Saturday, January 21, 2012

Fahada...

Pena semakin terasa kelamnya. Bagai tiada nafsu untuk menulis. Hikmah yang dikutip pula bagai titis-titis hujan. Begitu banyak menitis, namun berlalu pergi begitu sahaja.

Tadi bos saya bertanyakan soalan, "Ummu mahu kekal di ortopedik, bukan? Jabatan ortopedik masih kekurangan MO".

Mungkin bos saya tidak serius. Saya pun bukan mahir benar selok belok ortopedik. Tapi tanpa berfikir panjang, saya terus menggelengkan kepala. Saya kira ortopedik terlalu jauh dengan naluri saya sebagai seorang perempuan.

Tapi saya terlupa satu perkara. Dakwah memerlukan saya untuk terus kekal di hospital ini. Alangkah indahnya andai bos dapat mengulang pertanyaannya semula. Saya amat memerlukan asbab untuk terus kekal di sini.

Saat saya memulakan dakwah sekolah, tiada satu gambaran yang jelas dalam benak minda saya. Bagaimana saya harus melakukannya? Mampukah adik-adik ini bergerak? Di mana medan mereka? Saya memulakan dakwah sekolah di penghujung tahun. Ya, saya gagal. Adik-adik yang baru sahaja menamatkan SPM begitu sepi mendiamkan diri. Dan dengan kekurangan saya mengurus masa sebagai house officer, menyebabkan saya tiada masa untuk benar-benar mendekati mereka sepanjang cuti mereka.

Dan saya terus berfikir? Adakah masih punya harapan lagi masa depan dakwah di sekolah? Ya Allah, tunjuki aku jalan agar setiap langkahku tidak menjadi sia-sia.

Lantas saya memulakannya semula. Adakalanya saya mahu pergi meninggalkan medan, mahu mencuba nasib di mana-mana IPT pula. Tapi kekangan masa sebagai house officer benar-benar saya rasai. Hatta saya tidak punya masa buat ibu saya yang baru sebulan lalu menjalani pembedahan. Lantas saya masih mencuba di medan ini.

Naqibah saya pernah mengupas ayat dari surah Dhuha. Wawajadaka dhallan fahada.. Dan apabila aku sesat, Dialah yang meberi petunjuk. Kata makcik, seandainya kita benar-benar berfikir tentang sesuatu, nescaya Allah akan menunjukkan jalanNya seperti kisah Nabi Ibrahim yang berkelana mencari RabbNya, juga kisah Rasulullah SAW yang terus-terusan berfikir di keheningan dan kesunyian Gua Hira'. Atau mungkin sahaja seperti kisah Assyahid Hassan Al Banna saat mereka terus-terusan menangis memikirkan ummah, lantas Allah menunjukkan jalannya yang terbaik.

Ya, akhirnya Allah menunjukkan jalanNya. Saat itu saya memberi tajuk Interaksi dengan Quran buat adik-adik. Ya, mereka cuba sebahagian kecil sahaja pelajar di sekolah berkenaan. Tapi pengalaman mengajar saya sesuatu. Pernah semasa di IPT dulu, saya mengejar bilangan, namun akhirnya saya kepenatan. Dari pengalaman itu, saya belajar bahawa terlalu penting untuk kita melahirkan Qaidah Sulbah, tulang belakang perjuangan ini dulu. Sedang kami khusyuk mentadabbur ayat-ayat Allah, dikelilingin malaikat-malaikatNya, ustazah merangkap warden sekolah berkenaan mendekati.

Dia mengajak saya dan adik-adik ke surau. Ada pembahagian usrah di surau katanya. Seorang anak usrah saya adalah ketua BADAR. Sebagai murabbi buat mereka, saya tidak mengetahui hal itu. Masya Allah, ada 39 kumpulan usrah di sekolah tersebut. Ada 39 naqibah tingkatan 5, dan 39 pembantu naqibah Tingkatan 4. Dan mereka membawa usrah.

Ustazah menjemput saya memberikan ucapan. Semua itu tiada langsung dalam perkiraan saya. Kerana dakwah, saya gagahkan diri berucap di hadapan wajah-wajah yang begitu tulus dan muda belia itu.

Setelah itu saya berbual-bual dengan ustazah. Ustazah mengajak saya membantu dakwah di sekolah tersebut. Katanya, dia pernah menjalani pembedahan kerana ketumbuhan di ovari dan terlantar di hospital selama 4 bulan. Dia tidak cukup kuat untuk terus berjuang sendirian. Lantas dia meminta pertolongan untuk membantu para adik-adik naqibah di sekolah berkenaan. Masya Allah!

Lebih dari itu, ustazah telah memberitahu pengetua dan pengetua mengizinkannya. Allahu Akbar! Di tengah-tengah kemaksiatan bandar Johor Bahru, dakwah terus menyala. Ada sinar di dalam kegelapan Jahiliah. Dan saya masih mencuba. Moga sekolah ini menjadi medan buat semua akhawat di sini. Mereka adalah rabtul 'am kita. Mereka adalah anak-anak Johor yang kelak akan menyalakan obor jihad di sini.

Seandainya tiada aral, saya akan ke posting O&G. Kata teman-teman house officer yang pernah melalui posting tersebut, tagging sahaja dari 7 pagi sehingga 12 malam selama 7 hari. Hanya Allah sahaja yang mampu membantu saya meneruskan langkah dalam medan ini... Sungguh dakwah menanti setiap dari kita... Di mana-mana kerja terlalu banyak.. Saya akan terus mencuba dan hanya Allah sebaik-baik pentadbir masa depan dakwah di bumi ini...

No comments: