Wednesday, January 05, 2011

Dhomrah....

Terlalu hebat aku rasakan perancangan Allah. Menyusun dan mengatur rahsia hambaNya. Kita orang Islam tidak pernah kalah. Itu prinsipnya. Walau di zahirnya, kekalahan seakan menjadi igauan, tapi Allah sentiasa memujuk kita bahawa kemenangan itu pasti tiba.

Hebat mehnah dan tribulasi yang perlu dilalui oleh para pensyarah dan pelajar di kolejku. Hanya kerana seorang dua manusia tamak, sebuah perjuangan terjejas. Bisik hatiku, ianya adalah sunnatullah jalan dakwah. Tiada yang mudah. Buat kerja Islam tidak akan mudah. Akan sentiasa teruji.

Lantas apa yang akan diraih dari sebuah perjuangan? Seakan kegelapan yang ada di hadapan jalan. Adakah kita akan kalah? Adakah musuh-musuh Allah yang sentiasa bekerja menghancurkan itu akan berjaya?

Lantas aku menghalusi kisah seorang sahabat. Aku tidak pernah mengenalinya. Seorang murabbiah telah menceritakan kisah ini pada kami. Nama sahabat yang mulia ini adalah Dhomrah bin Jundub. Orang mudakah dia? Tidak, dia hanya seorang sahabat mulia yang telah tua dan lumpuh.

Ingatkah lagi ayat 97 dari Surah Annisa’?

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (4:97)


Dhomrah bin Jundub telah mendengar ayat-ayat Allah tersebut. Dan ianya umpama bom nuklear yang menggegarkan hatinya. Saat itu dia masih di Mekah. Lantas dia berbicara dalam serak-serak suara tuanya, “Bawalah aku, aku bukanlah orang yang lemah dan aku tahu jalannya. Demi Allah, aku tidak perlu menunggu sampai malam di khemah untuk berangkat”.

Lantas si anak yang mendengar rayuannya mengusungnya sambil dia tetap di atas tempat di tidurnya. Dan di dalam perjalanan hijrah itu, dia meninggal dunia. Saat ajal mendatang, saat nafas di kerongkongan kian menggetirkan, dia menyatukan tangan kanan dan tangan kiri, “Ya Allah, ini untukMu dan ini untuk RasulMu, ku membaiatMu atas apa yang engkau baiatkan terhadap RasulMu”. Lantas ajal menjemputnya untuk bertemu dengan Allah yang agung. Kematiannya sungguh terpuji. Namun sang musyrik mentertawakan. Mungkinkah kita juga tersenyum sama? Barangkali kita akan mengatakan, duduklah diam-diam sahaja, mengapa perlu berhijrah dalam keadaan begitu.

Lantas turunlah ayat ke 100 dari Surah Annisa’ merakamkan pengorbanannya di atas jalan dakwah ini. Ayat yang sungguh bermakna ini memberi kita motivasi bahawa Allah akan menyampaikan kita kepada tujuan kita walau apa jua cabarannya.

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (4:100)


Ya Rabb, perjuangan kami masih berbaki malah kami tidak mengetahui kesudahan kami. Lantas sampaikan pahala amal dan niat kami ya Allah. Mudah-mudahan Kau terus mengiranya sebagai pahala. Dan sungguh Kau telah memberi kami motivasi yang agung untuk terus bertatih di jalan ini. Dan sungguh kesudahan yang baik adalah bagi mereka yang bertaqwa.

No comments: