Tuesday, May 25, 2010

Cabaran...

Makcik minta saya berkongsi perkongsian yang saya perolehi pada hari Sabtu lepas bersama dengan akhawat UMS. Insya Allah, saya cuba menulisnya. Tapi sejujurnya insan yang menulis ini belum diuji Allah dengan pangkat doktor di hadapan namanya, belum diuji Allah dengan cabaran Baitul Muslim dan hal lainnya. Berat sebenarnya menulis suatu teori yang tidak pernah kita lalui. Tapi itulah tarbiah. Terkadang kita tidak faham pun tapi satu masa nanti Allah akan membuatkan kita memahaminya. Allahu A’lam.

Fokus dan topik program

Fokus dan topik program tersebut ialah:

1) Kepentingan penerusan tarbiyah semasa HO khususnya dan semasa bekerja amnya
2) Baitul Muslim dan penerusan tarbiyah
3) Cabaran bekerja
4) Adab bersama pesakit dan adab bekerja

Akhawat lain yang turut hadir juga boleh berkongsi. Menulislah. Pesan Hamka bahawa penulis mempunyai dua kenikmatan, pertama kenikmatan apabila karyanya dibaca orang, yang kedua kenikmatan selepas penulis itu meninggal dunia, jika penulisannya baik maka akan sentiasa mengalirlah pahala kepada si penulis itu.

Peringatan tentang tujuan hidup manusia dan tujuan bekerja

Pertamanya, kami ditekankan dengan konsep ubudiah kepada Allah. Pada hari, kita menerima title doktor di hadapan nama kita, hendaklah kita merasakan dengan sepenuhnya bahawa kita hanyalah seorang hamba.

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (51:52)

Keperluan tarbiyah sepanjang masa

Perancangan berkenaan dengan hal penerusan tarbiah perlu dimulakan dari sekarang. Perlu ada perancangan tentang pemilihan tempat kerja. Pastikan kita tidak berehat lama dari tarbiah, sebaiknya terus berhubung dengan pihak yang berkenaan agar kita tidak futur. Lambat sesaat akan membuat kita senang dan seterusnya lari dari jalan dakwah dan tarbiah. Pastikan kita sentiasa berada di dalam usrah dan mempunyai sahabat-sahabat yang selalu mengingatkan. Pemilihan tempat kerja juga perlu dilihat dari kaca mata dakwah dan tarbiah. Masih terjamin lagi ke dakwah dan tarbiah dengan pemilihan kita? Persoalan tersebut perlu sentiasa dijawab.

Pastikan juga kita dah mengkaji tempat-tempat pilihan yang dipohon. Ada HO yang dihantar ke Sibu, tapi di sana kebanyakan doktor adalah doktor Cina yang berbahasa cina sesama mereka. Akhirnya, HO ini tertekan dan terasa seperti dibuli. Amat penting pemilihan tempat kerja.

Teramat penting sekali adalah doa. Doa dari sekarang agar Allah meletakkan kita di tempat yang terbaik. Minta Allah meletakkan kita di tempat yang terjamin gerak kerja dakwah dan tarbiah kita.

Seterusnya kita redha dengan pilihan Allah. Pastinya Allah meletakkan kita di tempat yang terbaik.

Cabaran HO sekarang

Kak Fatimah, HO di HKL memberitahu bahawa cabaran HO hari ini adalah kerehatan. Mungkin kerana pembahagian HO yang tidak seimbang menyebabkan sesetengah hospital mempunyai lambakan HO. HO di HKL misalnya ada yang diberi cuti pada hari Sabtu dan Ahad. Tapi ada juga tempat yang masih kekurangan HO. Sebaiknya kita sedar bahawa kesempitan dan kelapangan kedua-duanya adalah ujian dari Allah.

Sewajarnya dengan masa rehat yang Allah beri, kita merancang untuk gerak kerja dakwah. Tiada alasan untuk berehat dari usrah dan membawa usrah. Dakwah dan tarbiah perlu diteruskan semasa menjadi HO. Sejujurnya semuanya bergantung pada keimanan kita kepada Allah. Hal dakwah dan tarbiah ini juga adalah hal kita dengan Allah. Bersikap jujurlah dengan Allah. Kita lebih tahu sama ada kita sibuk ataupun tidak.

Kalau kita penat sangat, tidurlah dalam usrah. Yang penting pertemuan kita dengan akhawat. Harapannya walau kita tidak mendapat apa pun dari usrah, tapi pertemuan wajah itu membuatkan akhawat masih mengingati kita. Berehatnya kita dari jalan usrah akan membuatkan kita yang keciciran sebenarnya memandangkan kerja-kerja akhawat kita yang lain juga terlalu banyak. Sesungguhnya dakwah dan tarbiah tidak pernah menunggu kita. Dakwah dan tarbiah ini milik Allah dan akan terus berjalan. Kitalah yang hakikatnya akan kerugian di jalan dakwah apabila kita menjauhi jalan ini.

Allahu A’lam..

Insya Allah bersambung…

No comments: