Thursday, January 05, 2012

Robot...

Jujurnya terlalu banyak perkara yang ingin saya nukilkan dalam kanvas maya ini. Kepenatan dan kesihatan yang tidak mengizinkan membuat saya meninggalkan dunia maya ini. Terkadang saya rasakan kehidupan seorang doktor itu benar-benar robot. Segala tenaganya diperah, kemudian diberi rehat dan seterusnya mengulang hari yang sama keesokan harinya. Tidak pernah sekali pun saya bekerja kerana duit. Duit juga tidak pernah mampu memujuk diri yang kelesuan. Dan terkadang saya kira saya tidak akan mampu menyudahkan kerja-kerja saya, tidak akan mampu beramal dengan penuh ihsan. Sekiranya semua itu mahu saya lakukan, maka saya perlu tinggal terus 24 jam di hospital.

Suatu ketika dulu, saya pernah merasai kekosongan. Hati saya bercelaru mencari tujuan kehidupan. Lantas Allah menunjukkan jalanNya buat saya semasa di matrikulasi dulu, dan seterusnya Allah terus membimbing saya di alam IPT. Saya temukan tujuan hidup saya. Saya menangis pilu begitu lama, teresak-esak saat menonton video ini dulu kerana terasa sayalah robot yang dimaksudkan dalam video ini.

Dan kini serasanya saya begitu penat, terasa saya memberi saki baki sahaja kehidupan saya pada dakwah. Saya takut saya hilang dari jalan ini. Saya takut saya cuma 'penumpang' sahaja dalam gerabak dakwah ini.

Sangat kagum mendengar kerja-kerja ikhwah dan akhawat dalam memburu pahala amal. Terkadang terasa, layakkah saya untuk syurga Allah saat dibandingkan dengan amal ikhwah dan akhawat lain?

Dengan ketidakmampuan saya, saya cuma mampu beramal dalam medan di sekolah. Kata akak, kita cuma membantu sekolah. Sekiranya tenaga kita boleh digunakan untuk IPT, sewajarnya kita fokus pada IPT.

Jujurnya bimbang untuk mengambil dan membina adik-adik yang lain. Membina manusia memerlukan kita menjaga begitu banyak hak-hak mereka. Saya bimbang saya tidak akan mampu menjaga hak-hak mereka. Ya rabb, mudahkanlah... tunjukilah hambaMu ini jalan-jalanMu dan kuatkan dirinya...

No comments: