Monday, November 05, 2012

Lemas...

Tarbiah Allah adalah sangat halus. Jujurnya hati begitu menginginkan untuk hadir daurah. Namun Allah tidak mengizinkan kerana kerja. Double shift lagi. Namun ada sesuatu yang Allah ajar semasa kerja semalam.

Seorang pesakit saya adalah pesakit strok. Seharian saya berusaha untuk pesakit tersebut. Dia mengalami sawan selama 4 kali di wad. Kemudiannya tahap kesedaran (Glascow Coma Scale) mula merosot di wad.

Kami perlu memasukkan tiub untuk membantu pernafasannya (intubate). Selepas intubate, lama nak dapat ventilator. Tanpa ventilator yang berfungsi secara automatik memberikan oksigen, saya perlu ambubagging secara manual dengan tangan. Lama ambubagging, lebih dari sejam.

Saat itu bermuhasabah. Apa yang Allah nak ajar aku hari ini? Pesakit itu orang asli. Allah beri peluang berkenalan dengan masyarakat orang asli hari itu, berpeluang mendengar bahasa pertuturan mereka. Hebatnya Allah yang mencipta manusia dengan seribu wajah. Dan hebatnya Dia yang tidak menjadikan rupa sebagai ukuran, namun taqwa. Betapa adilnya Allah!

Setelah memperolehi ventilator, saya perlu mendapatkan CT brain sekali lagi untuk pesakit. Bukan mudah mendapatkan CT scan untuk pesakit, bukan mudah berunding dengan radiologist. Dan Allah mudahkan urusan itu. Kemudiannya menghantar pesakit ke bawah untuk CT brain. Kena ambubagging sepanjang perjalanan. Dan kitalah doktor yang perlu terus ambubagging pesakit sepanjang CT brain, memakai baju khas yang cuma mencegah sedikit sahaja dari sinaran radiologi.

Dan kemudiannya, menanti hasil CT scan. Dan hasilnya, stroknya telah merebak dengan sangat cepat. Saya perlu merujuk kes tersebut ke hospital besar yang mempunyai kepakaran dalam neurosurgeri. Saat itulah Allah menguji dengan sebenarnya.

Berjam-jam saya mencuba, namun doktor di sana tidak memperolehi email tersebut. Dua kawan HO saya yang lain juga cuba membantu, namun masih gagal.

Stress sangat. Sebabnya kita sedang bermain dengan nyawa. Setiap saat yang berlalu adalah nyawa pesakit. Dan GCS pesakit terus merosot. Ya Allah, stressnya.. Setelah lebih 4 jam berusaha dengan bermacam-macam cara, barulah Allah izinkan email itu dihantar. Bukan mudah, berkali-kali berusaha untuk copy paste slide CT brain yang banyak itu.

Saat sedang stress di hadapan komputer, seorang staff nurse yang duduk berdekatan bertanyakan soalan, "Doktor join usrah ye?" Allah.. Kenapa soalan itu perlu ditanya dalam kecelaruan hati dan perasaan. Kenapa soalan itu perlu ditanya saat stress yang mungkin menghilangkan identiti kita sebagai manusia yang ditarbiyah. Argghhh, di situlah tarbiah! Rupanya staff nurse tersebut pernah join usrah, masih berminat cuma tidak dapat memberi komitmen.

Ok, balik kepada pesakit. Menitis air mata saya kerana stress. Sebabnya, saya adalah orang yang diajar mengenai Qadar. Dan baru sahaja bincang dengan mutarabbi beberapa minggu lepas. Bukankah saya perlu meyakini bahawa Allah telah menetapkan semua perkara? Dan bukankah tugas saya adalah berusaha sehabis upaya?

Dan kemudiannya doktor di sana pun respons. Dia telah memperolehi email tersebut. Dan dia mengakui strok pesakit tersebut sangat besar. Dan tiada apa yang dapat dilakukan. Hanya rawatan secara konservatif. Saat dia menelefon saya, suara saya kelihatan sedih bila dia menyebut konservatif dan dia bertanya, "Why you are sad? Is the patient someone close to you? Is she your relative?"

Saya katakan tidak. Dan doktor itu sangat baik. Dia kata, "Nevermind, you already done your best".

Dan malam bila doktor pakar round dan melihat CT brain pesakit itu, dia pun mengatakan hal yang sama. Tidak banyak yang boleh dilakukan untuk pesakit.

Terlalu banyak muhasabah yang saya pelajari semalam.

"Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya." (Surah AlHajj: 22)

Saya ingat lagi seorang ukhti berkongsi tentang ayat ini dalam satu siri ISK. Betapa jihad itu dianalogikan seperti orang yang sedang lemas di lautan. Dan dia masih cuba menginjak-nginjak kakinya agar tidak lemas. Kena berusaha sehabisnya, dan itulah jihad. Cantiknya bidang perubatan kerana itulah yang kita lakukan sehari-hari. Bila kita melakukan CPR pun, kita berusaha sehabisnya.

Dan saya bermuhasabah. Bilakah akan tiba saatnya, saya dapat melakukan hal yang sama dalam dakwah dan tarbiah? Bilakah saatnya hati saya akan 100% pada dakwah dan tarbiah ini?

Saya stress yang amat dengan setiap saat yang berlalu saat saya berusaha menyelamatkan nyawa pesakit tersebut. Bilakah saya akan mengerti dan akan stress dengan umur umat ini? Atau barangkali umur sendiri? Detak jarum saat terus berlalu menyedarkan kita umur yang kian berkurangan.

Dan saya tertanya-tanya pada hati sendiri. Kenapa perasaan saya begitu kuat pada pesakit tersebut? Dia bukan kenalan saya. Orang asli, Kristian lagi. Naluri kemanusiaan barangkali.

Dan saya bermusahabah mengenai hubungan yang lebih besar dari hubungan kemanusiaan iaitu tali hubungan aqidah. Adakah saya masih punya perasaan pada ummah, merasa sakit dengan keparahan mereka? Stress dengan keadaan mereka?

Ya rabb, ampuni kami di saat kami menganaktirikan dakwah ini...

No comments: