Wednesday, February 29, 2012

Incubator...

Terlalu banyak ion negatif di hospital. Cuti sememangnya nikmat yang sangat berharga untuk mengecas semula ion-ion positif. Jujur dunia di hospital adalah dunia yang terlalu gelap untuk ditaksirkan. Namun saya harus terus melangkah, menghabiskan sisa-sisa perjalanan yang telah dimulakan. Lupakan sebentar, biarkan hati mentadabbur sesuatu.

Baru-baru ini, saya menjaga HDU (high dependency unit), unit kritikal bagi kes-kes obstetrik dan ginekologi. Saya bertemu dengan seorang ibu yang mempunyai masalah darah tinggi semasa mengandung dan kandungannya terjejas (intrauterine growth restriction). Dan bila-bila masa incubator telah ada, dia perlu dibedah (caesarean section) segera.
incubator
Dan saya kagum mendengar kata-kata seorang jururawat. Katanya, "Sebenarnya incubator yang terbaik adalah kantung rahim seorang ibu". Masya Allah! Terlalu banyak kelahiran normal dibandingkan dengan kes-kes yang bermasalah. Dan dengan izin Allah, kebanyakan ibu telah menyediakan 'incubator' yang terbaik buat anaknya selama 38-40 minggu (~280 hari). Tidak silap saya, harga sehari incubator untuk bayi-bayi pra matang atau bayi yang mempunyai komplikasi di hospital swasta adalah RM1000+.

Kalaulah kita perlu membayar harga pengorbanan seorang ibu, kita tidak akan mampu membayarnya. Duit kita terlalu kecil sekiranya hendak dibandingkan dengan pengorbanan mereka. Belum lagi masalah-masalah yang kita timbulkan semasa proses mengandung tersebut. Hyperemesis gravidarum (muntah-muntah semasa mengandung), gestatitional diabetis mellitus (kencing manis semasa mengandung) dan jutaan masalah lainnya.

Dan saya sendiri misalnya masih menimbulkan masalah buat ibu hatta pada usia sebegini. Jujur dialah kawan akrab, sahabat, ibu dan teman yang menemani perjalanan kehidupan saya. Dia bersama dalam setiap titik hitam dan putih kehidupan saya. Adakalanya saya pulang dari kerja dalam keadaan penat, dia menyuapkan saya dan mengurut bahu saya. Sayunya..

Dan setiap masa dan ketika, kita sebenarnya memang perlu mengucapkan tahmid, ribuan kesyukuran pada Allah di atas setiap nikmatnya buat kita. Dia yang mencipta 'incubator' yang sangat canggih tersebut dan menanamkan rasa cinta dalam diri setiap ibu sehingga mereka sanggup memikul segala kesukaran buat kita. Ayuh berdoa pada Allah, moga Dia mengurniakan syurgaNya yang tertinggi buat kedua ibu bapa kita. Ayuh berdoa agar Allah menyatukan kita di JannahNya kelak.

Tuesday, February 21, 2012

Pemuda!

Betapa bermakna seorang pemuda di sisi Allah. Aku menelusuri tulisan Amru Khalid berkenaan pemuda Kahfi. Sekali lagi Allah memberi tadabbur yang mendalam berkenaan dengan pemuda Kahfi.

Menurut Amru Khalid, Allah begitu memperhatikan pemuda. Bahkan Allah berkenan mengubah hukum alam hanya untuk kepentingan enam atau tujuh orang pemuda. Bayangkan, Allah bercerita tentang Ashabul Kahfi dalam firmanNya:

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (Surah Kahfi: 13)


Lihat, Allah berkenan mengubah sunnahNya demi keselamatan para pemuda Ashabul Kahfi yang berumur sekitar 16 hingga 17 tahun. Allah SWT berfirman:

Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya. (Surah Kahfi: 17)


Maksudnya, Allah melindungi mereka dari matahari. Ketika terbit, matahari akan condong ke kanan gua, dan ketika terbenam, matahari akan condong ke kiri gua. Sehingga tubuh mereka yang berada di dalam gua tidak terkena panas yang merosakkan, lebih-lebih lagi kerana mereka berada di dalam gua untuk jangka masa yang lama. Semua ini menunjukkan tanda kebesaran dan kekuasaan Allah.

Masya Allah! Tidak dapat aku bayangkan sunnah alam, sang matahari yang perkasa itu juga ditundukkan buat para pemuda yang beriman! Lantas bangkitlah wahai pemuda!

Buat adik-adikku yang muda belia, terlalu ramai yang mengatakan bahawa kalian cuma si kecil yang meniti alam persekolahan. Namun aku percaya bahawa kalian terlalu berharga di sisiNya...


Dimana dicari pemuda Kahfi
Terasing demi kebenaran hakiki
Dimana jiwa pasukan Badar berani
Menoreh nama mulia perkasa abadi

Umat melolong di gelap kelam
Tiada pelita penyinar terang
Penunjuk jalan kini membungkam
Lalu kapankah fajar kan datang

Mengapa kau patahkan pedangmu
hingga musuh mamapu membobol betengmu
Menjarah menindas dan menyiksa
Dan kita hanya diam sekedar terpana

Bangkitkan negri lahirkan generasi
Pemuda harapan tumbangkan kedzaliman

Wajah duia Islam kini memburam
Cerahkan dengan darahmu
Panji Islam telah lama terkulai
Menanti bangkit kepalmu

Sunday, February 12, 2012

Atharahum..

Setiap hari saya mendengar umpatan orang semasa saya di posting O&G ini. Barangkali saya belum cukup berdoa pada Allah untuk tidak mendengar umpatan manusia. Namun mungkin juga kerana manusia yang 'menghiasi' posting ini terlalu bermasalah sehingga semua orang terlalu mudah menggunakan lidah yang tidak bertulang untuk terus mengumpat.

"Patut bersyukur Dr X sudah tiada lagi di sini. Kalau dia ada,jeritan dia satu wad dengar. Dia akan baling fail."

"Dr Y itu memang begitu. Kaki marah. Bengkeng!"

Dan macam-macam lagi. Hatta semasa saya di dewan pembedahan pun, akan ada yang mengingatkan tentang doktor-doktor MO O&G.

Saya pernah membantu seorang doktor di dewan pembedahan. Dia adalah doktor MO yang menerangi posting ini. Dia tidak diwarnai oleh kegelapan di sekelilingnya. Dan pembedahan caesarean section berjalan dengan sangat mudah. Masya Allah! Setelah 3 minggu, saya kira bersama MO tersebut adalah barakah. Tidak perlu bersusah payah menekan untuk fundal pressure. Bayi tersebut keluar dengan sangat mudah. Masya Allah! Sungguh Allah memberkatinya..

Kata seorang teman yang pernah melalui posting ini, doktor MO tersebut adalah bidadari. Akhlaknya terlalu memukau. Dia pernah bersalin di hospital ini. Dia adalah seorang doktor yang tidak kisah andai kandungannya disambut oleh jururawat masyarakat sedang kebanyakan doktor mahukan doktor pakar untuk menyambut kelahiran anak mereka. Malah proses kelahiran anaknya begitu mudah. Dia mengingatkan pengalaman saya membantu seorang doktor pakar menyambut kelahiran seorang doktor MO. Setelah doktor pakar tersebut menjahit episiotomy, saya yang membersihkan doktor MO tersebut. Namun dia tidak mengucapkan hatta ucapan terima kasih. Sememangnya menjadi seorang house officer (HO) kita dilayan sebagai 'hamba orang' (HO).

Doktor MO yang sangat baik itu juga sering mengingatkan saya betapa tidak sempurnanya saya sebagai perempuan. Kata teman, dia begitu baik sehingga melihatnya menjadi tekanan buat sesiapa yang melihatnya kerana merasakan betapa kerdilnya diri di hadapannya.

Wajahnya begitu mempersona. Seringkali saat saya melihatnya, saya merasakan alangkah indahnya andai dia bersama tarbiah. Seringkali juga berfikir, mengapa aku yang ditarbiah tidak mampu memiliki akhlak sebaiknya. Bagaimana dia mampu bertahan dan tidak diwarnai oleh rencam kegelapan yang sangat pekat ini?

Apa hikmah yang boleh saya ambil dari peritiwa di jabatan ini?

Dia mengingatkan saya mengenai satu ayat Allah.
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata. (36:12)



Ya, Allah mengatakan bahawa Dia mencatat atharahum yang bermakna jejak-jejak yang kita tinggalkan. Adakah saya telah meninggalkan jejak dalam diri manusia-manusia yang saya temui. Hatta ketika bersama ahli keluarga juga saya belum sempurna. Adakah saya telah meninggalkan athar yang baik di setiap tempat yang saya tapaki. Seringkali hati saya pedih dengan kehidupan di hospital. Sukar mahu mencari hatta seorang manusia untuk ditarbiah kerana kepadatan masa yang ada. Habis sahaja shift, semua akan pulang. Manusia terlalu sibuk. Saya terkesan dengan artikel ini yang menceritakan di mana kita andai kita tidak ditarbiah.

Saya akan menjadi seorang yang workaholic. Datang awal dan balik lewat malam sebab nak kipas punggung Puan Bos Besar juga nak naik pangkat cepat. Yalah, tiada bulatan gembira yang perlu dibawa, juga tiada bulatan gembira sendiri. Nak buat apa lagi, ye tak..? Juga akan sangat sibuk berlumba-lumba untuk mengejar dunia. Siapa yang paling berjaya antara rakan-rakan lama, baru syok nak tunjuk muka. Kereta siapa yang paling canggih, pakaian siapa yang paling kelas dan siapa yang sudah beli rumah dahulu. Barulah bergaya!


Ya rabb, terima kasih kerana mengizinkan diri ini untuk merasai manisnya tarbiah.. Izinkan hati ini untuk menyirami hati-hati manusia lain dengan siraman tarbiah. Perbaikilah akhlaqku di hospital kerana sungguh aku tidak berdaya melalui kegelapan ini berseorangan..

Thursday, February 02, 2012

Kuat...

7 hari yang lalu serasanya mimpi ngeri yang menakutkan. Ya rabbi, mudahkanlah perjalanan ini..

Tagging di posting obstetrik dan ginekologi begitu menguji kesabaran saya. 17 jam sehari selama 7 hari saya bekerja. Saya kira andai Allah mengurniakan saya masa, saya mampu menulis sebuah buku untuk menceritakan segalanya. Ditengking, diherdik, diugut dan diperli seakan rutin biasa di sini.

Dulu semasa saya belajar, saya tertanya-tanya. Kenapa pensyarah-pensyarah saya perlu menubuhkan hospital dan universiti? Bukankah dengan pangkat mereka di hospital, di IPT-IPT sudah cukup tinggi untuk menarik manusia ke jalan Allah? Saat saya bekerja, saya menemukan jawapannya. Terlalu sukar mengubah sistem yang diasaskan oleh manusia-manusia dangkal ini.

Semasa hari keenam saya tagging, saya baru menyelesaikan satu kelahiran dan menjahit episiotomy. Selesai sahaja, saya terus bergegas menghadiri kelas untuk pegawai perubatan siswazah (house officer teaching). Sangat penat hari itu. Kelas pula pada pukul 4 petang. Sedang menulis segala yang diajarkan, saya terlelap. Dalam 3 saat sahaja.

"Hey girl! Go and wash your face. If not, i wash you out from this room!". Ya, consultant tersebut menjerit sebegitu di hadapan semua orang. Allah...

Saya pernah membantu seorang pakar yang sangat baik untuk dua proses kelahiran. Saya belajar banyak perkara. Hatta setelah kepala bayi keluar, doktor pakar tersebut masih meminta untuk guard perineum dengan pad. Saat saya membantu staff nurse dan melakukan seperti itu, pad tersebut dicampak dan saya ditengking.

Saya diajar semasa di permukiman ilmu dulu, semasa masukkan tiub air kencing (CBD), perlu letakkan gel yang banyak agar pesakit tidak sakit. Gel tersebut berfungsi sebagai lubrication. Kalau boleh letakkan lignocaine (gel bius). Tetapi semasa saya melakukannya kepada pesakit, saya ditengking lagi oleh staff nurse.

Pernah sekali selepas saya menjahit episiotomy, datang seorang staff nurse dengan kasarnya rub semua suture site tersebut sehingga jahitan terbuka. Dan kemudian memalukan saya di hadapan pesakit bahawa saya tidak pandai suturing. Dan kemudian dia keluar dan memberitahu semua orang bahawa saya tidak pandai suturing. Malu yang amat serasanya di hadapan pesakit.

Seorang lagi staff nurse, meskipun saya bertanya dengan bahasa yang paling lembut untuk belajar conduct delivery darinya, terus menjerit - "Tidak boleh!".

Medical officer juga serasanya mengerikan. Jujur saya rasakan tempat kerja saya seakan neraka ciptaan. Adakalanya hati seakan ingin berhenti. Tapi saya tahu 'penyiksaan' ini adalah pahala. Saya tahu niat awal saya semasa mula-mula mengambil bidang ini adalah kerana dakwah dan tarbiah. Cita-cita saya sangat tinggi. Ini medan tarbiyah saya. Satu masa nanti, jalan dakwah ini akan dihampar dengan seribu satu onak duri lagi. Lantas semua ini perlu diambil sebagai tarbiah.

Sangat sedih juga saat melihat adik-adik student nurse yang juga tidak menghormati saya. Pernah saya sedang memeriksa seorang bayi yang hypoglycemia, adik student nurse tersebut dengan tidak hormatnya -"Cepatlah doktor!" Malah adik tersebut tidak menghormati pesakit. Sangat sedih. Kalau semasa bergelar pelajar sahaja sudah sebegini sikapnya, saya tidak dapat membayangkan diri mereka semasa menjadi staff nurse kelak.

Saya membeli handphone dengan kelengkapan 3G. Semuanya untuk membantu saya mengikuti perkembangan di luar. Alhamdulillah, kawan-kawan saya di dalam lingkungan Facebook juga kebanyakannya mengikuti tarbiah. Lantas status mereka seakan satu peringatan buat saya. Saya menangis begitu lama kerana tidak dapat mengikuti ceramah Syeikh Mahmoud Ezzat dan ceramah Sheikh Jum'ah Amin. Syukur jemaah ada videonya. Sangat sedih kerana masa begitu tidak terurus. Buka mata terus fikirkan hal kerja.







Doakan agar Allah memudahkan perjalanan ini. Doakan agar hati dan roh saya mencintai dakwah dan tarbiah ini dengan sepenuh hati. Doakan agar saya dapat mengurusi masa saya sebaiknya.

Membaca komen seorang ukhti di Facebook.

"Awesomeness talk by dr mahmoud ezzat! Alhamdulillah! Nak jadi macam dia : pensyarah perubatan dan dalam masa sama jadi naib mursyid İM. Org ikhwan ni super duper power dunia, akhirat pun power! Kitaaaa??? Haishhh".

Membaca juga mengenai parlimen di Mesir.

Tahukah Anda bahwa Majlis Rakyat (parlimen) Mesir sekarang ini ada di dalamnya!!!
- Lebih dari 140 orang ahlinya yang hafiz al-Quran.
- Lebih dari 100 orang ahlinya yang hafal lebih 10,000 hadith
- Lebih dari 180 orang ahlinya yang hafal lebih daripada setengah al-Quran.
- Lebih dari 170 orang ahlinya yang memiliki PhD dalam pelbagai bidang kepakaran.
- Lebih dari 50 orang ahli Parlimen tidak memiliki kereta.
- Lebih dari 350 orang ahli Parlimen pernah dipenjarakan bagi tempoh antara 6 bulan sehingga 9 atau 10 tahun.
"

Kuatkan hati!