Tuesday, February 15, 2011

Umar..

Jujurnya saya rasakan terlalu sukar posisi kini. Melihat pengalaman adik-adik, saya rasakan ianya adalah pengalaman yang terlalu menghiris hati. Tekanan dari pihak atasan yang tidak ingin mengiktiraf kolej kerana bilangan pelajar yang ramai. Mahu atau tidak, angka yang berlebihan perlu dikeluarkan. Dan penilaian akademik adalah ukurannya.

Hati mahu bertemu mereka, tapi saya rasakan tidak mampu. Mahu mengatakan faham, tidak mungkin saya memahami. Tadi seorang sahabat menelefon. “Afeera, apa nasihat yang boleh saya berikan pada adik-adik?”. Aduh, saya sendiri kesedihan kerana tiada yang mampu saya lakukan. Ada adik-adik kami yang mana ibu bapanya langsung tidak memahami. Dia dipersalahkan. Keberadaannya dalam tarbiah juga adalah penderitaan lantaran ibu bapa yang menekan. Memakai tudung juga adalah kesalahan. Dan adik-adik ini sekali lagi perlu melalui ujian yang begitu berat.

Ada di kalangan mereka yang mana ibunya baru didiagnosis menghidap kanser. Ujian demi ujian yang Allah timpakan buat mereka. Melihat segala yang terjadi, begitu mencucuk hati. Pedih..

Buat adik-adik, akak pernah kongsikan ayat-ayat ini di dalam usrah. Baru sahaja kita mentadabbur ayat Allah ini. Surah Thaha.. Mungkin Allah mahu kita memahami ayat Allah ini sedalamnya.

Ayat ini telah mengetuk hati Saidina Umar.. Dari ayat pertama lagi.. Dalam keadaan hatinya yang begitu marah, telah membelasah adiknya, dia membaca ayat-ayat Allah. Niat hatinya yang mahu membunuh Rasulullah SAW terus berubah.. Ayuh telusuri kisah ini..

Peristiwa pengislaman Saidina Umar Al-Khattab bermula apabila pada suatu hari orang-orang Quraisy bermesyuarat bagi melantik seseorang untuk menjalankan usaha untuk membunuh baginda Rasulullah S.A.W. Umar menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab itu. Tawaran beliau mendapat sorakan daripada hadirin memandangkan beliau merupakan panglima perang Quraisy yang paling terkemuka dan handal. Umar lantas menggalas pedangnya di tengkuk lalu lalu terus pergi untuk menyelesaikan tanggungjawab tersebut.

Dalam perjalanan, beliau bertembung dengan Saad bin Abi Waqqas r.a dari Bani Zuhrah.

“Mahu ke mana engkau wahai Umar?”

“Aku mahu membunuh Muhammad!” jawab Umar.

“Tidakkah engkau sedar bahawa Bani Hashim, Bani Zuhrah dan Bani Abdul Manaf akan bertindak balas membunuhmu”.

Umar tersinggung dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh Saad lalu menghunus pedangnya. Saad juga bertindak sedemikian untuk mempertahankan nyawanya sambil mengisytiharkan keIslamannya.

Pertarungan hampir tercetus dan pada ketika itu Saad berkata: “Terlebih dahulu kamu perbetulkan urusan keluargamu. Adik perempuanmu dan iparmu telah memeluk Islam”.

Mendengar sahaja berita itu, kemarahan Umar meluap-luap dan beliau menukar langkah untuk menuju ke rumah adiknya. Pintu rumah adiknya dikunci dari dalam dan kedua-dua adiknya sedang menerima pengajaran Al-Quran daripada Khabbab r.a. Umar mengetuk pintu dan memanggil adiknya supaya membuka pintu.

Mendengar suara Umar, Khabbab r.a terus menyembunyikan dirinya dalam sebuah bilik. Beliau terlupa untuk membawa lembaran-lembaran Al-Quran. Apabila pintu dibuka, Umar terus memukul adiknya sambil berkata: “Wahai musuh kepada musuhmu sendiri. Kamu juga telah meninggalkan agama datuk nenek moyang kamu. Apa yang telah kamu lakukan? Siapakah pemilik suara asing yang aku dengar dari luar sana?’’.

Adik iparnya menjawab: “Kami sedang bercakap antara satu sama lain”.

Umar bertanya kepadanya: “Adakah kamu juga meninggalkan agama nenek moyang kamu dan memeluk agama baru itu?”.

Adik iparnya menjawab: “Tetapi apa salahnya sekiranya agama yang kami anuti itu lebih baik dan benar?’’.

Apabila mendengar sahaja jawapan daripada adik iparnya itu, Umar bertambah menyinga lalu memukulnya, menarik janggutnya dan membelasahnya dengan teruk. Apabila adik perempuannya mencelah, dia memukul muka adiknya begitu kuat sehingga mengalir darah dengan banyaknya. Adiknya meluahkan perasaannya: “Umar, kami dibelasah hanya kerana kami menjadi seorang muslim. Dengarlah! Bahawa kami berazam untuk mati sebagai seorang Islam. Kamu bebas melakukan apa sahaja terhadap kami kerana Allah sentiasa berada bersama kami”.

Dia berasa menyesal dengan perbuatannya apabila melihat adiknya berlumuran darah. Matanya terpandang lembaran Al-Quran yang tidak sempat dibawa oleh Khabbab r.a. Lalu beliau cuba untuk mengambil lembaran Al-Quran untuk melihat apakah kandungannya.

Adiknya berkata: “Tidak! Badanmu bernajis dan tidak seorang pun yang bernajis dibenarkan untuk menyentuh Al-Quran”.

Umar mendesak ingin menyentuhnya tetapi adik perempuannya enggan membenarkan tindakannya kecuali beliau membersihkan dirinya terlebih dahulu. Akhirnya Umar akur.

Setelah beliau mandi beliau mula membaca lembaran tersebut dan surah yang dibacanya ialah Surah Thaha. Beliau memulakannya daripada awal. Jom tadabbur sama-sama ayat-ayat yang telah mengetuk hati Umar.

Taa' Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu supaya engkau menanggung kesusahan. (Taha:1-2)


Umar ini adalah orang yang paling kejam di Mekah. Siapa penyeksa semua akhawat seperti Zinnirah, Nahdiya dan lainnya di Mekah? Tidak lain tidak bukan, dialah Umar. Dalam seerah diceritakan, Umar kepenatan menyeksa mereka. Tapi jauh di lubuk hatinya, dia menginginkan Islam. Pernah dia memikirkan hal tersebut. Cuma jahiliah dan keadaan kaumnya menghalangnya dari memeluk Islam. Dia merasakan Islam adalah kesusahan. Dan bila dia membaca ayat tersebut, dia tahu bahawa Allah sedang berkomunikasi dengannya. Allah sedang berbicara padanya bahawa Islam tidak susah.

Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. (AlQuran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy. Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi. Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi. Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik. (Taha:3-8)


Allah beritahu Umar kalau dia menyaringkan suara, mengamuk sekalipun, Allah tahu apa yang ada di hatinya.. Allahu Akbar!

Dan sudahkah sampai kepadamu perihal Nabi Musa? Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: "Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalan. Maka apabila ia sampai ke tempat api itu (kedengaran) ia diseru: "Wahai Musa! " - "Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci. "Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. (Taha: 9-14)


Kenapa agaknya kisah Musa ini menyentuh hati Umar? Sebab Musa mencari api, dah nampak dah pun api itu. Tujuan Musa pergi pada api itu untuk mendapatkan api atau sebagai penunjuk jalan. Tapi takdir Allah, Musa menemui Allah di lembah Thuwa tersebut. Begitulah juga keadaan Umar. Tujuannya keluar untuk membunuh Rasulullah SAW, tetapi takdir Allah dia bertemu dengan RabbNya. Dan Allah berkomunikasi dengannya saat Allah mengatakan bahawa Allah telah memilih Musa. Seolah-olah ayat tersebut berkata bahawa Allah telah memilih Umar. Dahsyat kan Quran? Kita tahu secara teorinya bahawa surah ini mengetuk hati Umar, tetapi jarang kita mentadabbur kan? Kenapa surah ini boleh sekelip mata menukar Umar? Dahsyat kan kalau kita benar-benar memahaminya?

Bila sampai pada ayat 14, Umar pun bersuara, “Baiklah bawakan aku berjumpa Muhammad”.

Apabila mendengar kata-kata ini, Khabbab pun keluar dari tempat persembunyiannya dan berkata: “Wahai Umar! Berita gembira untukmu. Semalam Rasulullah s.a.w telah berdoa kepada Allah; “Ya Allah! Perkuatkanlah Islam melalui 2 Umar (Umar atau Abu Jahal), sesiapa yang Engkau kehendaki. Nampaknya doa Rasulullah ini diperkenankan untukmu”.

Umar pun pergi menemui Rasulullah s.a.w lalu terus memeluk Islam pada pagi Jumaat. Dikhabarkan betapa gembiranya umat Islam saat itu, sehinggakan laungan takbir kedengaran sehingga ke Kaabah.

Akak pasti cerita ini masih relevan untuk adik-adik. Terkadang mungkin adik mencari sesuatu dalam kehidupan ini, tapi Allah mentakdirkan yang lain. Dan akak percaya segala yang terjadi akan menambah iman adik-adik dan adik-adik akan bertemu dengan Allah di dalam perjalanan yang penuh dugaan ini.

Jujur akak bukan murabbiah yang baik untuk adik-adik. Tidak pandai meladeni kalian. Tidak mungkin akak dapat menjaga kalian dengan baik. Akak serahkan urusan kalian pada Allah dan pasti Dia akan menjaga kalian dengan cara yang indah.

Nota tambahan:

Kenapa Allah suruh Nabi Musa buka terompah sebelum bertemuNya di lembah Thuwa? Kenapa hal buka terompah itu perlu kita baca di dalam AlQuran? Kenapa ayat ini sangat relevan sampai kiamat? Sebab Allah sedang mengajar Nabi Musa berkenaan adab. Even Saidina Umar pun kena membersihkan dirinya sebelum membaca kalamullah. Akhlaq dan adab adalah soal besar di sisi Allah. Allahu A'lam.

1 comment:

najiehah najwa said...

akak...
thanks for ur concern...