Wednesday, February 29, 2012

Incubator...

Terlalu banyak ion negatif di hospital. Cuti sememangnya nikmat yang sangat berharga untuk mengecas semula ion-ion positif. Jujur dunia di hospital adalah dunia yang terlalu gelap untuk ditaksirkan. Namun saya harus terus melangkah, menghabiskan sisa-sisa perjalanan yang telah dimulakan. Lupakan sebentar, biarkan hati mentadabbur sesuatu.

Baru-baru ini, saya menjaga HDU (high dependency unit), unit kritikal bagi kes-kes obstetrik dan ginekologi. Saya bertemu dengan seorang ibu yang mempunyai masalah darah tinggi semasa mengandung dan kandungannya terjejas (intrauterine growth restriction). Dan bila-bila masa incubator telah ada, dia perlu dibedah (caesarean section) segera.
incubator
Dan saya kagum mendengar kata-kata seorang jururawat. Katanya, "Sebenarnya incubator yang terbaik adalah kantung rahim seorang ibu". Masya Allah! Terlalu banyak kelahiran normal dibandingkan dengan kes-kes yang bermasalah. Dan dengan izin Allah, kebanyakan ibu telah menyediakan 'incubator' yang terbaik buat anaknya selama 38-40 minggu (~280 hari). Tidak silap saya, harga sehari incubator untuk bayi-bayi pra matang atau bayi yang mempunyai komplikasi di hospital swasta adalah RM1000+.

Kalaulah kita perlu membayar harga pengorbanan seorang ibu, kita tidak akan mampu membayarnya. Duit kita terlalu kecil sekiranya hendak dibandingkan dengan pengorbanan mereka. Belum lagi masalah-masalah yang kita timbulkan semasa proses mengandung tersebut. Hyperemesis gravidarum (muntah-muntah semasa mengandung), gestatitional diabetis mellitus (kencing manis semasa mengandung) dan jutaan masalah lainnya.

Dan saya sendiri misalnya masih menimbulkan masalah buat ibu hatta pada usia sebegini. Jujur dialah kawan akrab, sahabat, ibu dan teman yang menemani perjalanan kehidupan saya. Dia bersama dalam setiap titik hitam dan putih kehidupan saya. Adakalanya saya pulang dari kerja dalam keadaan penat, dia menyuapkan saya dan mengurut bahu saya. Sayunya..

Dan setiap masa dan ketika, kita sebenarnya memang perlu mengucapkan tahmid, ribuan kesyukuran pada Allah di atas setiap nikmatnya buat kita. Dia yang mencipta 'incubator' yang sangat canggih tersebut dan menanamkan rasa cinta dalam diri setiap ibu sehingga mereka sanggup memikul segala kesukaran buat kita. Ayuh berdoa pada Allah, moga Dia mengurniakan syurgaNya yang tertinggi buat kedua ibu bapa kita. Ayuh berdoa agar Allah menyatukan kita di JannahNya kelak.

2 comments:

Anonymous said...

nk share =)

Anonymous said...

Blog anda menggerakkan hati saya mengamalkan bacaan al quran beserta tafsirnya setiap hari.insyaallah. Tapi malangnya,anda sgt mudah merungut n sntiasa meletakkan hospital itu negatif. Negatif atau positif sebenarnya lahir dri dlam diri anda. Jadi mengapa anda membiarkan dunia luaran mempengaruhi dunia dalaman anda?atau dunia dalaman anda sendiri negatif?tuhan saja yang tahu.sekadar berkongsi.semoga allah memberkati