin, pemikirannya hanya seksual semata tanpa cita-cita terbesar membangunkan keluarga, berkecailah institusi keluarga.

Bilamana tiada ulama yang mengeluarkan hukum haram menjual produk dengan iklan-iklan bilik tidur, selagi itu umat ini akan hancur.

Kita menanti ulama yang mencari dan berbincang dengan pegawai perubatan mengenai topik-topik ini dan menegur kepincangan umat. Paling kurang mendidik masyarakat tentang haya' (malu).

Kita bukan binatang yang dilahirkan untuk makan, minum dan seks semata. Kita khalifah yang dilantik di muka bumi ini.

Hari ini kita perlu berperang. Berperang, membunuh dan menghancurlumatkan produk-produk jahanam. Kita perlu membisukan founder produk lucah dengan report page-page sampah ini. Kita perlu mengkafankan segala bentuk kelucahan.

Yang benar,
Seorang anak perempuan
Seorang isteri
Seorang ibu
Seorang pegawai perubatan

Tuesday, March 20, 2018

PJJ..

Selepas habis kursus, keluar seketika dengan anak dan suami. Seusai makan, kami ingin menuju ke tempat parking kereta. Saat turun eskalator, meluahkan perasaan seketika pada suami.

“Sekejap sangat rasa jumpa anak-anak. PJJ ini sakit sangat. Umi akan kira hari nak jumpa. Cuma sebab kerja penat, umi tak fikir banyak”.

“Semalam umi memandu 4 jam. Umi rasa tak sampai-sampai. Perasaan nak jumpa itu ujian betul. Bila jumpa kejap sangat. Esok kursus lagi. Umi balik kursus, kemas barang dan kena pergi lagi”.

Suami pun cakap ayat biasa dia, “Takpelah sedikit sahaja lagi. Buat je lah”.

Baru sahaja habis turun eskalator, nak bayar parking, tiba-tiba ada orang menyapa.

“Hai Dr Ummu!”

Jururawat yang pernah membantu saya rupanya. Masih ingat lagi saat sudah penat oncall, ada pesakit yang memerlukan triple lumen. Jururawat tersebut jugalah yang membantu menyediakan barang, dan sangat efisyen membantu sehingga kerja tersebut menjadi mudah.

“Datang dengan keluarga?”

“Ya, Dr”.

“Dah berkahwin?”

“Suami saya meninggal setahun lepas Dr. Kemalangan masa hantar saya kerja. Saya cedera juga tapi sembuh”.

“Lama berkahwin?”

“Tiga tahun Dr. Tapi tiada rezeki zuriat. Ini yang datang dengan saya ini keluarga arwah suami. Keluarga saya jauh. Syukur diorang jaga saya”.

Tak sampai lima minit dari saat saya mengeluh, dapat tazkirah ‘cash’.

Ada manusia yang diuji dengan sangat berat. Ada yang menanti sebuah pertemuan yang mungkin tiada dalam kehidupan dunia. Betapa suami dan anak-anak ini pinjaman semata-mata. Betapa sebuah hubungan itu menjadi ujian yang tiada perinya.

Begitulah kehidupan. Tiada yang ideal di sini. Hanya ujian. Ada sebuah kehidupan abadi kelak dan di sana kita sangat berharap, tiada lagi perpisahan dan kita dikumpulkan dengan manusia yang kita sayangi.

Moga Allah memberi kekuatan di atas kekuatan buat semua yang diuji.

Ummati...

Pernah sekali di klinik gastroenterologi. Kes baru. Seorang pesakit tiga serangkai. Bukan diabetis, darah tinggi dan tinggi kolestrol. Tapi HIV, hepatitis B dan hepatitis C. Dia dirujuk untuk pemerhatian fungsi hati.

Lelaki muda. Saya tanya bagaimana dia boleh mendapat penyakit tersebut. Dia berterus terang. Melalui hubungan seksual, lelaki dengan lelaki. Setelah beberapa ketika diam, saya tanya lagi. Bagaimana boleh terjebak. Dia ketawa kecil mulanya. Saya berikan beberapa pilihan. Adakah disebabkan pengaruh kawan, pornografi atau pernah melalui sexually abuse? Lama dia berkira-kira. Kemudian dia cerita, sexually abuse.

Saya tak boleh lupakan pesakit ini, apatah lagi ceritanya. Sebagai ibu kepada dua anak lelaki, saban hari saya risau. Membaca perkhabaran berita mutakhir ini membuatkan kerisauan saya tiada penghujungnya.

Cerita pesakit tersebut lagi. Umurnya 6 tahun ketika itu. “Doktor tengok muka saya pun, mesti doktor tahu saya comel masa kanak-kanak”. Ya, dia punya darah campuran. Ibu dan ayah bercerai semasa dia kecil lagi. Ibu sibuk bekerja membanting tulang membesarkan dia dan adik beradiknya yang lain. Satu masa datang ayah saudara sendiri meminta untuk membawanya berjalan. Dibelikan segala mainan, coklat dan jajan. Dia dibawa ke hotel kemudiannya dan diliwat pertama kali. Dia cerita berdarah. Tiada hari dalam hidupnya, dia dapat melupakan peristiwa tersebut. Ibu terlalu sibuk bekerja dan dia tiada peluang memberitahu. Sembuh, berulang kembali. Dia juga keliru. Padanya mungkin itu cara berkasih sayang. Dia mendapat semua mainan dan makanan yang diingini.

Dia membesar dengan kekeliruan. Ketika di sekolah berasrama penuh, berlaku lagi. Dengan cikgu tuisyen pun pernah. Dia kira cara berkasih sayang adalah dengan cara sebegitu.

Ayah saudara sudah meninggal. Dia masih terbayang wajah yang menodainya pertama kali. Si ibu hanya tahu setelah dia menghidap penyakit tiga serangkai tersebut.

Bila sahabat nabi, Anas r.a yang usianya sehingga seratus tahun lebih, yang ada hanya kenangan manisnya bersama Rasulullah SAW. Hayatnya cuma sebentar bersama Rasulullah SAW, namun kenangan itu mengakar sehingga usianya seratus tahun lebih.

Sedang pesakit tersebut, yang ada hanya mimpi ngeri setiap hari. Trauma yang mengerikan. Cerita itu kejutan bagi saya. Saya luahkan kerisauan padanya terhadap dua anak lelaki saya.

“Takpe doktor, mereka ada ayah yang melindungi. Saya membesar tanpa ayah”.

Lama saya muhasabah. Hatta hubungan perkahwinan sendiri. Betapa kita perlu mempertahankannya demi anak-anak. Setiap anak amat memerlukan sosok ibu dan ayah dalam perkembangan mereka. Dan ramai anak-anak di luar sana yang mungkin kehilangan ibu dan ayah juga yang memerlukan tanggungjawab sosial kita untuk berperanan. Ada seribu satu kerja kita. Sedih sungguh dengan berita-berita yang dibaca.