Tuesday, July 06, 2010

Layak?

Sebelum Isya’ tadi, saya sempat membaca satu artikel. Masya Allah, artikel tersebut begitu menyentuh hati saya. Saya buka Quran dan cuba menghadam ayat-ayat Allah yang disebutkan dalam artikel tersebut. Ada rasa ngeri dan ketakutan yang amat. Terlalu sebak rasanya..

(Serta dikatakan kepadanya): "Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)". (50:22)

Ia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?" Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan". (20: 125-126)

(Lalu dikatakan kepada mereka): "Janganlah kamu menjerit-jerit meminta tolong pada hari ini, sesungguhnya kamu tidak akan beroleh sebarang pertolongan dari Kami. (23: 65)

Entah kenapa saya seperti tidak pernah mendengar ayat-ayat ini. Seakan pertama kali saya mendengarnya.

Saya lihat buku-buku perubatan saya. Semuanya tebal-tebal belaka. Dan saya lihat Quran yang kecil di atas meja saya. Mengapa setelah 23 tahun di atas muka bumi Allah, ayat-ayat Allah seakan baru pertama kali saya dan dengar? Banyak buku yang saya baca, tapi bagaimana dengan Quran? Banyak novel yang saya baca, tapi tidak pernah umur saya menghadam Quran terjemahan dari mula sehingga akhir.

Terkadang saya mahu meninggalkan semua ini, mahu belajar kitabullah dan menghafaznya. Tapi bila membaca buku fiqh awlawiyyat oleh Sheikh Yusuf Qardhawi, saya tersedar bahawa saya silap dalam menafsir kehidupan saya.

Tadi pagi, berbual dengan kawan tentang mengekalkan ayat-ayat Quran yang dihafaz dalam memori. Baru hafal surah yang simple-simple, terasa sukar mujahadah untuk terus mengekalkan hafalan. Bagaimana para huffaz melakukannya?

Kata kawan, AlQuran itu memilih manusia yang layak. Terasa pula bila dia mengungkapkan sedemikian.

Ya Allah, Kau bukakanlah hikmah Quran itu buat diri ini…

No comments: