Saturday, November 17, 2012

Bukan kebetulan...

Hari ini hembusan tarbiah itu saya rasai lagi saat menziarahi seorang ukhti. Jujur kami tidak mengenali ukhti tersebut sebelum ini, namun dakwah dan tarbiah telah menyatukan kami sebelum pertemuan itu terjadi. Syukur pada Allah yang merezekikan masa untuk menziarahi ukhti tersebut. Sebenarnya kami menerima perkhabaran bahawa akak kepada ukhi tersebut meninggal kerana kanser lewat marsum maya. Dan ukhti ini belajar di luar negara. Ikhwah dan akhawat kita telah mengumpul duit membelikan tiket buat ukhti berkenaan supaya dapat pulang. 

Perjalanannya jauh. Ukhti tersebut tinggal di perdalaman kampung. Dan hujan turun dengan sangat lebatnya menemani perjalanan kami ke sana. Kami ada berfikir untuk pulang memandangkan banjir-banjir kecil yang terpaksa kami harungi sepanjang perjalanan. Namun Allah terus menguatkan hati ini. Di ketika yang lain, kami berhenti di satu tempat bertanyakan alamat pada seorang Cina. Dan pakcik Cina ini sanggup menelefon orang lain untuk membantu kami. 

Kami juga berhenti di beberapa rumah bertanyakan alamat ukhti berkenaan. Dan akhirnya Allah mentakdirkan pertemuan itu. Siapakah ukhti tersebut? 

Akak ukhti tersebut adalah pesakit saya yang saya ceritakan dalam entri 23 tahun. Dunia terlalu kecil. Malah saya mampu menyebut nama akak ukhti tersebut kerana ingatan yang mendalam terhadap akaknya. Pertemuan saya dengan akaknya cuma sekali, namun kami menangis bersama. Akak ukhti tersebut meninggal dalam keberkatan malam Jumaat. Saya merasakan dzuq yang amat saat menziarahi keluarga tersebut. Saya percaya Allah telah membersihkan akak ukhti tersebut sebersihnya.. 

Jadilah solat asar sebentar tadi penuh rona perasaan di dalamnya. Kehangatan tarbiah itu saya rasai, benarlah perjalanan hidup kita bukan kebetulan! 

Allah yang mentakdirkan saya yang tidak menjaga periphery untuk bertemu dengan akaknya. Malah Allah yang mentakdirkan pertemuan hari ini juga. Dalam keluasan bumi Johor ini, saya kira dengan logik akal, pertemuan itu mungkin 0.0000000000001% barangkali. Tapi Allah takdirkan pertemuan itu. Mengapa? Cukuplah untuk kita tahu ada hikmah di sebalik semuanya. 

Bak kata Assyahid Syed Qutb dalam muqaddimah fi zilalil Quran, "Hikmah itu adalah suatu hikmat ghaib yang amat mendalam dan mungkin tidak ternampak kepada pandangan manusia yang singkat".

No comments: