Saturday, October 13, 2012

Inspirasi..

Saya bertemu dengan tiga orang yang memberi saya inspirasi selama beberapa hari ini..

Pertamanya, ukhti H dari UTM. Bertemunya semalam di majlis thaqafah IPT. Dia menghidap albino. Sangat indah pertemuan dengannya. Matanya nystagmus. Bergerak-gerak. Berbual dengannya, saya tidak dapat mengadakan eye contact. Indah pertemuan dengannya kerana saya mengkagumi hidayah Allah. Dia telah memilih ukhti tersebut untuk berada di jalan ini. Teringat akak pengawal keselamatan di flat rumah sewa saya dulu. Dia juga menghidap albino, berkahwin dengan abang pengawal keselamatan yang sangat menyayanginya dan bayi mereka sangat comel.. Indah kan aturan Allah? Indah hidayahNya juga..

Keduanya pertemuan dengan seorang adik student nurse lelaki. Saya mengkaguminya.. Saat kami sedang sibuk beramai-ramai membuat CPR, ambubagging seorang pakcik yang nazak, menyediakan adrenalin, adik ini datang. Dia duduk berteleku di sisi pakcik tersebut dan mengajarkan syahadah tanpa peduli setiap mata yang memandangnya.. Masya Allah! Setelah pakcik itu diumumkan meninggal dunia, saya pergi ke satu sudut dan menangis. Adik tersebut telah membuatkan saya tertampar-tampar. Konon-kononnya berada dalam dakwah dan tarbiah, namun belum benar-benar menjadi DR (Daie Rabbani). Allahh.. Sangat kagum dengan pakcik yang meninggal itu juga.. Siapa dia? Apa yang telah dia lakukan sehinggakan Allah menghantarkan seseorang untuk mengajarnya syahadah di saat akhir kehidupannya? 

Dan pertemuan ketiga yang memberi saya inspirasi adalah pertemuan dengan Dr Lee. Setahun lebih saya membuat housemanship, namun jarang terinspirasi dengan mana-mana doktor malah mungkin tidak menyenangi profesyen ini disebabkan sikap manusia yang menghiasi dunia perubatan ini. Namun Dr Lee yang berumur 46 tahun itu mengajar saya banyak perkara. Betapa saya mengharap dia adalah Muslim.. Sangat memahami dunia houseman dan memberi qudwah yang sangat menyentuh hati.. Antara pesannya, dia mengatakan bahawa kita yang berada dalam bidang perubatan ini mungkin sahaja sudah kehilangan sensitiviti.. Kita yang dulunya semasa kecil menangis saat melihat setitis dua darah, kini tidak peduli dengan darah.. Brannula pesakit tercabut dipandang enteng.. Apabila pesakit memberitahu sakit, kita tidak peduli.. Apabila pesakit mati, hati sudah tidak berdenyut... Berada dalam profesyen ini, kita kehilangan hati kita... Betapa benar kata-katanya..

Manusia, betapa mereka adalah subjek terindah untuk dipelajari..

No comments: