Saturday, April 10, 2010

Masa depan...

Hari ini saya menyambut ulangtahun hari kelahiran yang ke-23. Nikmatnya hari ini tidak mampu saya gambarkan dengan kata-kata kerana Allah memberi saya peluang untuk berada di dalam program bersama dengan akhawat. Tidak mampu digambarkan nikmat Iman dan nikmat Islam ini. Syukur padaMu meski aku tahu kesyukuranku tidak pernah mampu membalas hatta setitis nikmat ini.

Semalam semasa satu pengisian, seorang akhi memberitahu bahawa syukur kita baik dari segi lisan dan perbuatan tidak akan sesekali seimbang dengan apa yang telah Allah berikan. Maka jadikanlah dakwah sebagai rasa cinta kita kepada Allah atas kurniaan nikmat iman dan Islam. Di saat kita menemukan kesukaran di dalam dakwah, kita tidak akan sesekali merasa sedih kerana kita merasakan tiada apa-apa yang dapat dibandingkan dengan nikmat iman dan islam ini. Segalanya di jalan ini kita rasakan madu yang memberi kita kemanisan sepertimana ungkapan Assyahid Imam Hassan Al Banna bahawa hidup kita adalah dakwah dan dakwah adalah hidup kita. Setiap kali kita diberi tugasan pada jalan dakwah, kita menerimanya dengan hati yang terbuka untuk melahirkan rasa syukur kita di atas nikmat kurniaanNya.

Assyahid Syed Qutb menulis di dalam bukunya Mustaqbal fi Hazaddeen bahawa sesungguhnya masa depan adalah milik Islam. Islam tidak akan suram. Hari-hari kebahagiaan akan menampakkan wajahnya. Lembayung Islam akan gemilang. Zaman itu terlalu hampir dan kita meyakini bahawa kemenangan Islam adalah aqidah. Kepercayaan kita pada sesuatu akan membuatkan kita berusaha untuk segalanya yang kita yakini. Kita akan memerangi kekafiran yang ada di atas muka bumi Allah ini sehingga kalimahNya akan tertegak di muka bumi Allah ini.

Sesungguhnya Islam adalah agama fitrah dan ia pasti mampu diterima oleh semua orang. Agama ini akan sampai sejauh mana sampainya siang dan malam. Begitulah keimanan kita dibentuk dari hadis-hadis yang kita baca. Seandainya abad ke-19 adalah abad komunisme, abad ke-20 adalah abad kapitalisme maka yakinlah bahawa abad ke-21 adalah milik Islam.

Imam AlGhazali menukilkan bahawa Barat mampu membuat manusia terbang seperti burung, berenang seperti ikan tetapi tidak mampu berjalan seperti manusia. Kehancuran Barat akan tiba dan Islam akan dijunjung semula. Itu bukan delusi. Itu bukan mimpi Itu bukan fantasi. Itu satu realiti yang pasti terjadi.

Pada hari ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih pada semua yang membantu saya mengenali Allah, dakwah dan tarbiah. Jutaan terima kasih saya ucapkan pada ayah dan ibu yang terus-terusan mendorong saya. Ini adalah jangka masa paling lama saya tidak pulang ke rumah. Hanya Allah mampu membalas jasa kalian. Maafkan saya atas hak-hak yang tidak akan mungkin saya lunasi sebagai anak. Terima kasih kerana sentiasa menyokong setiap gerak kerja saya. Tanpa kalian, tidak mungkin mampu saya mengharungi jalan dakwah dan tarbiah ini. Buat adik-adik kandung saya, saya menyayangi kalian kerana Allah. Terima kasih atas segalanya. Terima kasih kerana sudi menerima saya sebagai seorang akak. Terlalu ingin sebenarnya melihat kalian juga di medan ini. Itu adalah doa seorang akak buat adiknya.

Terima kasih buat para sahabat yang terusan mendoakan saya, menyokong saya dalam setiap pekerjaan saya. Terima kasih kerana menunjukkan saya jalan ini. Terima kasih kerana menerima segala kekurangan saya dan menerima saya sebagai sahabat kalian.

Terima kasih pada adik-adik usrah. Terima kasih kerana sudi menerima seorang insan yang terlalu kerdil ini. Moga Allah terusan menguatkan ikatan hati kita di atas jalanNya.

Kuucapkan jutaan terima kasih buat para murabbi dan murabbiyah. Moga aku akan mampu mengikut jejak kalian di dalam medan ini.

Doakan diri ini semoga terus tsabat di atas jalan dakwah dan tarbiah ini. Doakan agar diri ini dikurniakan syahid di jalan Allah. Doakan diri ini dikurniakan syurga yang tertinggi dariNya. Doakan diri ini tersenyum bahagia bertemuNya. Doakan diri ini agar bersama kalian, saling menziarahi di syurga Allah yang hebat tersebut.

Ameen.

1 comment:

sakeenah said...

Salam..afeera,selamat hari lahir. Semoga sukses dalam bidang dakwah dan juga dalam pelajaran.Kedua-duanya mencabar dan kedua-duanya sama penting. Keenah pun nak ucapkan terima kasih kerana sentiasa mendorong Keenah untuk bersama-sama Afeera. Syukur Alhamdulillah.