Saya rindu untuk menulis. Namun seringkali saya mengelak dari menulis. Sering hati berbisik, "Afeera, ada kerja lain yang lebih aula". Adakalanya letih sekali. Semalam dalam setiap rakaat terawikh, saya mengadu pada Allah keletihan itu. Saya tahu hanya Allah yang memahami saya sedalamnya.
Dan imam membaca ayat yang menggentarkan hati saya. Imam mengulang-ulangnya.
"Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan. "(Surah AlAnfaal: 24)
Menitis air mata saya. Dalam kepenatan itu ada sebuah kehidupan. Dan Allah lebih mengetahui segalanya...
Saat saya membantu dan mencuba melakukan prosedur umbilical artery/ vein catheterisation (UAC/UVC), saya bermuhasabah sedalamnya.
Semasa saya di wad O&G dulu, saat menyambut bayi-bayi yang lahir, memotong tali pusat bayi-bayi itu, fikiran mengenai tali pusat itu terjentik di hati. Namun ia berlalu pergi. Kenapa tali pusat tersebut tidak tertanggal sendirinya semasa bayi lahir? Kenapa perlu terjuntai sebegitu untuk seminggu dua?
Semasa berdepan dengan bayi-bayi di unit NICU, fikiran itu juga hadir semasa melihat tali pusat yang sudah kering. Dan Allah memberikan jawapannya semasa saya berkenalan dan melakukan prosedur umbilical artery/ vein catheterisation.
Masya Allah, andai ada bayi-bayi ini lahir dan mereka dalam keadaan kritikal, selepas melakukan resuscitation, prosedur seterusnya adalah UAC/UVC. UAC/UVC ini dilakukan untuk mendapatkan line bagi mendapatkan darah, memberi ubat untuk bayi-bayi ini sebabnya sangat susah untuk mendapat line lain. Kiranya seorang doktor akan masukkan tiub yang halus ke dalam tali pusat tersebut untuk mendapatkan line dan line ini mampu bertahan selama seminggu. Sangat hebat! Saat melihat darah mengalir keluar, terasa dzuq di hati. Betapa Allah itu begitu menyayagi setiap khalifah Allah yang lahir. Betapa berharganya nilai nyawa di sisi Allah sehinggakan Allah menjadikan umbilicus artery/vein yang masih boleh digunakan selepas dilahirkan. Dan artery lebih kecil berbanding vein, sangat susah mahu melakukan umbilical artery catheterisation berbanding umbilicus vein catheterisation tetapi hebatnya Allah, dia ciptakan dua umbilical artery. Kalau houseman macam saya tidak dapat line dari satu artery, boleh panggil MO (medical officer) untuk mencuba satu lagi artery. Hebat kan? Subhanallah.
Saat itu saya rasakan penciptaan saya seluruhnya adalah berharga di sisi Allah. Saya yakin Allah menyayangi setiap khalifah Allah yang lahir sehingga terakamlah ayat “..Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya..” (AlMaidah :32)
Jujur bergetar hati saya saat membaca ayat-ayat Allah.
"Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu - (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya; Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu." (Surah AlInfitar : 6-8)
Percayalah, Allah terlalu dekat!
1 comment:
Salam puan, ingin berkongsi sesuatu dan bertanyakan pendapat. Sesetengah masyarakat cina mengamalkan delay cord clamping. Saya pernah terbaca,ada yg biarkan uri itu sehingga kering dgn sendiri,ambil masa rasanya tu. Katanya bnyk kebaikan yg ada dlm uri, kenapa perlu kelam kabut clamp. Apa pendapat puan, lebih2 agi dari sudut Islam..terima kasih.
Post a Comment