Terkadang hati ingin berlari laju, tetapi hari-hari di hospital ternyata sulit. Kadang tertanya-tanya, adakah tersalah memilih langkah kehidupan? Perlukah mengubah laluan setelah melalui bidang ini bertahun-tahun. Setelah lima tahun belajar, setahun bekerja, masih menaksir adakah ia yang terbaik. Syukur punya dakwah dan tarbiah untuk mengubat sebahagian kesakitan itu, namun adakalanya terasa sakit yang amat.
Hikmah adalah milik Allah. Pasti ada baiknya Allah menetapkan saya di sini.
Saya juga belajar dari adik lelaki saya, Zaid. Belajar bidang bio-perubatan di UM beberapa bulan, dan ternyata tidak sesuai buat dirinya. Akhirnya memilih untuk membuat Islamic Finance di IPTS. Di situ dia menemui minatnya. Dan dia bahagia dengan pilihannya.
Adakah saya perlu melakukan hal itu supaya tidak terus-terusan berdarah? Saya tahu saya boleh pergi jauh di tempat lain. Namun saya tahu, saya perlu terus bertahan. Saat saya membuat keputusan, saya telah membuatnya kerana dakwah dan tarbiah. Dan saya juga perlu bertahan kerana dakwah dan tarbiah walau mungkin bidang ini telah merampas hal itu juga dari saya.
Jujur saya malu juga dengan seorang MO saya yang merupakan sahabat seusrah saya sendiri. Menjadi doktor, kita tidak dibenarkan untuk membuat hatta satu kesalahan pun. Kesalahan yang kecil juga akan dijaja. Kesian dia yang mungkin terpaksa menadah telinga tentang sahabat usrahnya..
9 Huruf? Pakcik kata huruf-huruf itu adalah M-U-J-A-H-A-D-A-H. Saya masih bermujahadah.
Hakikatnya tiada siapa pun yang akan terus melangkah tanpa MUJAHADAH. Masa tidak pernah cukup. Bahagia mungkin jauh. Namun apa yang membuatkan kita terusan melangkah? MUJAHADAH. Jujurnya usah menanti hal masa di masa mendatang, kerana kita pasti bertambah sibuk. Tanggungjawab yang ada akan terus bertambah. Dan andai mahu menunggu lapang, ketahuilah ketika itu fizikal kita pula telah melemah.
Kata Assyahid Syed Qutb, “Iman yang sebenar tidak akan mantap di hati kecuali setelah hati ini bermujahadah melawan manusia kerana secara tidak langsung ia sebenarnya telah bermujahadah melawan dirinya sendiri. Mereka selama-lamanya tidak akan memahami fenomena alam ini jika masih memerap diri, duduk dalam keadaan aman dan selesa. Sebaliknya dengan iman, mereka akan dapat memahami fenomena alam ini. Mereka juga tidak akan dapat memahami dengan jelas segala realiti manusia dan realiti kehidupan ini melainkan setelah mereka melalui proses ini. Jiwanya, emosinya, fikirannya, adatnya, nalurinya dan reaksinya tidak akan dapat merasai apa yang dirasainya kecuali apabila mereka melalui pengalaman yang sukar dan perit ini”.
Dahsyat bukan kata-kata itu? Iman adalah keyakinan. Kita tidak akan yakin betul-betul seandainya kita tidak bermujahadah. Iman tidak akan mantap tanpa mujahadah. Kita dapat iman ini mudah bukan? Ada orang suap. Iman kita longgar sebab tiada mujahadah. Samalah keadaannya iman ini seperti memegang dompet. Kalau kita rasa tempat itu selamat, kita pun mesti pegang biasa-biasa sahaja. Tapi kalau kita tahu tempat itu banyak peragut, kita mesti pegang dompet itu kuat-kuat kan? Begitulah iman. Kena mujahadah.
Cuba tengok sahabat nabi dapat iman macam mana. Tengok Bilal dapat iman macam mana. Tengok Sumayyah pula. Mereka dapat iman itu dengan kesusahan. Sebab itulah jalan ini susah. Kita kena lawan nafsu kita dalam mendapatkan iman itu.
Apa maksud mujahadah? Ramai sahaja yang menggunakan istilah mujahadah ini. Ada yang guna masa exam. Ada yang kata mujahadah melawan hawa nafsu.
Maksud Assyahid Syed Qutb, mujahadah adalah dengan bencikan kebatilan dan mujahadah memindahkan manusia dari alam batil kepada kebenaran. Itulah cara dan manhaj Rasulullah SAW. Baginda mengajar para sahabatnya membenci Jahiliah dengan sebenarnya dan selepas itu membawa manusia pula. Usaha begitulah yang dipanggil mujahadah.
Kesabaran atas mehnah menjadikan seseorang itu tetap teguh tetap dan terus mara. Kalau kita tidak buat dakwah ini, kita tidak rasa iman. Kalau kita buat dakwah ini di saat sukar, dan datang pertolongan Allah, masa itulah kita yakin dengan jalan yang kita pilih ini. Saat itulah iman kita bertambah-tambah.
Dan itulah yang sahabat-sahabat rasakan. Menjaga iman di hari-hari sulit ternyata mudah. Iman mereka sangat kuat saat di Mekah. Iman ketika kesulitan merajai tenyata menyala-nyala. Keakraban dengan Allah dapat mereka rasai ketika hati mereka berdarah. Dan Allah menghadiahi mereka dengan hijrah.
Dan ternyata bahagia mungkin sahaja melalaikan kita. Di situlah sahabat-sahabat diuji. Di Madinah, mereka bebas. Mereka boleh berterbangan dengan bahagia seperti burung kerana tiada siapa yang menghalangi. Di sana mereka boleh berniaga, boleh berkahwin, boleh melakukan apa sahaja. Mereka bebas sehingga tidak mahu menjadi insan yang bergelumang dengan dakwah dan tarbiah ini juga mungkin berlaku.
Lantas semua itu menjadi asbah turunnya ayat 16 Surah AlHadid dan jujusan ayat-ayat seterusnya yang mengingatkan mereka.
No comments:
Post a Comment