Monday, October 18, 2010

Huwajtabakum...

Pesan mak, “Jangan sesekali menangis kerana manusia, nangis hanya kerana Allah dan RasulNya”. Katanya lagi, usah menangis walau dia meninggal dunia suatu masa kelak.

Jujur mak adalah sahabat akrab saya. Terlalu akrab. Darah yang mengalir dalam jiwa ini adalah darahnya jua. Saya pernah menumpang kasih dalam rahimnya suatu ketika. Dia insan yang terlalu memahami saya. Dia bersama saya dalam suka duka kehidupan ini. Jujur ya Rabb, dia adalah kurniaan terbesar yang Kau berikan buat hambaMu yang lemah ini.

Katanya, kebahagiaan tidak akan muncul tiba-tiba. Adakalanya kebahagiaan perlu dicari. Di saat saya merenungi kekurangan diri, dia meminta saya memikirkan kelebihan. Usah peduli dengan kelemahan. Fikirkan tentang hal iman yang dapat saya rasai. Fikirkan tentang nikmat tarbiah yang saya kecapi. Manusia lain mentertawakan kelemahan kita, sedang Allah telah mengurniakan sebesar-besar nikmat iaitu nikmat iman dan Islam.

Benar. Saya tidak sempurna. Terngiang-ngiang kata-kata Aiman, adik lelaki saya suatu ketika dulu. “Kerana kita tidak sempurnalah, kita ingat Allah. Kalau kita sempurna, kita tidak ingat Allah”.

Semalam saya sempat bersama seorang tokoh dakwah. Makcik tersebut sudah berusia 63 tahun tapi masih bersemangat memberi dalam keadaan berdiri. Masih mampu menaiki tangga 4 tingkat untuk bertemu kami. Pelukannya hangat dan penuh cinta. Dia telah mengorbankan segalanya untuk dakwah ini. Katanya, dua perkahwinannya sebelum ini menjadi kibas jihad ini. Andai Nabi Ibrahim menjadikan Nabi Ismail sebagai kibas untuk mematuhi perintah Allah maka dia telah memilih untuk menjadikan perkahwinannya sebagai kibas tuntutan jihad ini. Masya Allah!

Dia adalah antara pelopor awal gerakan dakwah di bumi Malaysia. Dia bercita-cita untuk menjadi golongan Assabiqunal Awwalun.

Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. (9: 100)

Dia juga bercita-cita menjadi seperti Abu Thalhah yang dikurniakan umur yang panjang agar dapat berbakti di atas jalan dakwah dan tarbiah. Kata-katanya membekas sehingga terngiang-ngiang di gegendang telinga ini. ‘Huwajtabakum…”. Dia telah memilih kamu! Ya, Allah telah memilih saya. Dia tidak memilih saya untuk menjadi secantik bidadari. Dia tidak memilih saya untuk menjadi model. Dia tidak memilih saya untuk menjadi pilihan sang Agong atas kejayaan dunia dan materialistik. Dia tidak memilih saya untuk mendapat title Dato’. Tapi dia memilih saya untuk mengharungi jalan dakwah ini. Dia telah memilih saya untuk menerima nikmat hidayah dan tarbiah ini.

Lantas mengapa peduli dengan kelemahan yang ditertawakan manusia? Lupakan. Harungi jalan ini dengan Allah di sisi. Bak kata makcik semalam, Allah telah menyematkan bintang lencana di diri kita sebagai mujahidah dakwah ini. Syahadah kita bermaksud bahawa seluruh jiwa, hati dan perasaan kita dimiliki sepenuhnya oleh Allah.
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. (22:78)


Ya Rabb, hapuskan air mataku. Berikan aku kekuatan mengharungi kehidupan ini…

1 comment:

amirahsaryati said...

subhanallah..
entri ni betul2 right on time. baca ulang2.sobs~! jazakillah ukhti!