Sunday, May 29, 2011

Mulk...

Ada seorang pemuda dihantar belajar ke Jerman dalam bidang kejuruteraan. Di Jerman, dia perlu mendalami bidang pengajiannya dalam bahasa Jerman. Satu hari, pensyarahnya memberikan tugasan.

“Balik ini kamu baca bab 2 buku X”. Agak-agak kamulah, apa yang dimaksudkan oleh pensyarahnya? Adakah pemuda tadi hanya perlu menyebut satu persatu perkataan di dalam bukunya dengan lughah, tajwid, makhraj bahasa Jerman yang betul atau dia perlu mendalami bab tersebut sebaiknya?

Pastinya dia perlu memahami bab tersebut sebaiknya. Apabila Allah menyebut Iqra’ (bacalah), apa yang Allah maksudkan? Hanya perlu baca dengan lughah, tajwid dan makhraj yang betul atau faham betul-betul Quran itu?Agak-agaknya pahala ‘membaca’ Quran yang disebutkan dalam hadis-hadis itu diperolehi tak oleh orang yang ‘membaca’ sahaja tanpa memahami?

Dalam Quran, Allah sebut kena baca Quran sebagaimana semestinya (2:121). Bacalah dan tadabburlah ye.

Dan kenalah tadabbur dengan hati, bukan akal. Dalilnya (47:24). Kenapa hati rasa keras dan tak mampu nak tadabbur?Fikirkan amalan-amalan kita yang mungkin telah pun menutup hati kita. (83:14)

Hari itu semasa nak pass over mutarabbi kepada Prof, Prof tadabbur surah AlMulk. Ya Allah, sangatlah cantik. Rasa tenang sangat. Rasa macam nak nangis puas-puas. Rasa sangat Allah itu dekat. Saya suka sangat ayat terakhir surah Mulk.

“Katakanlah: Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering, maka siapa yang akan memberimu air yang mengalir?”


Setiap kali saya rasa hati saya macam kering semacam, Allah itu sangat dekat. Dia akan membasahkannya semula. Sayang Allah!

Prof tadabbur surah itu sambil menghayati satu persatu kalimah Quran dalam surah tersebut. Sepanjang dalam tarbiah, saya belajar pelbagai metod pentarbiyahan dari setiap orang yang berbeza.

Ayat pertama surah Mulk itu sangat indah. Ayat itu adalah puji-pujian pada keagungan Allah yang tersangatlah luas. Dialah yang menguasai segala kerajaan. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Pelik kan kita ini. Kita rasa masalah kita besar. Kita rasa ujian kita paling berat. Tapi kalau kita memang bergantung sepenuhnya pada Allah, menghayati sepenuhnya kekuasaan Allah, terasa sebenarnya kecil sangat kan semua yang kita hadapi? Bila baca ayat itu, rasa macam dah serah bulat-bulat rahsia hidup kita pada Allah. Rasa tenang sangat. Allah kata semuanya dalam kekuasaan dia.

Mungkin saya rasa sangat ayat-ayat ini sebab saya dah nak exam. Saya tidak tahu case apa yang akan saya dapat. Rasa exam itu macam unfair. Belajar bertahun-tahun tapi nasib kita ditentukan oleh beberapa jam itu. Tidak adilnya! Dan lepas baca ayat-ayat itu, saya rasa sangat-sangat yang Allah tahu semua masalah saya. Allah tahu ketakutan saya. Allah tahu case apa yang akan saya dapat. Hanya Allah sahaja yang tahu masa depan saya. Allah berkuasa nak mentakdirkan apa-apa sahaja.

Ayat kedua itu Allah kata dia jadikan hidup dan mati ini untuk menguji kita siapa yang baik amalannya. Pernah seorang doktor tanya pada kami, apa definisi kejayaan pada kamu semua? Kami pun jawab, kejayaan itu bila kita berjaya masuk syurga Allah. Dia kata bukan. Lamalah kami cuba-cuba menjawab soalan itu. Lepas itu dia pun sebut ayat 3:185. Ada bahagian dalam ayat itu yang disebut – dimasukkan ke dalam syurga. Terdetik dalam hati, betullah apa yang kami cakap. Dia kata tak cukup masuk syurga sahaja, tapi berjaya ini adalah bila kita dijauhkan dari neraka Allah, yang juga disebut dalam ayat 3:185 itu. Sebabnya ramai orang yang akan masuk syurga, tapi mungkin dia dah masuk neraka dulu. Ada cop kat dahi dia yang dia dulunya ahli neraka.

Ada seorang sheikh dari Palestin nasihatkan, kalau kita nak doa, kena doa Allah masukkan kita ke dalam syurga tanpa hisab. Kalau pensyarah kita analyse kerja kita pun kita dah cuak kan? Kalau Allah yang menghisab kita masa hari kiamat itu, tak tahulah berapa puluh kali kita terkencing-kencing, tak tahulah takat mana peluh kita hari itu. Salahlah kalau doa nak diringankan hisab, kalau boleh kita nak masuk syurga Allah itu tanpa hisab.

Ayat 2 ini sebenarnya satu motivasi bagi kita. Setiap perkara yang terjadi dalam hidup kita, kita kena rasa yang Allah sedang menilai kita. Makanya kita rasa macam nak buat sebaiknya kan?

Cantik sangat ayat-ayat Allah itu. Selepas Dia menceritakan keagunganNya, dan dia tekankan hakikat kehidupan, selepas itu dia pun ceritakan keindahan ciptaanNya. Best sangat ayat itu sebab ulangan ayat-ayat Allah itu. Ma tara fi khalqirrahmani min tafawut. Tidak sesekali kau akan lihat satu pun kekurangan dalam ciptaan Allah itu. Farji’il basar. Lihatlah sekali lagi. Thummarji’il basar. Kemudian lihatlah sekali lagi. Terlalu hebat kan anjuran Allah yang suruh kita lihat berkali-kali itu? Allah kata kita akan penat. Tidak akan ada kelemahan pun dalam ciptaanNya.

Prof ceritakan tentang satu perkara yang menambah keindahan ayat ini. Dulu kan kita pernah belajar dalam fizik – pepejal lebih tumpat dari cecair, dan cecair lebih tumpat dari gas. Tapi ais (pepejal) itu boleh terapung dalam air. Itulah indahnya winter. Allah ciptakan winter itu sangat indah. Ketulan-ketulan ais itu membentuk satu lapisan jalan yang licin. Di atas sungai-sungai, ada lapisan ais, tapi di bawahnya masih ada air. Lapisan ais itu menjadi insulator kepada air yang ada di bawah itu. Ikan-ikan yang ada di sungat itu pun boleh terus hidup. Cantik tak? Kata Prof, hebatnya Allah yang mencipta semua itu. Kalau manusia yang menentukan sunnatullah alam ini, akan hancur bumi. Kesian ikan-ikan dan makhluk Allah yang lain itu.

Saya rasa indah sangat. Orang-orang yang bekerja dalam amal dakwah ini akan merasai dekatnya mereka dengan alam ini. Alam ini semuanya dalam ketaatan pada Allah. Kita tak pernah berseorangan. Alam inilah teman kita. Dan Allah yang menciptakan semua ini dengan sempurna pastinya tidak akan menyiakan kita. Dia ada bersama dalam hidup kita. Andai alam ini begitu indah, Allah pasti mentakdirkan yang indah-indah juga dalam hidup kita. Allah akan mentakdirkan hidup kita dengan penuh kecintaan dan keindahan. Percayalah.

Insya Allah, nanti sambung tadabbur lagi ye. Mahu belajar. Dulu-dulu saya selalu minta orang lain doakan. Tapi kata naqibah saya, bila kita minta orang lain doakan, luput sedikit sebanyak pergantungan pada Allah. Kita mula bergantung pada doa-doa manusia lain. Allah itu kan sangat dekat. Mintalah terus darinya.

Mudah-mudahan Allah mentakdirkan yang terbaik buat kita dalam kehidupan dunia dan akhirat. Moga-moga Allah mentakdirkan kebaikan dalam peperiksaan yang akan tiba ini dan kebaikan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya buat ummah. Dan moga Allah menjaga iman, niat dan cita-cita saya sehingga saya bertemu denganNya. Mahu syahid!

1 comment:

M.D. said...

terkesan dgn ayat 3:185..
jazakillahu khair..