Sunday, March 06, 2011

Kesalahan...

Pengalaman selama berada dalam syura adalah pengalaman yang banyak mengajar diri ini akan hakikat perjuangan. Dan sememangnya berada dalam syura adalah medan untuk membuat amal yang lebih, meraih pahala yang melimpah ruah. Jujur senang apabila kita berada di bawah dan di luar untuk mengkritik, namun hakikatnya berada di atas medan ini ternyata begitu sukar.

Ramai yang melihat saya gembira melepaskan semuanya. Ya, saya bahagia. Bahagia kerana saya tidak perlu lagi menguruskan. Insya Allah, punya lebih masa untuk kerja-kerja lain yang lebih saya cintai. Namun saya juga sedar, beban dakwah tidak akan pernah berkurang, sebaliknya akan terus bertambah. Kerja terlalu banyak bagi mereka yang ingin bekerja. Dan tiada kerja buat mereka yang menutup hati mereka.

Saya bukan melarikan diri, cuma 5 tahun berada di satu tempat membuat saya benar-benar ingin mencuba yang lain. Saya ingin menghirup udara baru. Melihat dunia luar, mencari pengalaman. Saya berada di dalam kepompong selama ini, dan saya teringin untuk menjadi rama-rama dan terbang membawa misi dakwah ini. Saya ingin membina diri saya sendiri, membina mad’u dari mula dengan pengalaman-pengalaman yang saya perolehi di sini. Dan saya memohon pada Allah agar pilihan saya ini bukan keputusan untuk melarikan diri dari jalan dakwah. Saya memohon pada Allah untuk terus memberikan saya tugasan-tugasan dakwah agar saya hanyut di dalam kemanisan bertaqarrub padaNya.

Antara perkara yang paling besar saya pelajari semasa berada di medan adalah saat-saat saya melakukan kesalahan. Banyak kesalahan yang saya lakukan dan ia benar-benar meninggalkan kesan dalam diri saya. Dan kesalahan lebih mengajar saya dari hakikat kejayaan. Setiap kesalahan yang saya lakukan di atas jalan dakwah benar-benar mendidik saya. Dan sungguh dakwah ini saya rasakan sukar kerana ianya melibatkan hati-hati manusia. Dan ternyata di situlah letaknya formasi tarbiah yang membina diri ini.

Antara buku yang membuatkan saya terus menangis pilu adalah buku Jalan Dakwah oleh Mustafa Masyhur. Saya punya format pdfnya, tapi berkenalan dengan buku ini saat melihatnya di rumah seorang ukhti. Dan ternyata setiap baris ayat di dalam buku ini begitu mengesankan.

“Dalam pada itu kita tidak menafikan adanya kesalahan yang telah kita lakukan kerana kita adalah manusia. Kita pun bukanlah maksum yang terpelihara dari segala kesalahan. Pada hakikatnya, barangsiapa yang bekerja, tentu terdedah kepada kesalahan dan orang yang tidak bekerja tidak akan terdedah kepada kesalahan. Tetapi kesalahan yang mungkin kita lakukan itu hanyalah merupakan kesalahan juz'iah atau kesalahan perseorangan yang terjadi sebagai natijah ijtihad dari pemikiran manusia yang terbatas dalam batas niat yang baik yang kita berharap mendapat pahala daripadanya. Di samping itu kita mestilah mengambil faedah dan pengajaran daripadanya". (Jalan Dakwah: MM)


Moga Allah mengampunkan dosa hambaNya yang kerdil ini. Jujur saat saya meminta maaf dari sahabat-sahabat seperjuangan, perkara itu memang lahir dari perdu hati saya yang paling dalam. Moga mereka mampu berlapang dada dengan sahabat mereka yang terlalu hina ini.

Dan moga Allah terus memberi tugasan-tugasan dakwah untuk saya pikul sehingga bertemu denganNya.

Ya rabbi, jadikan aku insan yang akan terus beristiqamah di atas jalan ini. Kurniakan aku syahid di atas jalan yang aku imani ini…

No comments: