Sunday, February 21, 2010

Gayut...

Semalam bergayut dengan adik lelaki saya, Zaid. Lama sangat kami bergayut. Zaid ceritakan pengalaman dia. Saya rasa merasakan dia melalui satu fasa yang pernah saya lalui suatu ketika dalam hidup saya iaitu fasa mencari kebenaran. Umur remaja adalah satu fasa perubahan. Ada dua sahaja jalan yang ada di depan mata, baik atau buruk.

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; (Surah Assyams: 7-8)


Zaid menghayati lirik lagu Maher Zain – Open your eyes. Dia merasakan pengalaman yang dilaluinya dan Ruben yang ada di dalam video itu seakan sama. Ramai yang pernah memberi link video ini kepada saya cuma apabila Zaid menceritakan mengenai video ini, barulah saya terkesan untuk melihatnya. Menitis juga air mata saya.



Saya juga terkesan dengan petikan lirik ini kerana tulisan seorang sister mengenai surah Arrum. Boleh membaca tulisan sister tersebut di sini.

What about anger love and pain
And all the things you're feeling
Can you touch them with your hand?
So are they really there?


Apabila kita sudah berada di jalan dakwah dan tarbiah, salah satu di antara keinginan kita adalah melihat ahli keluarga yang begitu kita cintai untuk turut berada di jalan ini. Saya berharap Zaid kelak menemukan jalan hidayah.

Sempat juga semalam saya berkongsi dengan Zaid mengenai ayat 35 dari Surah Annur. Dulu seorang sister dari Indonesia ingin menamakan blognya dengan nama ’Cahaya di atas cahaya’. Saya tanyakan maksudnya. Kata sister tersebut, nama itu diambil dari Surah Annur ayat 35. Kemudian saya pernah mendengar mengenai ayat ini di dalam video ESQ di Youtube. Tapi saat saya mencarinya semula, video tersebut sudah tiada. Barangkali untuk menjaga hakcipta.

Ayat ini menceritakan mengenai analogi yang Allah gunakan untuk menerangkan mengenai petunjukNya.

Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah Annur: 35)


Mesti pernah melihat pelita kan? Ada yang diletakkan di dalam kaca. Tapi ada kaca yang mudah berhabuk, kabur. Ada pula cahaya pelita yang senang padam. Tiup sekali je dah padam. Ada pelita yang menghasilkan begitu banyak asap disebabkan minyak yang digunakan tidak berapa baik.

Betapa banyak manusia yang inginkan cahaya tapi cahaya yang diperolehinya adalah cahaya yang malap. Mudah padam. Tidak mampu memberi sinar pada yang lain. Cahaya yang mudah pergi. Tapi cahaya Allah bukan begitu. Tidak sesekali begitu.

Cahaya Allah begitu bersinar. Tidak mudah padam. Di dalam kaca yang begitu jernih. Kemudiannya dinyalakan dengan minyak yang begitu baik iaitu minyak Zaitun. Yuqadu min syajaratin mubarakatin zaitunatin la syarqiyyatin wa la gharbiyyatin (pohonnya itu tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak disebelah barat). Special sangat pokoknya. Minyak itu selalu diterpa oleh cahaya matahari dan itulah minyak zaytun yang paling bagus, “Yakadu zaytuha yudhi’u walaw lam tamsashu nar” (minyaknya itu sendiri sudah hampir-hampir menerangi walalupun belum ada apinya). Masya Allah!

Dan seandainya kamu membaca mengenai ’nur ’alannur –cahaya di atas cahaya’, kamu tidak mungkin dapat membayangkan bagaimana cahaya di atas cahaya itu. Begitulah hebatnya petunjuk Allah. Sesuatu yang tidak mampu kita fikirkan. Allahu Akbar!

Seandainya kamu tidak bersemangat, fikirkan sahaja kualiti cahaya yang kamu ada. Adakah ianya cahaya Allah atau cahaya begitu kelam? Seseorang yang memiliki cahaya Allah di dalam hatinya, memiliki kaca yang begitu jernih, minyaknya yang digunakan untuk menyalakan begitu jernih, sehingga dia seakan-akan cahaya di atas cahaya, sangat terang benderang. Inilah puncak cahaya hati seorang mukmin yang juga mampu memancarkan cahaya itu pada manusia lainnya juga. Moga Allah mengurniakan kita cahaya di atas cahaya.

No comments: