Sunday, January 22, 2012

Tingkat 9...

Terkadang saya rasakan saya terlalu gharib. Terlalu asing. Membaca surah Yusuf mengundang pilu. Terkadang syaitan menjadikan sesuatu itu indah, begitu indah. Sejujurnya syaitan begitu mengkehendaki kita karam dalam kegelapan itu. Adakalanya saya rasakan seakan menarik menjadi manusia yang biasa-biasa sahaja.

Saat saya membaca surah Yusuf, saya merasakan getarannya. Ya, saya sudah bekerja selama 4 bulan. Dan 4 bulan ini, Allah yang mentakdirkan jadual susunan kerja dan cuti yang sebenarnya adalah jagaanNya. Allah tidak mengkehendaki saya karam meski terkadang hati dan nurani saya begitu lemah menolak segala godaan.

Jujur adakalanya saya rasakan asing yang amat.

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa. (Surah Yusuf: 24)

Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya". Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Yusuf: 33-34)

"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Yusuf: 53)


Saya tidak suka semasa saya di peripehery. Tidak fokus. Saya lebih suka menjaga wad. Namun ada satu perkara yang saya suka semasa di periphery. Saya akan naik ke tingkat 9. Keluar sahaja dari lif, saya akan melihat alam yang sangat indah. Saya akan melihat awan dan langit Allah. Saya akan melihat keluasan bumi. Dan saat itu, saya rasakan saya tidak asing. Segala makhluk Allah dalam ketaatanNya. Dinding dan lantai di hospital juga dalam ketaatan pada Allah. Mereka yang tidak mengingati Allah itulah yang asing. Merekalah yang sewajarnya merasa kerdil. Bukan saya.

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat alam al-wujud ini adalah jauh lebih besar dari saiznya yang lahir yang dapat dilihat itu. Ia lebih besar dari segi hakikatnya dan dari segi bilangan aspek-aspeknya. Ia mencakup alam ghaib dan alam syahadah kedua-dua sekali bukannya alam syahadah sahaja. Ia merangkumi dunia dan Akhirat kedua-dua sekali bukannya dunia ini sahaja. (Assyahid Syed Qutb- muqaddimah Fi Zilalil Quran)

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an, dan di sana aku dapat merasa adanya keseimbangan yang indah di antara harakat manusia seperti yang dikehendaki Allah dengan harakat alam buana yang diciptakan Allah. Kemudian aku melihat keadaan simpang-siur yang dialami oleh umat manusia yang telah menyimpang dan undang-undang alam buana, juga melihat percanggahan di antara pengajaran-pengajaran yang merosak dan jahat yang diajarkan kepada mereka dengan fitrah semulajadi mereka, lalu aku berkata di dalam hatiku: Manakah syaitan yang jahat yang telah memimpin umat manusia ke Neraka ini? (Assyahid Syed Qutb- muqaddimah Fi Zilalil Quran)


Saya tidak keseorangan. Hatta petir juga beriman pada Allah. Seluruh alam ini bersama dengan kita. Mudah-mudahan Allah terus memudahkan perjalanan yang panjang ini.

Dia lah yang memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir), dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia yang menjadikan awan tebal yang berat (dengan air). Dan Dia lah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya. (Surah Arra'd: 12-13)

Saturday, January 21, 2012

Fahada...

Pena semakin terasa kelamnya. Bagai tiada nafsu untuk menulis. Hikmah yang dikutip pula bagai titis-titis hujan. Begitu banyak menitis, namun berlalu pergi begitu sahaja.

Tadi bos saya bertanyakan soalan, "Ummu mahu kekal di ortopedik, bukan? Jabatan ortopedik masih kekurangan MO".

Mungkin bos saya tidak serius. Saya pun bukan mahir benar selok belok ortopedik. Tapi tanpa berfikir panjang, saya terus menggelengkan kepala. Saya kira ortopedik terlalu jauh dengan naluri saya sebagai seorang perempuan.

Tapi saya terlupa satu perkara. Dakwah memerlukan saya untuk terus kekal di hospital ini. Alangkah indahnya andai bos dapat mengulang pertanyaannya semula. Saya amat memerlukan asbab untuk terus kekal di sini.

Saat saya memulakan dakwah sekolah, tiada satu gambaran yang jelas dalam benak minda saya. Bagaimana saya harus melakukannya? Mampukah adik-adik ini bergerak? Di mana medan mereka? Saya memulakan dakwah sekolah di penghujung tahun. Ya, saya gagal. Adik-adik yang baru sahaja menamatkan SPM begitu sepi mendiamkan diri. Dan dengan kekurangan saya mengurus masa sebagai house officer, menyebabkan saya tiada masa untuk benar-benar mendekati mereka sepanjang cuti mereka.

Dan saya terus berfikir? Adakah masih punya harapan lagi masa depan dakwah di sekolah? Ya Allah, tunjuki aku jalan agar setiap langkahku tidak menjadi sia-sia.

Lantas saya memulakannya semula. Adakalanya saya mahu pergi meninggalkan medan, mahu mencuba nasib di mana-mana IPT pula. Tapi kekangan masa sebagai house officer benar-benar saya rasai. Hatta saya tidak punya masa buat ibu saya yang baru sebulan lalu menjalani pembedahan. Lantas saya masih mencuba di medan ini.

Naqibah saya pernah mengupas ayat dari surah Dhuha. Wawajadaka dhallan fahada.. Dan apabila aku sesat, Dialah yang meberi petunjuk. Kata makcik, seandainya kita benar-benar berfikir tentang sesuatu, nescaya Allah akan menunjukkan jalanNya seperti kisah Nabi Ibrahim yang berkelana mencari RabbNya, juga kisah Rasulullah SAW yang terus-terusan berfikir di keheningan dan kesunyian Gua Hira'. Atau mungkin sahaja seperti kisah Assyahid Hassan Al Banna saat mereka terus-terusan menangis memikirkan ummah, lantas Allah menunjukkan jalannya yang terbaik.

Ya, akhirnya Allah menunjukkan jalanNya. Saat itu saya memberi tajuk Interaksi dengan Quran buat adik-adik. Ya, mereka cuba sebahagian kecil sahaja pelajar di sekolah berkenaan. Tapi pengalaman mengajar saya sesuatu. Pernah semasa di IPT dulu, saya mengejar bilangan, namun akhirnya saya kepenatan. Dari pengalaman itu, saya belajar bahawa terlalu penting untuk kita melahirkan Qaidah Sulbah, tulang belakang perjuangan ini dulu. Sedang kami khusyuk mentadabbur ayat-ayat Allah, dikelilingin malaikat-malaikatNya, ustazah merangkap warden sekolah berkenaan mendekati.

Dia mengajak saya dan adik-adik ke surau. Ada pembahagian usrah di surau katanya. Seorang anak usrah saya adalah ketua BADAR. Sebagai murabbi buat mereka, saya tidak mengetahui hal itu. Masya Allah, ada 39 kumpulan usrah di sekolah tersebut. Ada 39 naqibah tingkatan 5, dan 39 pembantu naqibah Tingkatan 4. Dan mereka membawa usrah.

Ustazah menjemput saya memberikan ucapan. Semua itu tiada langsung dalam perkiraan saya. Kerana dakwah, saya gagahkan diri berucap di hadapan wajah-wajah yang begitu tulus dan muda belia itu.

Setelah itu saya berbual-bual dengan ustazah. Ustazah mengajak saya membantu dakwah di sekolah tersebut. Katanya, dia pernah menjalani pembedahan kerana ketumbuhan di ovari dan terlantar di hospital selama 4 bulan. Dia tidak cukup kuat untuk terus berjuang sendirian. Lantas dia meminta pertolongan untuk membantu para adik-adik naqibah di sekolah berkenaan. Masya Allah!

Lebih dari itu, ustazah telah memberitahu pengetua dan pengetua mengizinkannya. Allahu Akbar! Di tengah-tengah kemaksiatan bandar Johor Bahru, dakwah terus menyala. Ada sinar di dalam kegelapan Jahiliah. Dan saya masih mencuba. Moga sekolah ini menjadi medan buat semua akhawat di sini. Mereka adalah rabtul 'am kita. Mereka adalah anak-anak Johor yang kelak akan menyalakan obor jihad di sini.

Seandainya tiada aral, saya akan ke posting O&G. Kata teman-teman house officer yang pernah melalui posting tersebut, tagging sahaja dari 7 pagi sehingga 12 malam selama 7 hari. Hanya Allah sahaja yang mampu membantu saya meneruskan langkah dalam medan ini... Sungguh dakwah menanti setiap dari kita... Di mana-mana kerja terlalu banyak.. Saya akan terus mencuba dan hanya Allah sebaik-baik pentadbir masa depan dakwah di bumi ini...

Thursday, January 05, 2012

Robot...

Jujurnya terlalu banyak perkara yang ingin saya nukilkan dalam kanvas maya ini. Kepenatan dan kesihatan yang tidak mengizinkan membuat saya meninggalkan dunia maya ini. Terkadang saya rasakan kehidupan seorang doktor itu benar-benar robot. Segala tenaganya diperah, kemudian diberi rehat dan seterusnya mengulang hari yang sama keesokan harinya. Tidak pernah sekali pun saya bekerja kerana duit. Duit juga tidak pernah mampu memujuk diri yang kelesuan. Dan terkadang saya kira saya tidak akan mampu menyudahkan kerja-kerja saya, tidak akan mampu beramal dengan penuh ihsan. Sekiranya semua itu mahu saya lakukan, maka saya perlu tinggal terus 24 jam di hospital.

Suatu ketika dulu, saya pernah merasai kekosongan. Hati saya bercelaru mencari tujuan kehidupan. Lantas Allah menunjukkan jalanNya buat saya semasa di matrikulasi dulu, dan seterusnya Allah terus membimbing saya di alam IPT. Saya temukan tujuan hidup saya. Saya menangis pilu begitu lama, teresak-esak saat menonton video ini dulu kerana terasa sayalah robot yang dimaksudkan dalam video ini.

Dan kini serasanya saya begitu penat, terasa saya memberi saki baki sahaja kehidupan saya pada dakwah. Saya takut saya hilang dari jalan ini. Saya takut saya cuma 'penumpang' sahaja dalam gerabak dakwah ini.

Sangat kagum mendengar kerja-kerja ikhwah dan akhawat dalam memburu pahala amal. Terkadang terasa, layakkah saya untuk syurga Allah saat dibandingkan dengan amal ikhwah dan akhawat lain?

Dengan ketidakmampuan saya, saya cuma mampu beramal dalam medan di sekolah. Kata akak, kita cuma membantu sekolah. Sekiranya tenaga kita boleh digunakan untuk IPT, sewajarnya kita fokus pada IPT.

Jujurnya bimbang untuk mengambil dan membina adik-adik yang lain. Membina manusia memerlukan kita menjaga begitu banyak hak-hak mereka. Saya bimbang saya tidak akan mampu menjaga hak-hak mereka. Ya rabb, mudahkanlah... tunjukilah hambaMu ini jalan-jalanMu dan kuatkan dirinya...