Sunday, October 16, 2011

Sesak...

Kehidupan yang sangat menyesakkan, menakutkan dan menggoncangkan hati. Itu serasanya perasaan saya kini saat mahu ke hospital. Syukur Allah masih mengurniakan kekuatan jasad untuk hadir ke program tarbiah walau untuk tidur di sana. Penat tapi saya amat memerlukan program tarbiah. Paling kurang saat saya ke sana, saya merasakan bahawa saya tidak keseorangan.

Jujur saya rasakan sukar yang amat untuk menjadi Muslim. Ada kalanya saya sendiri mempersoalkan keikhlasan hati sendiri. Saat semuanya menyesakkan, kadangkala saya terasa seperti tidak mampu lagi menanggung bebannya. Saya amat berharap Allah tahu bahawa saya masih bermujahadah setiap masa.

Saya cuma mengharapkan ihsan - merasakan Allah melihat kita dari insan-insan yang ada di sekeliling saya. Tapi tiada. Masih ada doktor yang baik, yang akan mengajar kita. Tapi bilangannya sedikit. Pedulikan hal hospital...

Saya merenung kembali tulisan Assyahid Syed Qutb dalam muqaddimahnya. Menitis air mata. Itulah perasaan saya kini...

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat jahiliyah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seorang?


Dunia menganggap cita-cita untuk menyirami dunia dengan embun Islam adalah mimpi tapi tidak bagi kita. Allah menjadi saksi setiap amal manusia.

Apabila kita melihat manusia-manusia yang hebat dengan ideologi dan teknologi mereka, pasti kita berasa kagum. Bangunan yang mencakar langit, ideologi yang berapi membuatkan setiap insan terjegil kehairanan. Tapi Syed Qutb menggambarkan bahawa semua itu hanyalah seperti kanak-kanak dan mainannya. Kita pun pernah menjadi kanak-kanak, pernah ambil periuk dan kuali di rumah dan bermain masak-masak dengan menggunakan pasir. Saat itu kita duduk dalam dunia sendiri. Kita marah apabila ada yang mengganggu sedangkan kita hanya bermain pasir. Itulah analogi kepada setiap ideologi yang ada di atas muka bumi ini. Manusia merasa dirinya hebat dengan pemikiran mereka padahal semua itu hanyalah seperti mainan yang tidak berguna. Tiada nilaian hatta satu sen pun pemikiran-pemikiran yang diada-adakan oleh manusia apabila semuanya tidak membawa dirinya kepada Allah.

Saya masih berharap agar Allah terus mengurniakan kekuatan untuk saya mempraktiskan Islam dan Allah memaafkan setiap khilaf saya.

Kita pasti pernah melihat anak kecil. Mereka pernah dimarahi atau dipukul oleh ibu mereka. Tapi mereka terus kekal dan memeluk rapat si ibu.

Siapa lagi yang kita ada kalau bukan Allah? Saat kita mengecewakanNya, kita masih berharap agar dia masih melihat kita. Kita masih terus berharap kerana hanya harapan yang menghidupkan kita.

Maafkan diri ini ya rabb saat aku tidak mampu memberikan yang terbaik..

1 comment:

Miftahul Jannah said...

AlhamduliLlah,anti masih direzekikan berada dalam naugan tarbiyyahNya.Bersabarlah menghadapi kesesakan itu,ALlah melihat kita sentiasa :)