Saturday, October 13, 2012

Bogel...

Jujurnya saya tidak setuju sangat dengan tindakan seorang pakar semasa HO teaching baru-baru ini. Dia mendedahkan kesalahan seorang HO di hadapan begitu ramai doktor-doktor yang lain. Saya benar-benar tidak bersetuju! 

Allah mahu mengajar sesuatu. Seusai hari itu, saya berusrah dengan adik-adik.. Kami mentadabbur Surah Al Haqqah.. Dan saya terpana.. Bicara Syed Qutb mencekik segala rasa hati..

Pada hari itu kamu dihadapkan kepada Allah, tiada satu pun dari rahsia kamu yang tersembunyi". (Surah AlHaqqah: 18)

Pada hari itu segala-galanya terdedah, badan  terdedah, jiwa terdedah, amalan terdedah, dan untung nasib terdedah. Gugurlah segala tabir yang melindungi rahsia-rahsia. Bogellah segala jiwa dan segala jasad, ketaralah segala yang tersembunyi. Setiap orang kehilangan daya tipu helah, kehilangan daya tadbir dan kehilangan perasaan. Terbukalah segala tembelang yang selama ini ditabiri hingga kepada dirinya sendiri. Alangkah malunya kepada khalayak yang ramai. Kepada Allah segala rahsia adalah terbuka kepadaNya di setiap waktu, tetapi mungkin manusia tidak menyedari hakikat ini dengan kesedaran yang sungguh-sungguh kerana tertipu dengan tabir-tabir dunia. Kini barulah dia menyedari dengan sempurna apabila ia terdedah pada hari kiamat. Segala sesuatu jelas di alam buana. Bumi dilebur dan diratakan hingga ia tidak dapat melindungi suatu apa. Langit juga turut pecah terbelah dan hancur hingga tidak dapat melindungi  suatu apa pun. Segala jasad bertelanjang bulat tiada dilindungi seurat benang pun, segala jiwa terbuka tanpa suatu tabir pun dan tidak lagi mengandung apa-apa rahsia. 

Tetapi yang lebih dahsyat dari kehancuran bumi, gunung ganang dan langit ialah berdirinya manusia dengan jasad yang bogel, dengan jiwa dan perasaan yang bogel, dengan sejarah hidup yang bogel dan dengan amalan yang bogel lahir dan batin di hadapan perhimpunan raksasa makhluk Allah dari manusia, jin dan malaikat di bawah naungan kebesaran Allah dan 'Arasy-nya yang terjunjung tinggi di atas segala-galanya. 

Tabiat manusia memang rencam dan canggih. Di dalam jiwanya terdapat berbagai-bagai liku dan lorong sempit tempat dia menyimpan perasaan-perasaan dan keinginan-keinginan, tempat dia menyembunyikan salah silap, angan-angan dan rahsia-rahsianya. Manusia lebih pintar melindungkan dirinya dari binatang siput yang dicucuk dengan jarum, di mana ia pantas menyorokkan kepalanya ke dalam sarungya dan menutupkan dirinya dengan serapat-rapatnya, tetapi manusia akan bertindak lebih pantas dan pintar dari siput itu lagi, apabila ia merasa ada mata sedang melihat, memerhati dan mengetahui sesuatu rahsia yang disembunyikannya selama ini atau apabila ia sedar ada mata sempat melihat suatu lorong atau liku sulit dari dirinya. Dia akan merasa amat pedih dan cemas apabila ia sedar ada orang mengetahui hal dirinya ketika ia berada di dalam keadaan-keadaan persendirian dengan perasaannya. 

Tetapi apakah yang dapat dibuat oleh manusia pada hari kiamat kelak apabila tubuh badan, fikiran, perasaan, niat dan hatinya terdedah belaka dari segala suatu yang dapat melindunginya. Bagaimana ia dapat menyembunyikan dirinya di bawah 'Arasy Allah yang Maha Kuasa di hadapan perhimpunan raksasa yang tidak bertabir itu. 

Ini adalah satu keadaan yang lebih dahsyat dan lebih pahit dari segala-galanya.

Seorang adik bertanya, "Kak, mungkin ke semua orang rasa tidak malu sebab semuanya berdepan dengan nasib yang sama?"

Mana mungkin tidak malu.. Kita pasti malu, PASTI dengan seseorang yang begitu kita hormati barangkali... Allahu A'lam...

1 comment:

along said...

malu itu kan sebahagian dpd iman..^^

There was an error in this gadget