Thursday, January 14, 2016

Usaha lagi..

Ada dua kertas MRCP part 1. Masa yang diperuntukkan untuk setiap kertas adalah 3 jam, 100 soalan. 200 soalan dan jumlah duit yang dibelanjakan hampir RM7000. Duit peperiksaan, tiket, hotel, visa dan kos-kos lain. Duit yang dikumpul dengan susah payah oncall dan lain-lain.

Selepas kertas pertama, saya meladeni rasa. Melihat video dan gambar-gambar anak dan suami.

Ada air mata yang mengalir. Benarkah keputusan saya? Dua orang yang paling banyak berkorban, anak dan suami.

Suamilah yang menyelesaikan semuanya sendirian, memberi ruang untuk saya belajar. Segala urusan anak diuruskan sebaiknya. Terlalu banyak urusan kerja rumah yang turut dibantu.

Terus menangis. Saat keluar dari dewan peperiksaan seusai kertas kedua, saya ingin menangis. Melepaskan semuanya. Lantas anak kecil saya, Fatih datang berlari. Tersenyum.

Fabiayyi ala irabbikuma tukazziban..

Nikmat Tuhan kamu yang manakah yang ingin kamu dustakan.

Saya punya anak kecil yang menjadi penyejuk hati saya dan suami yang baik.

Yang sudi menemankan sepanjang perjalanan yang sukar ini. Melalui hari-hari yang mencabar.

Kami berjalan menyusuri jalan Lanmadaw, Yangon seusai peperiksaan mencari makanan halal. Kami berbual. "Abi, umi rasa peperiksaan susah. Kalau umi gagal lagi, macam mana abi?"

Lantas suami berbicara, "Tiada apa-apa. Cuba lagi. Yang penting dah usaha."

Ya, Allah tahu saya sudah berusaha. Saya mengalami pendarahan ketika hamil. Indeterminate hemorrhage likely threatened miscarriage. Dan dalam keadaan itu, saya cuba membuat latih tubi 3000 soalan, mengulang soalan dan lain-lain. Allah tahu saya sudah berusaha. Dan saya tahu Allah jualah yang mempunyai perancangan yang terbaik untuk kami sekeluarga.

1 comment:

:) said...

bittaufiq wannajah kak :)
walaupun saya tak kenal akak, but somehow i can feel you. makcik saya pun pernah lalui yang sama masa dia nak ambil peperiksaan specialist OnG dan masa tu dia dah pun ada 2 orang anak untuk diuruskan. memang suami dia yang banyak bantu dan bersabar.

semoga akak dapat kemanisan lepas segala kesusahan yang akak alami.

~sesungguhnya selepas kesulitan ada kesenangan