Monday, February 08, 2010

Tebang pokok..

Penat! Tapi saya bahagia kerana saya telah membuat satu keputusan yang besar dalam hidup saya. Sudah tiada lagi kekeliruan dalam diri saya. Saya bahagia dengan tarbiah dan jalan ini. Jalan ini menemukan saya ketenangan pastinya. Saya tidak pasti pandangan sahabat atau yang lain mengenai tindakan saya, namun cukuplah hal ini dibicarakan. Cuma membazir masa semua. Saya mahu terus melangkah selepas ini!

Daurah yang saya sertai benar-benar memberikan kesan yang begitu mendalam di hati saya. Benarlah bahawa tarbiah ini jalannya panjang dan tersangat jauh. Dan saya akui bahawa diri ini benar-benar mendamba tarbiah yang tiada hentinya untuk terus melangkah.

Di saat kepenatan adalah isu, di saat fizikal badan begitu menginginkan kerehatan, di saat kerja-kerja akademik begitu melambak, mengapa kita masih hadir ke program-program tarbiah?

Semuanya kerana Allah. Kekuatan itu datang dari Allah. Dan semestinya yang hadir itu adalah insan pilihan Allah. Menyebut frasa ‘pilihan Allah’ itu benar-benar menyentuh hati kita. Tubir mata basah dengan mutiara putih bertali saat menyebut frasa itu. Dan saban waktu kita berdoa, “Ya Allah, pilihlah kami sehingga kami bertemu denganMu dengan wajah yang berseri-seri”. Sungguh kita merasakan kengerian andai Allah tidak memilih kita lagi.

Diri benar-benar tersapa dengan sentuhan hidayah saat seorang ukhti menceritakan kisah si abid yang begitu ghirah (bersemangat) untuk menebang pokok yang disembah kaumnya tetapi dihalang oleh syaitan. Seakan-akan kisah tersebut menempelak diri ini yang sering tersasar dari jalan Allah. Betapa hal niat dan keikhlasan perlu sentiasa diingatkan kerana kita sebagai manusia sering terlupa dengan hakikat tersebut.

Cerita ini sering didengar apabila membicarakan tentang keikhlasan. Ia ditulis oleh Al Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin. Seorang lelaki soleh yang mendapat berita tentang sebatang pokok yang menjadi sembahan orang ramai di sebuah kampung. Dengan semangat amar makruf nahi mungkar, lelaki itu mengambil sebilah kapak dan pergi untuk menebang pokok tersebut.

Di pertengahan jalan dia bertemu dengan syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki. Syaitan menghalangnya dan berlakulah pergelutan. Lelaki soleh itu dengan mudah mengalahkan syaitan. Syaitan tidak puas hati lalu berlakulah pergelutan demi pergelutan yang tetap dimenangi oleh lelaki soleh itu.

Akhirnya syaitan mengaku kalah dan menukar strategi. Ia membuat satu tawaran kepada lelaki soleh itu. Syaitan bersedia memberikan satu dinar emas pada setiap pagi sekiranya lelaki itu membatalkan niatnya untuk menebang pokok sembahan yang dimaksudkan. Lelaki soleh itu termakan hasutan dan bujukan syaitan lalu pulang kembali ke rumahnya.

Esok pagi, apabila dia bangun dari tidur di dapatinya ada sekeping dinar emas di bawah bantalnya. Benar, syaitan telah menunaikan janjinya. Begitulah keadaannya pada pagi hari kedua. Dinar emas sudah ada di bawah bantalnya seperti hari pertama. Tetapi pada hari ketiga, dinar emas sudah tidak ada lagi. Ternyata, syaitan mula menipu.

Berang dengan perlakuan syaitan, lelaki soleh itu mengambil kapaknya untuk meneruskan niat awalnya untuk menebang pokok sembahan. Di pertengahan jalan, syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki itu menahannya lagi dan berlakulah pergelutan. Kali ini lelaki soleh itu kalah. Dicubanya sekali lagi, dia tetap kalah. Malah dicubanya berkali-kali, dia tetap kalah.
Ketika lelaki itu bertanya kenapa dia kalah dan kenapakah syaitan sudah jadi semakin gagah? Syaitan menjawab, “Engkau kalah kerana kali ini niat mu untuk mencegah kemungkaran bukan lagi kerana Allah, tetapi kerana dinar emas.”

Ya, lelaki itu menjadi lemah kerana niatnya tidak ikhlas. Tahulah kita rupa-rupanya keikhlasan itu adalah satu kekuatan dan kehormatan. Dan betapa niat kerana Allah itu akan terus menguatkan kita untuk terus melangkah di jalan ini.

Saya akui kebenaran kisah yang disampaikan.meskipun jiwa digodam dengan seribu satu permasalahan. Saya temui damai dan ketenangan di celah-celah kesibukan yang begitu menghimpit. Ya Allah, izinkan aku untuk terus mengungkapkan setiap butiran hikmah yang aku temui di sana.

1 comment:

Liyana said...

salam..

sangat2 best cerita ini kak..
terima kasih sebab berkongsi :) :)