Sunday, January 09, 2011

Compang camping...

"DEMI Allah, sekiranya itu yang diceritakan oleh Baginda, semua benar belaka. Sebenarnya aku mempercayai Muhammad mengenai perkara yang lain lebih daripada itu," jawab Saidina Abu Bakar al-Siddiq kepada beberapa orang musyrikin yang mendengar cerita mengenai peristiwa mukjizat Israk dan Mikraj.

Aku kira bukan mudah untuk menjadi seperti Abu Bakar saat pertama kali berdepan dengan situasi yang berat. Aku juga bukan seperti Abu Bakar di dalam situasi ini. Tiada apa-apa pada diri ini untuk kalian teladani. Namun di sana Allah mentakdirkan bahawa tetap ada insan-insan seperti Abu Bakar.

Kita mungkin terlupa. Namun saat seorang akh mengirimkan warkah mayanya untuk kita bersama di dalam bahtera ini, meletakkan sepenuh kepercayaan pada murabbi-murabbi kita, mengapa hal itu masih sulit? Seorang ukhti juga berbicara padaku dengan iman dan kefahaman yang mendalam terhadap perjuangan ini. “Ini projek jemaah. Ada barakah di dalam setiap syura.” Bahkan dialah yang memberitahuku tentang jaminan yang kau pertanyakan itu. Kau dan dia hadir dalam sesi itu. Namun tasawwur kalian nyata berbeza.

Barangkali kau merasakan aku mencari-cari aibmu. Tidak ukhti. Aku nyata lebih bersalah dalam soal ini. Aku juga tidak berfikir panjang. Namun di sana masih ada sahabat-sahabat kita yang terus-terusan mengingatkan. Saat kau bercerita tentang syura, aku kira ianya juga bukan syura. Syura bukan saat kita telah memutuskan perancangan kita, dan kemudiannya hanya memberitahu perancangan kita pada para murabbi kita. Bukan, nyata bukan. Syura bermula sedari awal lagi.

Tentang thiqah pula, kau lanjutkan perbicaraan tentang Ibrahim yang terus-terusan mencari kebenaran dengan soalan-soalan. Itu dalam soal aqidah. Kita bicara soal akhlaq. Akhlaq mereka yang bersama dalam gerakan dakwah. Nyata aku susah menerangkannya kerana aku juga jauh belum sempurna.

Tentang jaminan, kita telah sama-sama mentadabburi Surah AlFath. Yadullahi fauqa aidihim. Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka. Manusia yang tidak bersama gerakan dakwah ini mungkin membaca permukaan sahaja penerangan murabbi-murabbi kita. Namun tasawwur dan pemikiran kita pasti berbeza. Sewajarnya ada keyakinan yang kita letakkan pada mereka dan pasti keyakinan yang lebih hebat hanya pada Allah sahaja. Siapalah aku mahupun murabbi-murabbi kita untuk memberikan jaminan? Bukankah Allah sebaik-baik pemberi jaminan?

Nyata terlalu sulit untuk aku menuliskan segalanya. Aku nyaris kemalangan dua kali memikirkan perkara ini. Baju yang aku seterika juga hangus. Aku terlalu memikirkan hal yang terjadi. Aku menangis terlalu lama ukhti.

Maaf ukhti andai tulisan ini menggores hatimu sekali lagi. Lantas aku dedikasikan tulisan Salim A Fillah ini buat semua. Dan ternyata benar kata-katanya , “Tentu terlebih sering, imankulah yang compang-camping”.

Ukhti, aku kira masalah itu terlalu kecil. Namun ujian-ujian lain serasanya begitu menggelisahkan hati ini. Tentang ukhwah, tentang syura, tentang thiqah dan lainnya. Ukhti, menurut ayahku, tiada siapapun yang bersalah dalam hal ini. Setiap manusia berijtihad. Dan mungkin ijtihadmu betul ukhti. Lantas aku masih mengharapkan kau terus-terusan menegur sahabatmu yang imannya terlalu sakit saat ini.

Ukhti, aku tidak bimbang andai medan Badar yang berulang. Namun aku bimbang ukhti saat Allah mentakdirkan Uhud berulang. Terlalu sakit ukhti andai jemaah perlu melaluinya lantaran sikap-sikap kita. Kupetik petikan dari Hazaddeen:

Melalui peperangan ini, jamaah Islam ini kini benar-benar memahami dasar ini. Mereka mempelajari dasar ini bukan melalui kata-kata atau melalui teguran semata-mata sebaliknya mereka mempelajari dasar ini melalui darah dan penderitaan.

Mereka terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mempelajari dasar ini. Mereka terpaksa merasai kekalahan walaupun setelah merasai kemenangan. Mereka terpaksa menanggung kerugian walaupun setelah memperolehi keuntungan. Mereka terpaksa menerima luka parah dan sebahagiannya gugur syahid termasuklah pemimpin syuhada', Hamzah r.a.. Bencana yang paling malang dan paling dahsyat menimpa jamaah Islam ini ialah apabila Rasulullah s.a.w. sendiri cedera, wajahnya yang mulia itu luka dan gigi hadapannya tercabut. Baginda juga tersungkur ke dalam lubang yang digali oleh Abu Amru al-Fasiq, sekutu pihak Quraisy. Lubang ini digali bagi memerangkap orang-orang Islam. Musyrikin Quraisy sedaya upaya cuba membunuh Nabi s.a.w. tatkala Baginda hanya dikelilingi oleh beberapa orang sahabat sahaja, dan sahabat-sahabat ini gugur satu demi satu syahid dalam mempertahankan baginda. Salah seorang sahabat ini ialah Abu Dujanah yang menjadikan belakang badannya sebagai perisai menahan anak-anak panah musyrikin. Walaupun anak-anak panah ini menusuk belakangnya namun beliau tidak berganjak. Sehinggalah akhirnya tentera muslimin yang lain datang memberi bantuan setelah mereka kembali pulih dan menerima hakikat kekalahan mereka. Mereka kini menerima pengajaran yang amat pahit.


Aku tidak pasti ukhti apa yang ingin Allah ajarkan pada kita. Tarbiah dengan peristiwa memberikan kesan yang terlalu mendalam pada diri ini. Allah sebaik-baik perancang. Doakan aku ukhti agar Allah tidak menapisku dari jalan ini atas segala peristiwa yang berlaku.

Maafkan aku ukhti untuk kesekian kalinya. Nyata sahabatmu ini imannya benar-benar compang camping. Moga Allah melapangkan hati kita selapang-lapangnya dalam menerima segalanya. Dan moga Allah terus mentakdirkan yang terbaik dalam situasi apapun. Moga Allah terus memberkati dan menuntunimu sepanjang masa. Uhibbuki fillah ya ukhti…

No comments: